Tuesday, October 12, 2010

Terkini kemalangan ngeri..10.10.10

Usah biar lebih ramai terkorban


Kerjasama semua pihak penting elak nahas

SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya.

Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.
Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang.

Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motosikal.
Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan jika semua pihak bekerjasama.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci kemalangan itu.
“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.

Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres. Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan kenderaan.

SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan SHE.

Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding kebergantungan terhadap alat elektronik.

Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat. Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE.

“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru, selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE, kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin:


  • R Ramachandra, 52 – pemandu bas Ekspres Delima (Alamat: Batu 3 Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka)


  • Muhammad Farizuddin Talib, 19 – penumpang bas (Balai Panjang, Malim, Melaka)


  • Azizi Ajis, 20, – penumpang bas (Kampung Japis, Nyalas, Melaka)


  • Norazmi Abdul Karim, 24 – penumpang bas (Kampung Pondok Kempas, Selandar, Melaka)


  • Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 – penumpang bas (Taman Semabok, Melaka)


  • Nur Shafika Baba, 19 – penumpang bas (Jalan Pokok Mangga, Melaka)


  • Ng Sok Kuan, 52 – penumpang bas (Sungai Udang, Melaka)


  • Pau Khaw Tual, 21 – penumpang bas (Warga Myanmar)


  • Kam Khaw Tual, 19 – penumpang bas (Warga Myanmar)


  • Cin Chwen Tuang, 30 – penumpang bas (Warga Myanmar)


  • Goo Chuan Heng, 34 – pemandu van Toyota(Taman Maju, Batu Pahat, Johor)


  • Pang Shi Moe, 57 – penumpang kereta Honda Accord (Taman Segar, Segamat, Johor)

    Mangsa dirawat (mengikut hospital)



  • Hospital Tuanku Jaafar, Seremban – 23 orang (4 parah, 19 cedera ringan)


  • Hospital Melaka – 11 orang (2 parah, 9 cedera ringan)


  • Hospital Kuala Lumpur – 1 orang (parah dan kritikal)


  • Hospital Pantai, Melaka – 3 orang (parah dan kritikal)



  • Percikan darah dalam jeritan

    SEREMBAN - "Badan saya menggigil apabila terasa darah panas memercik ke muka saya sebelum saya ternampak pula beberapa kepala penumpang hancur akibat dihempap bas yang dinaiki.
    "Beberapa penumpang lain pula menjerit-jerit kesakitan akibat tersepit dicelah-celah serpihan bas."
    Demikian cerita detik-detik ngeri yang dialami oleh seorang penumpang bas Ekspres Delima, Tew Chi Ling, 18, yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan 12 nyawa dan 38 lagi cedera di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka kelmarin.
    Dalam tragedi pada pukul 6.40 petang itu, bas Ekspres Delima yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van, tiga buah kereta serta sebuah bas lain.
    Menurut Chi Ling, kejadian itu sangat menakutkan dan dia sendiri turut menangis.
    "Bukan setakat muka saya dipenuhi darah malah dinding bas yang kami naik juga terpercik darah," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini semalam.
    Kata remaja itu lagi, dia terperangkap selama beberapa minit di dalam bas sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
    "Sehingga hari ini saya seolah-olah masih terdengar suara-suara tangisan meminta tolong dan lebih menakutkan apabila saya kerap terbayangkan mangsa-mangsa yang maut di depan mata saya," katanya.

    MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kanan) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Kong Cho Ha (dua kanan) menziarahi salah seorang mangsa cedera parah dalam kemalangan maut melibatkan dua buah bas, sebuah van dan tiga kereta di Simpang Ampat, Melaka semalam, di Hospital Tuanku Ja"afar, Seremban, Negeri Sembilan


    Bas lesap sekelip mata

    PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.

    MELAKA: “Kira-kira jam 6.44 petang (kelmarin), saya menerima SMS daripada dia (rakannya) memberitahu bas dinaikinya baru melepasi Plaza Tol Ayer Keroh. Kami mengekori bas itu dengan kereta,” kata Nurfaizah Abd Karim, 19, menceritakan detik akhir dua rakannya yang terbunuh dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan 12 orang di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, petang kelmarin.

    Rakannya, Nurshapika Baba, 19, dari Jalan Pokok Mangga dan Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang, terbunuh bersama 10 penumpang lain dalam kemalangan membabitkan bas ekspres Delima yang mereka naiki serta beberapa kenderaan lain.

    Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia menghantar SMS kepada Nurshapika bertanya kedudukan bas dinaikinya kerana gagal mengesan bas berkenaan, tetapi tidak membalas dan saya tidak mengesyaki apa-apa.

    “Apabila tiada balasan dan masih gagal mengesan bas berkenaan, saya hantar beberapa SMS lagi dan mula tidak sedap hati kerana tetap tidak mendapat balasan,” katanya yang mengekori bas berkenaan sejak ia berlepas bersama dari Terminal Melaka Sentral bersama rakannya, Nurul Baidatul Asyikin Asri, 19, dengan kereta.

    Nurfaizah yang ditemui di Hospital Melaka di sini, semalam. berkata Nurshapika dan Muhamad Farizuddin yang enggan menaiki kereta bersamanya, berkeras mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan bas.

    Difahamkan, kedua-dua mangsa masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang, dalam jurusan kejururawatan dan menjalani latihan praktikal peringkat akhir di Hospital Melaka.

    Menurut Nurfaizah, kedua-dua rakannya itu tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka ke Terminal Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dan ketika bas meninggal terminal, mereka melambaikan tangan bagaikan lambaian terakhir.

    “Kami berdua hairan kerana gagal mengesan bas berkenaan dan timbul persoalan, sama ada bas itu laju sangat sehingga kami tidak dapat mengejarnya sedangkan ketika itu kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan akibat kesesakan. Rupanya kesesakan itu akibat kemalangan membabitkan bas dinaiki rakan kami.

    “Terdetik di hati teringatkan kedua rakan yang menaiki bas itu, namun saya tidak pasti sehingga kami memberhentikan kereta di bahu jalan dan menyedari kemalangan itu membabitkan bas ekspres dinaiki Nurshapika dan Muhamad Farizuddin,” katanya.


    Ajal lepas merajuk

    SEDIH...Fadzry dan Rohanta memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.

    MELAKA: “Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18.

    Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

    Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

    Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.

    “Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

    “Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.

    Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh.

    Polis mengesahkan 10 yang terbunuh penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

    Rohata berkata, selepas diizinkan pergi, Sharene Sofia mula berubah menjadi terlalu periang dan suka bermanja dengannya serta keluarga.

    “Dia nampak ceria berlebihan dan suka bergurau serta menyakat saya. Malam sebelum menaiki bas, dia meminta tidur bersebelahan kakaknya (Natasha Ernie, 19), tetapi anak sulung saya tidak membenarkannya,” katanya yang kini menetap di Taman Semabok Perdana, dekat sini.

    Menurut Rohata, selepas menghantar Sharene Sofia di Terminal Melaka Sentral, dia tidak turun dari kereta, sebaliknya hanya bersalaman ketika menurunkannya berhampiran bas yang mahu dinaiki.

    “Selepas itu saya tidak lagi melihat kelibatnya. Bagaimanapun, saya sempat menghubunginya bagi memastikan dia selamat menaiki bas,” katanya.

    Rohata berkata, sejam selepas itu, dia menghubungi telefon bimbit anaknya lima kali termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi tidak dijawab.

    “Saya bertambah bimbang apabila rakannya yang menunggu di Kuala Lumpur menghubungi memberitahu bas dinaiki Sofia belum tiba.

    “Saya dihubungi semula rakannya dan terkejut apabila diberitahu kenderaan dinaiki anak saya terbabit kemalangan.

    “Saya menghubungi polis di Negeri Sembilan dan Melaka, namun mereka gagal mengesan nama anak saya dalam senarai mangsa cedera atau terbunuh.

    “Kerana tidak sedap hati, saya dan suami terus ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat di Jabatan Kecemasan, namun masih gagal,” katanya.

    Bagaimanapun, kata Rohata, apabila tiba di Jabatan Forensik, anggota polis memintanya membuat pengecaman menerusi gambar.

    “Alangkah terkejut dan pilunya saya apabila mendapati gambar mayat itu anak saya. Apapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.



     P/S - Sedih sangat tgk keluarga yang kehilangan keluarga tersayang.. Lulu pun pernah laluinya.. Bila abang pergi kerana kemalangan.. mungkin suatu hari lulu akan ceritakan.....





    .

    .

    0 Penyokong CHELSEA:

     

    Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!