Tuesday, June 3, 2014

Sambutan pembentukan negeri ke-29 di India



Sambutan pembentukan negeri ke-29 di India | India menyambut pembentukan negeri baharu yang ke-29, Telangana selepas Andhra Pradesh dipisahkan menjadi dua negeri, hari ini, sekali gus akan ditadbir oleh kerajaan negeri sendiri. Rangkaian berita Al-Jazeera melaporkan, K. Chandrasekhar Rao dari Parti Telangana Rashtra Samithi (TRS), mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pertama Telangana di negeri yang dihuni kira-kira 35 juta orang di 10 daerah itu. Gabenor Andhra Pradesh, Ekkadu Srinivasan Lakshminarasimhan pula dilantik memegang jawatan yang sama di negeri baharu itu. Perdana Menteri India yang baharu, Narendra Modi melalui laman sosial Twitter turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Chandrasekhar atas pelantikan tersebut.

Pembentukan negeri baharu itu dibuat selepas penduduk Telangana yang terletak di selatan India, menuntut pemisahan dilakukan sejak negara ini merdeka pada 1947 kerana mendakwa sering didiskriminasi dalam pengagihan dana kerajaan, bekalan air dan pekerjaan. Sehubungan itu, ketua Jawatankuasa Tindakan Bersama Telangana, M. Kodandaram berkata, kewujudan negeri berkenaan merupakan detik bersejarah bagi penduduk Telangana yang mahu ditadbir oleh kerajaan negeri sendiri. Tambahnya, kerajaan baharu yang dipilih berdasarkan pilihan raya baru-baru ini perlu menunaikan manifesto yang menyaksikan pembentukan Telangana. "Kami sangat gembira kerana sudah banyak pengorbanan dibuat untuk menjadikan Telangana sebagai sebuah negeri," katanya. "Kini, rakyat negeri ini mahu pembangunan yang pesat dan pengagihan sama-rata hasil negeri daripada kerajaan pusat," katanya. -AP



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!