Tuesday, November 2, 2010

Woods: Tidak rugi apa-apa hilang gelaran No. 1


YOKOHAMA, Jepun - Tiger Woods berkata, dia tidak rugi apa-apa selepas kehilangan status sebagai pemain No. 1 dunia kepada pemain golf England, Lee Westwood selepas melalui musim yang sukar tahun ini.
Westwood merampas gelaran teratas itu, kelmarin sekali gus menamatkan penguasaan Woods yang bertakhta selama 281 minggu.
''Ya, saya bukan lagi pemain No. 1 dunia seperti apa yang tercatat dalam ranking dunia. Untuk ke tahap itu, anda perlu memenangi banyak kejohanan dan saya tidak menang pada tahun ini,'' kata Woods.
Woods beraksi dalam perlawanan pertunjukan di Yokohama Country Club, semalam menentang pemain remaja Jepun, Ryo Ishikawa.
Dia dijadual mengambil bahagian pada Kejohanan HSBC di Shanghai, Khamis ini.
Woods mula menakluk gelaran No. 1 seminggu selepas Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 2005 dan ketika itu dia hanyalah naib johan.
Dia kemudian menjuarai Terbuka Britain sebulan selepas itu dan kedudukannya semakin kukuh dan jarang tergugat.
Keadaan itu bagaimana berbeza pada tahun ini dan Woods terpaksa bergelut mencari kemenangan dan mempertahankan kedudukannya.
Dia juga berehat selama lima bulan daripada aksi di lapangan untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya gara-gara skandal sebelum berakhir dengan perceraian.
Woods berkata, dia telah berusaha gigih untuk mempertahankan kedudukan selaku pemain No. 1 dunia.
''Untuk menjadi No. 1 anda perlu memenangi banyak kejohanan. Itulah sahaja caranya,'' ujar Woods.
Woods kini menduduki tangga kedua diekori juara PGA, Martin Kaymer, Phil Mickelson dan Steve Stricker.
Dengan baki tiga lagi kejohanan pada musim ini, Woods berkata, dia mahu mengubah kedudukan itu.
Saya ada tiga lagi kejohanan tahun ini dan saya berharap dapat melakukannya. Saya benar-benar mahu melakukannya sebelum 2011,'' tegas Woods.
Sementara itu, Westwood mengambil alih kedudukan No. 1 selepas Kaymer gagal menghabiskan permainan untuk kedudukan dua teratas pada Andalucia Masters di Sepanyol. Dia adalah pemain Eropah pertama menduduki ranking teratas itu selepas Nick Faldo melakukannya pada tahun 1994.





.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!