David dan Victoria Beckham dikatakan akan mengiklankan kediaman tujuh bilik milik mereka (Istana Beckingham) untuk dijual kerana mereka memutuskan untuk menetap di Amerika Syarikat.
Pasangan terbabit juga sudah meminta ejen hartanah untuk menilai harga kediaman di Sawbridgeworth, Hertfordshire itu. Mereka membeli hartanah yang berkeluasan 24 ekar berkenaan pada 1999 dengan harga STG2.5 juta (RM12 juta). Menurut sumber yang rapat dengan dua selebriti itu, Victoria dan Beckham berhasrat untuk menjual kediaman itu tetapi belum diiklankan di pasaran.
Pasangan itu juga dikatakan menghabiskan sebanyak STG18 juta (RM86.4 juta) untuk mengubah suai kediaman berkenaan sepanjang mereka menginap di situ. Kediaman itu dilengkapi kolam renang terbuka dan tertutup, rumah haiwan peliharaan, studio rakaman, bilik snuker, gimnasium dan gelanggang tenis.
Selain itu, terdapat juga tiga taman berlainan konsep iaitu taman tasik, romantik dan hiasan bernilai STG10,000 (RM48,000) dibina berdekatan binaan astaka dengan lantai marmar dilengkapi kemudahan barbeku yang bernilai STG70,000 (RM336,000). Difahamkan hartanah milik keluarga Beckham itu dianggarkan bernilai STG125 juta (RM600 juta). Mereka berhasrat untuk berhijrah ke Los Angeles dan menetap di sana kerana anak mereka, Brooklyn, 11, Romeo, lapan, dan Cruz, lima, lebih gemar tinggal di Los Angeles.
Keluarga itu berpindah ke Los Angeles tiga tahun lalu sejak Beckham menyertai kelab bola sepak LA Galaxy dan mereka sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Los Angeles. Pasangan itu juga sudah mempunyai sebilangan besar rakan selebriti termasuklah Tom Cruise, Katie Holmes, Eva Longoria serta Kate Beckinsale.
Victoria, 36, dikatakan akrab dengan Eva Longoria dan dia sering keluar makan malam bersama Eva di restoran Maze milik temannya, Gordon Ramsay pada malam minggu. Bekas penyanyi kumpulan Spice Girl itu pernah menulis di laman blog Twitter: "Hari ini saya keluar makan malam bersama Eva Longoria yang tampil anggun memakai salah satu koleksi musim gugur pakaian rekaan saya." Beckham dan Victoria mengambil keputusan untuk menjual kediaman mereka di Sawbridgeworth selepas mereka mengupah beberapa akauntan untuk mengaudit pendapatan dan perbelanjaan mereka selama ini. Kumpulan akauntan berkenaan mendapati Victoria dan Beckham membelanjakan ratusan ribu untuk kos penginapan mereka sebelum ini. Mereka sepatutnya boleh berjimat dengan menetap di satu tempat saja.
Pasangan terbabit juga dikatakan memiliki kediaman di Beverly Hills yang bernilai STG11juta (RM52.8 juta), di samping rumah percutian di Perancis serta sebuah apartmen mewah di Dubai. Mereka berpendapat mengekalkan kediaman di Britain hanyalah satu pembaziran. Menurut satu sumber pula, Victoria dan Beckham bercadang untuk membeli sebuah rumah di Chelsea atau Belgravia untuk dijadikan rumah persinggahan apabila mereka pulang ke Britain. Victoria dilaporkan sering ke London untuk menguruskan perniagaan pakaian rekaannya. Baru-baru ini, dia menyelesaikan beberapa urusan di London sebelum ke New York untuk pertunjukan fesyen bagi memperkenalkan koleksi rekaan terbarunya. Beckham pula yang cedera dan tidak dapat bermain tinggal di Los Angeles bersama anak-anak mereka. Beckham mempunyai tiga tahun kontrak bersama LA Galaxy yang menjanakan pendapatan STG12 juta (RM57.6 juta).
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment