Monday, October 11, 2010

39 pengantin langsung perkahwinan 10.10.10


KOTA BHARU: Seramai 39 pasangan pengantin baru di negeri ini mengambil peluang melangsungkan perkahwinan beramai-ramai menerusi dua majlis berasingan sempena tarikh istimewa 10.10.2010, semalam.

Sebanyak 11 pasangan muda masyarakat Orang Asli dari Pos Sungai Rual, Jeli melangsungkan perkahwinan secara serentak anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Majlis itu dimulakan dengan upacara akad nikah semua pasangan itu yang dilakukan jurunikah merangkap Kadi Jajahan Jeli, Joey Yusmizan Yusof, dengan dibantu lima penolong pendaftar nikah rujuk jabatan berkenaan.
Sebahagian besar pasangan pengantin adalah suku Jahai berusia antara 13 hingga 26 tahun.

Pengantin baru, Arpah Rahim, 20, berkata majlis perkahwinan beramai-ramai itu bukan saja menggembirakannya dan meriah, malah dalam masa sama mengurangkan perbelanjaan keluarga.

“Saya berharap detik bersejarah hari ini (semalam) diabadikan bagi membolehkan ia dijadikan tatapan keturunan akan datang,” katanya yang memilih Mona Samad, 15, sebagai isteri.

Sementara itu, Rohaimi Lisad, 22, pula menyifatkan majlis perkahwinan itu secara tidak langsung mengurangkan perasaan gementar terutama ketika upacara akad nikah.
“Saya dapat melafazkan akad nikah walaupun terpaksa melakukannya dua kali,” katanya.

Sementara itu, di bandar ini, 26 pasangan pengantin kaum Cina dan dua berketurunan Siam, mengambil peluang mengabadikan detik bersejarah mereka secara beramai-ramai di bangunan Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, anjuran Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan.

Pada majlis itu, pasangan pengantin baru itu juga melakukan Upacara Mengangkat Sumpah Perkahwinan dengan disaksikan ibu bapa, sanak saudara dan sahabat mereka.

Pembantu pentadbiran sebuah syarikat di Singapura, Wee Phui Ling, 23, berkata beliau memilih tarikh itu bagi melangsungkan perkahwinan sebagai menghormati permintaan suaminya, Koick Soon Fatt, yang menyambut hari lahir ke-34, semalam.

"Kami juga berharap tarikh bertuah ini akan terus diingati sebagai detik bersejarah seumur hidup," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pendaftaran Perkahwinan Berkumpulan Sempena 10.10.10 di sini, semalam.

Pasangan keturunan Siam, Ei Bau Eib Bun, 34, dan Wee Lai Ehtih, 27, berkata mereka yang berkenalan lebih 12 tahun lalu, mengambil keputusan menamatkan zaman bujang pada tarikh istimewa dan berharap perkahwinan dibina atas dasar cinta itu akan berkekalan sehingga akhir hayat.

"Selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju berkahwin hari ini (semalam) kerana dalam masa sama dapat meraikan hari lahir saya yang ke-27," katanya.

Bagi pasangan muda, Khoo Choy Chong, 19, dan Chan Fong Leng, 20, pula berkata, mereka memilih nombor berkenaan kerana ia senang diingat selain mengharapkan tuah di sebalik angka sepuluh.

"Usia muda tidak menghalang kami berkahwin dan bersyukur kerana keluarga kedua-dua pihak merestui perkahwinan ini," katanya.







.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!