MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) semakin teruja bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana England, Ahad ini, sekali gus menamatkan badi pasukan itu setiap kali beraksi di Stamford Bridge.
United akan bertandang ke gelanggang Chelsea itu dengan hasrat mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini selain melebarkan jurang mata di tangga teratas liga.
Berbanding Carlo Ancelotti yang sekadar mampu melihat Chesea hanya mengutip enam mata daripada tujuh perlawanan terakhir biarpun pada awal musim mereka dilihat cukup mantap.
Di atas kertas, inilah peluang terbaik buat United mencatat kemenangan pertama di gelanggang keramat Chelsea itu sejak kali terakhir berjaya melakukannya pada April 2002.
"Ini perlawanan yang cukup penting. Kami memiliki rekod buruk ketika berdepan Chelsea di Stamford Bridge tetapi tidaklah begitu teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kami sudah cukup bersedia untuk menghadapinya. Cukup lama kami menantikan saat untuk menguasai takhta liga. Jadi ia satu perlawanan penentu buat United," kata Ferguson.
Pada awal musim ini, ramai pengkritik mempersoalkan sama ada skuad bimbingan Ferguson itu cukup kuat untuk merampas semula kejuaraan liga daripada Chelsea.
Namun Ferguson dengan nada yakin menegaskan bahawa dia memiliki para pemain yang mampu untuk menyelesaikan hutang dengan musuh utama mereka itu.
"Kami memiliki pemain yang baik dan mereka semua telah memperolehi banyak pengalaman beraksi pada perlawanan-perlawanan penting sejak beberapa tahun yang lalu.
"Jadi ini bukanlah perkara baru buat mereka. Pengalaman mereka cukup penting dan keghairahan mereka masih tinggi untuk membawa kejayaan kepada kelab ini," jelas Ferguson.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment