Friday, September 17, 2010

'Depan cakap lain'



“Duit hantaran dan duit untuk buat majlis kenduri kahwin kami lapan tahun lalu adalah dua perkara yang berbeza. Dia sendiri tahu mengenai hal ini. Jika hendak tahu siapa bercakap benar atau tidak, saya mahu mengajak Norman Hakim ke masjid dan angkat sumpah depan al-Quran.
“Apapun yang berlaku , saya akan tetap menuntut hak saya termasuk beberapa perkara lagi yang belum selesai. Sehingga ke lubang cacing sekalipun, saya akan terus berusaha mendapatkannya semula,” tegas Abby Abadi, 32, berkenaan tuntutan hutang duit hantaran RM11.111.11.
Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, dia terpaksa mendedahkannya di akhbar kerana tiada jalan lain lagi menuntut segala yang menjadi haknya daripada bekas suami, Norman Hakim atau pemilik nama sebenar, Mohamed Nor Hakim Zaidon, 34.

“Saya sudah sampai pada satu tahap tiada cara lagi untuk mendapatkan hak saya semula. Saya juga sudah lama beri ruang kepadanya untuk menyelesaikan apa yang tertunggak selepas dua tahun kami bercerai.

“Sudah ratusan kali saya cakap dengannya tapi dia buat tak tahu saja. Mungkin ada yang mempertikaikan saya macam seronok hendak bercerita keaiban bekas suami tapi saya tak ada cara lain. Dia selalu cakap tak serupa bikin. Dengan saya dia cakap lain tapi dalam akhbar dia kata lain. “Kenapa dia suka meletakkan kesalahan dirinya pada orang lain. Selama ini saya minta dengan baik kenapa dia tidak memberi maklum balas. Kenapa apabila sudah tersiar dalam akhbar baru hendak bagi respons,” katanya.

Tambah Abby dalam nada kecewa, dia agak ralat dengan kenyataan Norman yang disiarkan akhbar ini kelmarin. “Dia sendiri buka pekung di dada. Duit hantaran dan duit kenduri kahwin dua cerita berbeza. Dia juga sebut perbelanjaan anak. Saya tak kata dia tidak beri belanja anak langsung tapi dia bagi bila dia rasa perlu.

“Apabila kami bercerai, yang terputus hubungan suami isteri tapi tanggungjawabnya terhadap anak-anak masih seperti biasa. Saya memang mampu menyara tiga anak tapi sebagai bapa dia tak boleh lepas tangan. “Dari satu segi memang tidak elok bercakap pasal keaiban orang tapi saya kena selalu beri amaran padanya. Saya nampak dia semakin berubah setahun sebelum kami bercerai dan perangainya yang sebenar terus terserlah. “Apa yang saya boleh cakap, apa yang saya dedahkan dalam akhbar ini benar. Saya tidak bermaksud memburukkan sesiapa tetapi dalam telefon, dia cakap dengan saya lain, dia beritahu pada media lain. Saya penat hendak melayan caranya yang kononnya berdiplomasi dan berhemah itu,” katanya






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!