Wednesday, December 22, 2010

Lagi berita mengenai kemalangan bas persiaran 21.12.2010

Permit 19 bawa 35


Syarikat bas nahas korban 27 nyawa langgar syarat

Bas persiaran dua tingkat yang terbabit dalam nahas mengorbankan 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat Ipoh, kelmarin, dipercayai membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Mangsa dakwa bas dipandu laju

Achala

"Bas dipandu laju". Itulah satu-satunya gambaran yang dapat difahami menerusi bahasa isyarat oleh seorang penumpang yang terselamat dalam tragedi bas persiaran mengorbankan 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands semalam.
Chirarot Bunthichinwiwatn, 43, ketika ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini cuba menceritakan detik-detik cemas itu namun tidak dapat difahami kerana dia hanya boleh bertutur dalam bahasa Thai.
Chirarot mengalami kecederaan pada badan dan kedua-dua tapak kakinya akibat kejadian tersebut.
Bapa kepada Areena Songserm, 19, iaitu Nasir Ismail, 51, berkata, dia mengetahui bahawa anaknya terselamat dan dirawat di HRPB selepas mendapat panggilan telefon pada pukul 3 petang semalam.
Nasir yang merupakan seorang pengusaha restoran berkata, ketika kejadian, anaknya yang juga penuntut tahun ketiga jurusan Undang-Undang Walailak University di Sala, Thailand sedang bercuti.
Menceritakan tentang pengalaman anaknya dalam nahas tersebut, dia berkata, anaknya memberitahu, dia ternampak asap di bahagian tepi bas ketika menuruni bukit.
"Anak saya kemudian menceritakan, dia sedar bas itu melanggar pembahagi jalan sebelum melambung dan masuk ke longkang.
"Anak saya terpaksa merangkak keluar daripada bas yang musnah dengan luka di kaki dan kepala," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Thanvarat Poolsaeng, 36, tidak mampu bertutur lama dan sebutannya juga tidak jelas kerana kepalanya masih terasa sakit.
Namun, dia sempat bercerita kepada Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong yang mewakili minoriti Siam di negara ini bahawa dia kehilangan suami, Poonporn Poolsaeng, 41, dan anak perempuannya, Natkritta Poolsaeng, 6, dalam tragedi itu.
Somchai Polanan, 62, pula tidak mampu bertutur kerana kepalanya masih berbalut dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Seorang lagi penumpang, Rungnapa Klungsuwan juga sukar ditemu bual kerana hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Thai.
Rungnapa yang mengalami kecederaan pada bahagian mukanya dilihat termenung dan masih trauma dengan kejadian menyayat hati itu.
Achara Wiwat, 36, pula dilihat terbaring sahaja dengan kecederaan pada kedua-dua belah matanya.


Arwah Omar luah rasa tak sedap hati 


Pemandu maut nahas pernah terbabas ketika guna jalan Cameron Highlands

IPOH: “Saya memang rapat dengan abah. Abah selalu bawa saya jalan-jalan menaiki bas dan Jumaat lalu abah sempat bawa kami ke Hatyai, Thailand dan beli peralatan sekolah untuk saya,” kata Muhammad Nizam, anak bongsu kepada Omar Shahidan, 48, pemandu bas rakyat tempatan yang maut bersama 26 lain dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang di sini, kelmarin.

Muhammad Nizam, 14, berkata dia tidak menyangka perjalanan bersama ayahnya itu adalah kali terakhir mereka dapat bersama sekeluarga kerana sebelum ini ayahnya sering sibuk bekerja.

“Saya reda dengan pemergian ayah walaupun terasa amat sedih,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam kelmarin.

Omar meninggalkan seorang balu, Puspalela Ramli, 40, dan tiga anak iaitu Siti Nazirah, 20, Hajaratul Syahmimi, 18 dan Muhammad Nizam.

Saudara terdekatnya, Aswadi Baharuddin, 31, yang juga pengusaha dan pemandu bas, berkata sebelum kejadian arwah pernah memberitahunya bahawa percutiannya bersama keluarga ke Hatyai, Thailand mungkin percutian kali terakhir buatnya, namun dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

"Beberapa minggu lalu, arwah pernah bersungut berhubung kebimbangannya melalui jalan menghala ke Cameron Highlands kerana arwah pernah terbabas di laluan itu dan turut meluahkan rasa tidak sedap hati sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak menyangka bahawa perasaan tidak sedap hati yang diluahkan oleh arwah akan berakhir dengan tragedi.

“Saya cukup mengenali arwah. Arwah bukan seorang yang suka memandu laju dan arwah amat cermat ketika memandu bas. Ada kemungkinan kemalangan ini berlaku mungkin berpunca daripada laluan berkenaan seperti didakwa arwah,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada arwah Omar, Sabariah Abdullah, 72, berkata sudah dua bulan arwah tidak menghubunginya kerana anaknya itu terlalu sibuk dengan kerjanya sebagai pemandu bas, terutama ketika musim cuti sekolah sekarang.

Difahamkan arwah adalah anak keempat daripada lima beradik dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Air Manis, Kangar, Perlis.


Thailand sedia pesawat khas

Kedutaan Thailand berusaha mendapatkan pesawat khas untuk membawa pulang semua 25 jenazah warga negara itu ke Bangkok secepat mungkin.

Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana, berkata pihaknya bercadang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini untuk penerbangan terus ke Bangkok.

"Kami akan membawa pulang (jenazah) secepat yang mungkin," katanya ketika melawat mangsa yang cedera dan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, semalam.

Seramai 10 mangsa masih dirawat di beberapa wad termasuk Duranee Songserm, 59, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan Kedutaan Thailand membawa waris mangsa dari Bangkok menerusi penerbangan komersial pagi ini untuk pengecaman di Ipoh.

Jenazah pemandu bas, Omar Shahidan dan pemandu pelancong, Soonkorn a/l Kian sudah dituntut keluarga masing-masing malam kelmarin.

Sebanyak 11 mayat ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, enam di Hospital Batu Gajah dan masing-masing empat mayat di Hospital Sungai Siput dan Hospital Hulu Kinta.


'Tumpahan minyak bukan punca'

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyampaikan ucapan takziah kepada Sabariah Abdullah, ibu Allahyarham Omar Shahidan di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.

Polis menolak dakwaan bahawa tumpahan minyak hitam menjadi punca nahas ngeri bas persiaran yang meragut 27 nyawa di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sebaliknya berkata, beliau percaya nahas tersebut berpunca daripada sama ada kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal.
Namun, katanya, terpulang kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom Sdn. Bhd. untuk menentukan hasil siasatan mereka.
"Polis dan bomba sampai awal lebih kurang 10 minit selepas menerima panggilan telefon daripada orang ramai.
"Tempat tersebut adalah kering dan minyak itu hanya muncul selepas kita mengangkat bas tersebut. Tiada sebarang tumpahan minyak yang berlaku semalam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias.
Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan membabitkan bas ekspres negara itu mengakibatkan 27 maut dan 10 lagi cedera parah berlaku di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.
Kemalangan yang meragut nyawa 15 wanita dan 12 lelaki yang rata-ratanya pelancong warga Thailand itu turut mengorbankan dua rakyat tempatan.
Menurut Zakaria, pengecaman mayat akan dibuat oleh waris-waris mangsa dari Thailand yang dijangka tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tengah hari esok.
"Apa yang saya tahu, pihak Tentera Udara Thailand dengan kerjasama Pejabat Kedutaan negara itu akan terbang ke Subang dan dijangka tiba di Ipoh melalui jalan darat.
"Pengurusan mangsa-mangsa ini sama ada melalui jalan darat mahupun udara masih belum ditentukan lagi," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pemandu bas terbabit memiliki rekod saman, beliau berkata, perkara itu masih belum dipastikan.
Selain itu, katanya, sehingga sekarang, pihak polis masih belum berjumpa dengan pihak pengurusan agensi pelancongan yang terbabit.
"Kita sudah mengarahkan mereka tampil untuk berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Ipoh bagi memastikan sama ada pihak San Express Holiday atau SK Murni Travel and Tours yang terlibat," katanya.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!