Wanita pelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumah sebagai haiwan peliharaan | Penggemar haiwan biasanya memilih untuk membela binatang peliharaan yang jinak. Namun berbeza bagi seorang wanita dari Davenport, Florida, kerana dia memilih untuk memelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumahnya, malah turut memberi makan haiwan-haiwan itu dengan tangannya sendiri. Bukan setakat itu, Janice Haley juga sering mengusap dan memeluk kucing besar tersebut yang mempunyai taring sepanjang 15 sentimeter dan berat 272 kilogram. Seekor harimau berwarna putih peliharaannya juga akan tidur dan menghisap jari Haley.
Kehidupan Haley mula berubah 20 tahun lalu selepas dia mengambil kursus melatih harimau dan dua tahun selepas itu, dia menerima seekor anak harimau berusia dua bulan yang diberi nama Saber dan pada 2002, dia membeli seekor lagi harimau yang dinamakan Janda. "Haiwan itu menganggap saya sebagai ibunya dan setakat yang saya tahu, mereka itu adalah anak-anak saya yang berkaki empat. "Kami mempunyai satu ikatan yang amat istimewa. Kedua-dua harimau itu akan menggosok muka saya dan membiarkan saya mencium hidung mereka malah saya dan suami boleh memeluk dan membelai mereka," kata Haley sebagaimana lapor Mirror.co.uk.
Haley berkata, dia dan suaminya, David akan membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli makanan Saber dan Janda yang akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, malah sangkar yang menempatkan harimau tersebut akan dibersihkan beberapa kali dalam sehari. "Dalam tempoh seminggu, kami perlu mengembara selama satu jam ke kawasan utara Florida bagi mendapatkan daging kuda untuk Janda sebelum ke selatan untuk mendapatkan daging lembu buat Saber," katanya. -AP
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment