Wednesday, December 22, 2010

Anggota TUDM parah terlibat kemalangan tiga kenderaan


Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) parah setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Anak Ikan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian ketika hujan lebat kira-kira pukul 5.45 pagi itu, Firdaus Kusairi, 31, dikatakan memandu berseorangan dari arah Kuala Terengganu menuju Kota Bharu.

Setiba di tempat kejadian, mangsa yang berasal dari Ijok, Selangor dikatakan gagal mengawal kereta Proton Wira Aeroback yang dipandunya sebelum terbabas lalu memasuki lorong bertentangan.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, kenderaan mangsa kemudian merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas yang dalam perjalanan dari arah Jerteh menuju Kuala Terengganu.
Berikutan pertembungan itu, treler terbabit terbabas dan terbalik di kiri jalan dengan tong gas kosong bertaburan di tengah jalan manakala Firdaus tersepit di dalam keretanya.

"Tidak lama kemudian, datang sebuah lori tangki minyak dari Jerteh yang kemudian merempuh tong- tong gas yang berselerak di atas jalan raya," katanya.


Bagaimanapun pemandu lori tangki itu tidak mengalami kecederaan manakala pemandu treler, Amir Abdullah, 33, hanya cedera ringan dan dia dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut.

Berikutan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di sini bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan Firdaus yang tersepit di dalam keretanya yang remuk sebelum dibawa ke Hospital Besut.

Mangsa yang mengalami patah tangan dan kecederaan di kepala kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan beliau menambah, punca sebenar nahas masih dalam siasatan.




.

3 Penyokong CHELSEA:

nadzirah razalli on December 22, 2010 at 11:35 AM said...

dahsyat..makin byk kes xcident skang ni...

Anati Soki on December 22, 2010 at 12:15 PM said...

subhanallah.. ngeri tgk...

Lulu Caldina on December 22, 2010 at 2:55 PM said...

huhu..itulah..kena lebih berhati-hati di jln raya...

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!