Penemuan hebat di loteng sebuah rumah | Satu koleksi 22 barangan kemas berlian abad ke-19 yang ditemukan di loteng sebuah rumah di utara Scotland, akan dilelong esok oleh firma lelongan Bonhams di sini dan dianggarkan bernilai sekitar 55,000 pound (RM 290,378). Pengarah Barangan Kemas Bonhams di Scotland, Clare Blatherwick berkata, barangan yang terdiri daripada cincin, gelang, kerongsang dan juga rantai itu dimiliki seorang wanita yang enggan identitinya didedahkan. Blatherwick berkata, individu berkenaan menjumpai barang bernilai itu di dalam sebuah kotak kulit tertutup selepas lebih 70 tahun tersimpan di bahagian loteng sebuah rumah di utara Scotland.
"Pemiliknya berkata, kunci kotak tersebut telah pun hilang dan dia menganggap kotak itu hanya sebuah kotak lama yang mengandungi beberapa dokumen keluarga dan sepatutnya dibuang. "Namun, dia yang berasa curiga dengan isi kandungan kotak itu mengambil keputusan membukanya sebelum menjumpai koleksi barangan kemas berlian,'' kata Blatherwick. Jelas Blatherwick lagi, berlian berkenaan merupakan barangan milik nenek dan dua orang ibu saudara wanita tersebut.
Antara barangan yang ditemukan adalah sepasang anting- anting berlian tujuh karat yang dianggarkan bernilai 15,000- 20,000 pound (RM 79,194 - RM105,592) dan kalung India abad ke-19 bersama-sama loket Vishnu yang dianggarkan bernilai 2000-3000 pound (RM10,559- RM15,838). "Cerita di sebalik penemuan ini seperti satu kisah dongeng yang unik dan setakat ini ramai pihak telah menyatakan minat untuk memiliknya,'' ujar Blatherwick lagi. - AGENSI
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment