Friday, September 17, 2010

Anelka sindir FFF

ANELKA (kanan) menunjukkan seolah-olah tangannya bergari kepada rakan sepasukan Florent Malouda (kiri) dan Yossi Benayoun ketika meraikan jaringan Chelsea ketika menewaskan MSK Zilina dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

PENYERANG buangan, Nicolas Anelka mendedahkan gaya tangan bergari ketika meraikan jaringan dalam kemenangan Chelsea ke atas MSK Zilina dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah semalam, ditujukan khusus buat Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).

Anelka menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit ketika pertemuan dengan wakil Slovakia, Zilina manakala Michael Essien dan Daniel Strurridge memastikan kemenangan 4-1.

Penyerang 31 tahun itu, yang diarah pulang ketika saingan Piala Dunia Afrika Selatan Jun lalu selepas bertelagah dengan jurulatih kebangsaan, Raymond Domenech sejurus tewas 2-0 kepada Mexico, digantung 18 permainan antarabangsa selepas gagal menghadiri sesi perbicaraan suruhanjaya disiplin FFF.
Anelka, yang memberi gambaran dia tidak ingin lagi menyarung jersi kebangsaan Les Bleus, pernah menyifatkan hukuman yang dikenakan itu ditetapkan oleh ‘badut’ yang membuatkan dia tidak henti tertawa, lantas tidak berselindung mengakui aksi tangan bergari itu adalah untuk FFF.

“Ia sesuatu buat persekutuan Perancis mengenai apa yang berlaku di Piala Dunia,” katanya. “Ia hanya satu gurauan tetapi saya rasa pemain Perancis lain faham apa maksudnya. Apa yang berlaku pada musim panas lalu sudah berlalu dan saya kini 100 peratus fokus bermain untuk Chelsea.”

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti memuji penyerang itu yang berpesta gol dan menyifatkan aksi Anelka menjadi kunci kemenangan selepas turut memainkan peranan utama mencipta peluang buat jaringan pembukaan Essien.

“Kunci perlawanan malam ini adalah Anelka,” kata Ancelotti. “Dia mempamerkan permainan menakjubkan, membuka ruang, mencipta peluang, menjaringkan dua gol dan mengumpan kepada Essien untuk gol pertama.”





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!