Dua tukang masak antara tiga yang terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke arah bertentangan dan melambung ke atas sebuah van di Jalan Syed Putra di sini, awal pagi tadi.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, kedua-dua tukang masak itu dikenal pasti sebagai Lee Fong Hoon, 36, dan Oo Der Hing, 25, manakala pemandu van yang turut terbunuh dalam kemalangan maut itu ialah Raja Nazreen Raja Sulong, 34.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4.10 pagi berdekatan Sekolah Menengah Kuen Cheng, beliau berkata, ia turut menyebabkan seorang wanita cedera ringan apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang van terbabit.
"Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Fong Hoon dari arah Petaling Jaya ke pusat bandar merempuh tiang lampu dan terbabas ke arah bertentangan lalu melambung ke atas van itu.
"Akibat rempuhan yang kuat itu, van tersebut berpusing melawan arus sebelum dilanggar oleh kereta yang dipandu wanita itu," katanya.
Rosli berkata, ketiga-tiga mangsa yang terbunuh itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment