Monday, September 27, 2010

Keseronokan dan kemarahan menikmati siaran Astro



KEMUNCULAN stesen TV berbayar Astro pada tahun 1996 adalah satu pilihan kepada pengguna untuk menikmati kepuasan menonton tanpa gangguan iklan.

Astro mula beroperasi dengan 22 saluran tetapi kini menawarkan 125 saluran berbayar untuk empat bahasa utama di negara kita, ermasuklah lapan saluran Berdefinisi Tinggi (HD) merentasi Malaysia dan Brunei. Setakat ini, Astro mempunyai hampir tiga juga pelanggan.

Ia adalah satu kemajuan dan perkembangan yang membanggakan dalam industri penyiaran negara. 

Untuk mendapatkan perkhidmatan siaran Astro, pengguna mesti membayar harga berdasarkan pakej yang ditawarkan oleh syarikat TV ini. Memang hakikatnya, tiada yang percuma pada untuk mendapatkan perkhidmatan Astro. Segala-galanya berbayar. Hendak menyambung atau menamatkan perkhidmatan Astro pun ada kalanya dikenakan bayaran.

Sejajar dengan segala-galanya perlu dibayar, Astro juga sepatutnya menjanjikan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggannya. Memang tidak dinafikan, dari semasa ke semasa Astro sentiasa menjanjikan kandungan program yang bermutu untuk penonton atau pelanggannya. Tapi seperti yang kita katakan, ia bukan percuma!

Oleh itu, apabila kita berasa agak terganggu apabila beberapa rangkaian dalam Astro sekarang secara perlahan-lahan sudah diresapi dengan iklan. Iklan komersial dan iklan promo. Kedua-duanya tetap mengganggu kepuasan dan keseronokan menonton program Astro.

Oleh kerana pengguna atau pelanggan sudah membayar sejumlah wang, tidak kiralah dalam bentuk pakej apa sekalipun, sepatutnya tidak sebagai penonton tidak ada lagi diganggu dengan penyiaran iklan komersial. Kalau sudah ada iklan komersial, apa bezanya saluran TV di Astro dengan saluran TV percuma seperti TV1 dan TV2 atau TV3, TV9, ntv7 dan 8TV. Semua stesen percuma itu memang patut mencari iklan bagi menampung operasi dan dari situ mereka mencari keuntungan.
Memang ketika ini jumlah atau penyiaran iklan komersial dalam saluran TV Astro belum ketara, tetapi jika dibiarkan atau tidak dikawal, lama-kelamaan ia dilihat sama saja dengan stesen TV percuma. Cuma yang tidak adil bukan saja kepada pengguna yang sudah membayar langganan setiap bulan, tetapi mungkin juga kepada pengendali stesen TV percuma kerana ia sudah mengecilkan pembahagian pengiklanan.

Sekiranya hendak bersaing mencari iklan secara terbuka dengan stesen TV sedia ada, mungkin Astro boleh mengetepikan beberapa salurannya secara percuma juga kepada pelanggan.

Pilihan lain ialah menawarkan satu pakej pada kadar paling minimum iaitu RM10 saja untuk sejumlah saluran. Katakan 10 atau 15 saluran pertama, ditawarkan dengan bayaran serendah RM10, yang boleh dianggap sebagai kos perkhidmatan sahaja seperti untuk pengebilan. Dan untuk menampung kos itu saluran ‘percuma’ ini dibenarkan mencari iklan komersial.

Selain iklan komersial, iklan promosi yang kerap dan lama turut mengganggu keseronokan menikmati saluran Astro. Boleh disiarkan tetapi biarlah berpada-pada. Peranan iklan promo ini adalah untuk mengingatkan penonton tetapi sebagai manusia, apabila terlalu kerap dan berjela-jela, ia seumpama ‘orang yang suka membebel dan berleter’. Kebanyakan orang tidak suka mendengar orang membebel dan berleter.

Astro memang sentiasa inovatif dan kreatif. Oleh itu, banyaklah pakej dan kemudahan sampingan ditawarkan demi memberi kepuasan kepada pengguna atau pelanggannya. Kemudahan yang ditawarkan itu pula seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran semasa. Tapi ingat! tidak semuanya percuma...

Antara tawaran terbaru yang ditawarkan ialah pakej Beyond iaitu pengguna boleh mendapatkan saluran tambahan dengan kesan visual atau gambar yang jelas dan jernih. Buat masa ini, mereka yang mendapatkan pakej Beyond ini diberikan lapan saluran tambahan yang mana semua kandungan yang disiarkan menggunakan teknologi Definisi Tinggi (HD). Ia bukan tawaran percubaan sebaliknya pelanggan tetap dikenakan bayaran tambahan RM20 sebulan daripada pakej asal.

Ketika ini ramai pengguna yang menggunakan pakej Beyond merungut kerana kepuasan menonton terganggu apabila siaran Astro secara tiba-tiba terhenti atau tergantung (hanging) untuk selama beberapa minit. Dalam masa satu jam, ia boleh terhenti dengan tidak semena-mena selama tiga atau empat kali. Ia cukup menyakitkan hati.

Khidmat pelanggan Astro pula bukan semuanya ‘mesra pelanggan’. Sesetengahnya pula tidak arif dan tidak faham dengan masalah yang sedang dihadapi oleh pelanggan seperti siaran Astro yang ‘terhenti’ secara tiba-tiba ini. Akhirnya, jawapan yang diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan ialah meminta pengguna menghubungi kontraktor pemasangan Astro dan kesudahannya kita pula dikenakan caj RM50 di atas masalah yang bukan berpunca daripada pelanggan.

Kita menghargai sumbangan besar Astro dalam industri penyiaran negara, tetapi pada masa Astro juga tidak memandang rendah rungutan dan kepuasan pengguna. Astro bernasib baik kerana tidak ada pesaing seperti mana stesen TV berbayar.

Namun begitu, walaupun tidak ada pesaing, apa salahnya Astro mengambil berat dan sabar dengan keluhan pelanggan kerana pada setiap bulan mereka setia membayar langganan. Pelanggan Astro juga bukanlah daripada orang kaya saja...

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!