Tuesday, September 21, 2010

Sarah yang baru

Mahu bangkit selepas kelemasan dalam dunia glamor

SEMANGATNYA untuk terus berjuang dalam bidang seni suara tidak pernah pudar. Biarpun pernah jatuh seketika angkara terlalu mengikut kata hati, namun itu bukanlah penghalang untuk Siti Sarah Raisuddin terus memburu impian yang dicita-citakannya.

Hati terluka, perit dan terngadah namun perlahan-lahan dia mengutip kembali sisa-sisa kekuatan yang ada untuk merawat segala kekecewaan dan kelukaan itu. Enggan menoleh ke belakang lagi atau mengenang kembali peristiwa pahit yang pernah menghancurkan kerjaya nyanyiannya sebelum ini, janji Sarah, dia mahu kembali ke dunia seni dengan Sarah yang baru. Bertemu penyanyi ini sewaktu menjayakan sebuah persembahan amal dan buka puasa bersama anak yatim di Plaza Shah Alam, baru-baru ini Sarah berkata dia kini sudah bersedia untuk kembali semula mewarnai dunia seni.
Sebelum ini Sarah akui, banyak terleka dengan keindahan dunia seni. Tak dinafikan, kehidupan sebagai selebriti memang banyak dugaan. Lebih-lebih lagi apabila kita dikelilingi mereka yang glamor membuatkan kita sendiri lalai sehingga tidak sedar perkara itu sebenarnya membawa impak yang buruk terhadap kerjaya seni kita. Jadi, Sarah banyak mengambil perkara itu sebagai satu iktibar.

Selepas ini, akan lebih low profile dalam apa juga yang Sarah lakukan.
Disebabkan itulah Sarah lebih suka berdiam diri sejak kebelakangan ini kerana tidak ada cerita yang boleh dikongsikan. Cukuplah dengan cerita sensasi yang pernah dicetuskan sebelum ini. Sarah tak mahu lagi khalayak disajikan dengan cerita seperti itu lagi.

Sebagai artis, memang tidak dapat lari dari gosip cuma ia menjadi keterlaluan sehingga menjejaskan kerjaya seni Sarah, ujar penyanyi lagu Kesetiaan ini kepada Hip.
Diakui, sejak kebelakangan ini, kelibat Sarah bagaikan hilang dari pandangan peminat dunia hiburan. Kali terakhir dia dilihat aktif ketika menyertai World Championship of Performing Arts di Los Angeles, tahun lalu. Cuma sesekali terdengar gosip yang menyatakan dia intim dengan salah seorang anggota kumpulan Sepah iaitu Shuib.

Bagi menghindari dirinya dari terus dibuai arus glamor yang tidak menjanjikan apa-apa, penyanyi ini lebih selesa menetap di kediaman keluarga yang jauh dari kesibukan ibu kota.

Abah Sarah beli rumah di Kuala Selangor dan Sarah kini menetap bersama keluarga di sana. Seronok apabila sudah pindah di sini kerana persekitarannya cukup mendamaikan. Jauh dari kesibukan kota. Sarah pun ramai kawan di sini. Paling menyeronokkan apabila kawan-kawan di sini tak anggap Sarah seperti artis dan itulah yang membuatkan Sarah selesa.

Kehidupan Sarah sama seperti orang lain. Ada ketika, kalau teringin hendak makan ikan, kami tak beli di pasar. Sebaliknya abah akan ajak kami semua pergi memancing dan kami akan dapat ikan yang segar, cerita Sarah mengenai kehidupan terkininya itu.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Sarah berkata dia kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk album terbarunya. Dan kali ini, dia akan bekerjasama dengan komposer prolifik, Aidit Alfian.

Bekerja dengan Aidit memberikan satu pengalaman baru dalam diri Sarah. Kami banyak berbincang untuk menghasilkan material yang baik dan Aidit tahu apa yang sesuai dengan saya. Jika tiada aral melintang, semua lagu dalam album saya nanti akan diterbitkan oleh Aidit,kata anak kepada penyanyi Raisuddin Hamzah ini.

Tak mahu bertunang

SAAT diajak berbicara mengenai hubungan intimnya dengan Shuib yang sedang hangat diperkatakan sebelum ini, Sarah seboleh mungkin tidak mahu mengulas lanjut perkara itu.

Bukan tidak mahu memberi kerjasama tetapi tegasnya, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pun begitu, selepas dipujuk, akhirnya Sarah yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-27 terpaksa juga mengalah.

Sambil mengakui Shuib adalah kawan lelaki yang paling rapat dengannya, Sarah berkata dia memang selesa bertemankan pemuda dari selatan tanah air itu berdasarkan sifat peribadinya.

Walaupun dia seorang pelawak tapi apabila dengan Sarah, dia menjadi seorang yang serius. Saat ini, Sarah akui senang berkawan dengannya. Terus terang, antara kami tidak pernah berbicara hal yang berkait rapat dengan perkahwinan.

Buat masa ini, kami lebih senang menumpukan perhatian terhadap urusan kerjaya masing-masing. Dia pun baru nak memulakan langkah dalam bidang ini dan Sarah pula akan keluar dengan album baru tidak lama lagi.

Dan kalaulah ada jodoh Sarah, tak kiralah dengan sesiapapun, saya tak mahu tunang. Kalau boleh, kahwin terus, ujar Sarah sambil tersenyum.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!