GEMENCHEH: “Tak apalah ayah ‘pergi’ asalkan kamu selamat,” itu ungkapan terakhir dibisikkan seorang pengurus kilang kayu getah sebelum maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 22, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran kilang batu di Seri Asahan, dekat sini, malam kelmarin.
Anak bongsu mangsa, Wong Seng Yuen, 23, berkata bapanya, Wong Leong Chai, 58, ketika itu tersepit di tempat duduk pemandu depan pacuan empat roda dipandu abangnya.
“Ketika itu, keadaan ayah sudah nazak dan tersepit, namun dia berbisik kepada abang saya, Wong Leou Yuen, 28, yang cedera.
“Tidak lama selepas itu, bapa saya menghembuskan nafas terakhir kerana parah, manakala abang saya yang memandu kenderaan itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tampin, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, Leong Chai mati di tempat kejadian kerana parah di bahagian dalaman badan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, siasatan kemalangan terbabit dijalankan.
Menurutnya, pemandu lori yang melanggar kenderaan mangsa kini ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment