Syarikat bas ekspres mohon maaf
ELAKA 12 Okt. - Syarikat Kuala Lumpur Malacca Ekspress Sdn. Bhd. memohon maaf kepada keluarga 12 mangsa yang terbunuh dan cedera ekoran kemalangan membabitkan bas Ekspres Delima di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Alor Gajah kelmarin. Pengurus Besarnya, Vincent Mah berkata, syarikat itu juga bersetuju untuk memberikan wang sagu hati berjumlah RM1,000 kepada keluarga setiap mangsa yang terbunuh dan RM500 bagi yang mengalami kecederaan.''Syarikat kami benar-benar berasa kecewa atas apa yang terjadi.
''Kami mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang terbunuh dan kami juga memohon maaf kepada mereka yang mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Taman Malim Jaya di sini hari ini.
Nahas pada pukul 6.50 petang itu berlaku apabila sebuah bas milik syarikat itu yang dipercayai dipandu laju gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain.
Ia kemudian bertembung dengan bas milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika itu dinaiki oleh kira-kira 36 penumpang.
Sehubungan itu, Vincent berharap keluarga penumpang bas terbabit menghubungi pihaknya bagi memudahkan urusan pemberian wang saguhati tersebut dengan menelefon nombor 06-3371663 atau 016-6621333.
Ditanya mengenai keluarga mangsa yang mungkin menyaman syarikatnya, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang notis atau dihubungi oleh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
''Kami tidak menghalang mana-mana keluarga mangsa yang mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat ini.
''Bagi saya itu adalah hak mereka jika mahu mengambil tindakan mahkamah," ujarnya.
Sementara itu, Vincent berkata, perkhidmatan bas syarikat tersebut yang telah beroperasi sejak 61 tahun lalu, masih berjalan seperti biasa.
Menurut beliau, pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggantung permit 11 bas milik Syarikat Kuala Lumpur-Melaka Ekspres Sdn. Bhd. itu.
Ujarnya, siasatan ke atas kesemua bas milik syarikatnya telah dilakukan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) semalam.
''Beberapa bas kami juga telah dihantar ke Puspakom di Rembau untuk diperiksa dan kami telah memberikan kerjasama secukupnya kepada pihak berkaitan," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, syarikatnya menunggu sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh JPJ atau LPKP ekoran kemalangan yang melibatkan bas milik syarikat itu.
Periksa kotak hitam
KUALA LUMPUR: Polis akan meneliti kotak hitam bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan ngeri petang kelmarin bagi mengenal pasti punca kejadian itu.Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, kes itu perlu disiasat dari setiap sudut secara terperinci untuk mengetahui sama ada kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal atau faktor lain.
“Siasatan awal dengan menyemak rekod pemandu dan syarikat pengangkutan, kedua-duanya tiada rekod kesalahan dan rekod saman. Bagaimanapun kita akan siasat dari semua sudut termasuk meneliti kotak hitam bas itu “Mengikut rekod pihak lebuh raya, maklumat kemalangan diterima kira-kira jam 6.47 petang dan bas itu didapati baru 45 minit berlepas dari stesen Melaka Sentral. Ketika itu cuaca juga masih terang dan baik.
“Pemandu bas itu pula berusia 52 tahun dan saya rasa mempunyai cukup pengalaman memandu bas ekspres. Jadi beri kita masa untuk menyiasat punca sebenar,” katanya yang menyifatkan kemalangan itu sebagai yang terburuk pernah berlaku sepanjang tahun ini,” katanya.
Tangan kiri dipotong akibat remuk
KUALA LUMPUR: “Tangan kiri abang saya terpaksa dipotong akibat remuk teruk,” kata Lee Han Seng, 25, adik kepada mangsa tragedi kemalangan maut dua bas, tiga kereta dan van di Kilometer 223, Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, petang kelmarin.Mangsa, Lee Han Wei, 28, yang cedera parah terpaksa menjalani pembedahan memotong tangan kirinya hingga paras lengan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dipindahkan ke hospital berkenaan dari Hospital Tampin.
Adiknya, Lee Han Seng, 25, yang berasal dari Bertam Hulu, Melaka, berkata dia mengetahui abangnya itu terbabit dalam nahas ngeri berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam apabila dihubungi jururawat dari Hospital Tampin. Bagaimanapun, dia pada mulanya tidak percaya apa yang dikatakan jururawat berkenaan sebelum dia dan keluarga menghubungi teman wanita abangnya dalam bas berkenaan.
Lihat jenazah bukan ijazah
MELAKA: “Gelagat arwah bertukar menjadi ceria sejak kebelakangan ini walaupun dia seorang pendiam, malah sempat memakaikan dua anak saudaranya jubah majlis konvokesyennya sebelum merakam gambar mereka.“Saya tidak mengesyaki sebarang perubahan cuma hairan dengan sikapnya itu,” kata Norhafizah Abdul Karim, 28, kakak kepada Norazmi, 24, graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh.
Allahyarham bakal guru bercuti dua bulan, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakan dan menguruskan hal berkaitan majlis konvokesyennya di UPSI Jumaat ini.
Menurutnya, Norazmi seolah-olah keberatan menaiki bas itu pada jam 6 petang kelmarin, tetapi tiada pilihan kerana tiket kehabisan walaupun mengikut perancangan mahu menaiki bas pada jam 5 petang. Katanya, mereka sekeluarga sangat sedih kerana Norazmi tidak sempat menggenggam segulung ijazah seterusnya menjadi seorang guru pendidikan seni.
“Semua persiapan majlis konvokesyen sudah dibuat. Malah, baju konvokesyen juga diambil dan bawa balik ke rumah pada 7 Oktober lalu.
“Paling kami sekeluarga sedih, arwah sempat merakam gambar dengan memakaikan baju konvo kepada dua anak saya, Haidi Azely Rashid, 7, dan Puteri Irdina Zuyyin, 3. Dia nampak gembira dan ceria bakal menjadi guru.
“Namun takdir menentukan Norazmi tidak sempat mengambil ijazahnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.
Katanya, dia bersama suaminya, Rashid Hashim, 34, dan anak serta anak saudara menghantar adiknya menaiki bas di Terminal Melaka Sentral, tetapi sebelum itu arwah sempat mengandam pengantin di Batu Berendam, di sini.
“Arwah berjiwa seni dan berbakat dalam bidang mengandam pengantin. Jadi selepas menemani dia mengandam pengantin di Batu Berendam, barulah saya menghantarnya ke Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 3 petang.
“Sebelum arwah beli tiket, kami sekeluarga sempat makan bersama. Kemudian kami datang semula ke kereta untuk ambil beg arwah. Tak sangka, selalunya kami tunggu sehingga dia naik bas, namun semalam (kelmarin) terus balik dan tidak rasa nak tunggu,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abd Karim Jamaludin, 64, yang menetap di Felda Chemomoi, Triang, Pahang, berkata pada mulanya dia tidak mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anak keenam daripada tujuh beradik itu kerana tidak dimaklumkan perkara sebenar.
Menurutnya, dia dimaklumkan agar bersiap bersama isterinya, Salamah Ismail, 57, pada awal pagi kerana perlu pergi ke Melaka kerana mempunyai urusan.
“Sebelum itu rakan ada menghubungi kira-kira jam 3 pagi tetapi tidak memberitahu mengenai kemalangan (menimpa anak) tetapi dalam perjalanan ke Melaka, Norhafizah memberitahu kejadian menimpa Norazmi.
“Norazmi adalah anak harapan, malah dia juga masih belum menerima gaji berkhidmat sebagai guru sandaran di sebuah sekolah di Damansara sebelum Aidilfitri lalu,” katanya.
Jenazah Norazmi dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Pondok Kempas, Selandar, Jasin, petang semalam.
P/S - Korang nak tgk gambar-gambar kemalangan tersebut? Nanti lulu update..mekasih....
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment