SENARIO perfileman tempatan terus mencatat perkembangan positif sepanjang tahun ini apabila menyaksikan sebanyak 29 filem Melayu ditayangkan.
Berbanding tahun lalu, hanya 27 filem menemui penonton di pawagam manakala 28 filem pada tahun sebelumnya. Perubahan pada jumlah filem ini dianggap peningkatan semakin baik dalam memeriahkan industri hiburan tempatan.
Bagi penggiat seni, persepsi filem tempatan kurang sambutan pada aspek kutipan kerana kebanjiran filem luar negara seperti Hollywood sepatutnya tidak lagi dijadikan isu besar atau alasan jika sesebuah filem itu gagal. Malah, alasan penonton kurang minat menonton filem di pawagam atas faktor adanya stesen TV satelit, kecanggihan Internet mahupun cakera video digital (DVD) cetak rompak, hakikatnya masih ada kelompok penonton digelar 'kaki wayang' berminat menyokong filem bangsa sendiri.
Mengambil contoh 29 filem tempatan menemui penonton pada tahun ini, boleh dikatakan 70 peratus filem berjaya mencapai kutipan box-office atau balik modal. Kejayaan ini didorong pelbagai faktor seperti plot dan penyampaian menarik yang menjurus pada kualiti filem itu berjaya memikat ramai penonton.
Begitu juga, tanggapan produser berebut masa tayangan pada hari perayaan seperti Aidilfitri atau cuti sekolah bukan lagi jaminan. Mengambil contoh, filem komedi aksi Adnan Sempit terbitan MIG Productions Sdn Bhd ditayangkan mulai 10 Januari lalu, berjaya meraih kutipan besar RM7.66 juta. Kejayaan ini membuktikan percaturan Produser MIG, David Teo yang gemar mempertaruhkan genre komedi masih membuahkan hasil.
Sambutan positif ini juga merujuk pada filem komedinya lain ditayangkan pada tahun ini seperti Semerah Cinta Stilleto mencatat kutipan RM2.13 juta, Zoo (RM2.17 juta), Senario Asam Garam (RM2.47 juta), Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (RM4.23 juta) dan Ngangkung (RM7.24 juta).
Filem Ngangkung bersama dua filem baru iaitu Aku Masih Dara masih ditayangkan manakala Damping Malam menunggu masa tayangan pada 30 Disember ini.
Tahun ini, David membawa 12 filem termasuk kutipan filem seram, Mantra meraih RM2.74 juta, Niyang Rapik (RM3.72 juta) manakala Cuti-Cuti Cinta (RM3.17 juta) dan kisah aksi, V3: Samseng Jalanan (RM3.88 juta). Setakat ini, Adnan Sempit dan Ngangkung mencatat kutipan tertinggi pada tahun ini mengikut maklumat yang dinyatakan dalam laman sesawang rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di www.finas.gov.my.
Di kalangan segelintir produser filem, sudah tentu kegigihan David menerbitkan banyak filem setahun sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemburu. Namun, perasaan ini sepatutnya memberi galakan pada produser lain bersaing menghasilkan filem baru yang berkualiti.
Bagi filem lain, pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof berbangga dengan pencapaian filem ketiganya, Evolusi KL Drift 2 ditayangkan pada 25 Mac lalu. Filem bercorak aksi ini bukan saja mengutip RM5.67 juta sebaliknya meraih tiga anugerah pada FFM23 lalu.
Shaheizy yang membintangi filem itu menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala Penyunting Terbaik dan Pengarah Terbaik juga menjadi milik produksi Skop Productions Sdn Bhd.
Nyata, kemenangan bermakna Syamsul pada FFM23 yang mengiktiraf kerja pengarahan dipersoal segelintir penggiat seni lain yang tidak berpuas hati dengan keputusan pada malam itu.
Anak bujang pada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini sebaliknya tidak mudah mengalah dalam perjuangan menghasilkan karya baru. Membawa kelainan, dia tampil menerusi filem baru genre seram, Khurafat, bergandingan bersama Liyana Jasmay akan ditayangkan pada 13 Januari ini.
Sebagaimana kejutan kemenangan Syamsul pada FFM23, filem Magika arahan Edry Abdul Halim juga mencipta sejarah pada pencapaian filem tanah air. Siapa sangka, juri FFM23 mengiktiraf filem genre fantasi dan muzikal sebagai Filem Terbaik.
Magika terbitan KRU Studios Sdn Bhd meraih tujuh anugerah lain termasuk Pengarah Harapan Terbaik dimenangi Edry, Skor Muzik Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Fimie Don), Pereka Kostum/ Busana Terbaik (Hasnan Yaacob) dan Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/ Johan Lucas). Meskipun pelbagai pandangan positif dan negatif dilemparkan penggiat seni, acara tahunan seperti FFM23 masih menjadi penanda aras (benchmarking) pada pencapaian filem tempatan. Mungkin ada benarnya, segelintir karyawan menyatakan filem yang mendapat sambutan hebat penonton tidak semestinya menang Filem Terbaik.
Namun, anugerah bukanlah matlamat semata-mata untuk produser menghasilkan filem baru. Anugerah menjadi perangsang agar terus berkarya lebih baik.
Menyingkap sepanjang tahun ini, masih ada filem yang mencatat kutipan rendah seperti 2 Hati 1 Jiwa hanya meraih RM400,000, Hooperz (RM290,000), Belukar (RM300,000), Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami (RM560,000), Kapoww!! (RM270,000), Estet (RM350,000), Crayon (RM53,000), 2 Alam (RM440,000) dan Aku Tak Bodoh (RM670,000) masih ditayangkan.
Di peringkat antarabangsa, kejayaan dikongsi apabila filem Mualaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad menang anugerah Pengarah Terbaik pada di Festival Filem Asia Pasifik ke-54 (FFAP54) yang berlangsung di Taipei, Taiwan pada 4 Disember lalu. Filem yang dibintangi Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Brian Yap sebagai pelakon utama, sekadar menang Anugerah Khas Juri pada FFM23 lalu. Malah mengejutkan kerana tidak disenaraikan dalam Top 5 untuk kategori utama.
Menutup tirai 2010, empat filem baru menemui penonton iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Aku Masih Dara ditayangkan sejak 9 Disember lalu, manakala Janin pada 23 Disember dan Damping Malam (30 Disember).
Ada yang menjangkakan, catatan tertinggi yang dipegang Adnan Sempit dirampas Ngangkung yang dikatakan mampu mencecah RM8 juta. Mungkin juga, filem genre komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang kini mendapat pujian ramai penonton dijangka mencipta kejutan, sekali gus memberi saingan kepada filem komedi MIG. Filem terbitan Tayangan Unggul ini mencatat kutipan lebih RM4 juta.
TAYANGAN FILEM 2010
1. Adnan Sempit (14 Januari) - RM7.8 juta
2. 2 Hati 1 Jiwa (28 Januari) - RM400,000
3. Lu Fikirlah Sendiri De Movie (11 Februari) -
4. Niyang Rapik (25 Februari) - RM3.72 juta
5. V3: Samseng Jalanan (11 Mac) - RM4 juta
6. Evolusi KL Drift 2 (25 Mac) - RM5.67 juta
7. Semerah Cinta Stilleto (8 April) - RM2.13 juta
8. Hooperz (22 April) - RM290,000
9. Belukar (6 Mei) - RM300,000
10. Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami (20 Mei) - RM560,000
11. Kecoh Betul (3 Jun) -
12. Lagenda Budak Setan (3 Jun) -
13. Kapoww (17 Jun) - RM270,000
14. Zoo (1 Julai) - RM2.17 juta
15. Mantra (15 Julai) - RM2.74 juta
16. 4 Madu (9 September) - RM2 juta
17. Senario Asam Garam (9 September) - RM2.6 juta
18. Magika (23 September) -
19. Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (7 Oktober) - RM4.23 juta
20. Cuti-cuti Cinta (21 Oktober) - RM3.17 juta
21. Estet (4 November) - RM350,000
22. Krayon (11 November) - RM53,000
23. 2 Alam (18 November) - RM440,000
24. Ngangkung (25 November) - masih ditayang
25. Aku tak Bodoh (2 Disember) - masih ditayang
26. Hantu Kak Limah Balik Rumah (9 Disember) - masih ditayang
27. Aku Masih Dara (16 Disember) - masih ditayang
28. Janin (23 Disember) -
29. Damping Malam (30 Disember) -
.
1 Penyokong CHELSEA:
banyak citer yg best tawn ni.. :))
Post a Comment