Tuesday, September 21, 2010

City ujian sebenar Chelsea



LONDON - Carlo Ancelotti masih belum berpuas hati meskipun Chelsea mencatat kemenangan 4-0 ke atas Blackpool pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.
Pengurus Chelsea itu berkata, ujian sebenar skuad bimbingannya hanya bakal bermula pada aksi menentang Manchester City, Sabtu ini.
Sebelum itu, Chelsea akan berdepan Newcastle United di gelanggang sendiri pada aksi Piala Liga dan Ancelotti dijangka akan merehatkan pemain-pemain senior pasukan tersebut.
Skuad The Blues memulakan saingan liga musim ini dengan penuh bergaya apabila berjaya mencatat lima kemenangan berturut-turut dan menjaringkan 21 gol untuk mengumpul 15 mata.
"Kami (Chelsea) sedar perlawanan selepas ini pasti akan lebih sukar dan kami perlu berkerja keras bagi mengekalkan rentak kecemerlangan ini.
"Berdepan City, ia merupakan ujian getir buat kami kerana ini penting bagi mengekalkan tahap konsistensi apabila menentang sebuah kelab yang berada pada kelompok teratas liga.
"Begitupun, saya yakin kami mampu untuk mencatat satu lagi kemenangan dan saya telah mengingatkan pemain-pemain saya agar menganggap City sebagai pencabar utama kerana mereka kini tampil berwajah baru," jelas Ancelotti.
Pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Florent Malouda (gambar) meledak dua gol buat Chelsea pada minit ke-12 dan ke-40 manakala Salomon Kalou serta Didier Drogba masing-masing satu gol minit kedua serta ke-30.
Dalam pada itu, Ancelotti turut mengesahkan, perancang Frank Lampard tidak akan diturunkan pada aksi menentang City di Eastland ekoran masa- lah kecederaan hernia yang dialaminya.






.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!