Tuesday, December 14, 2010

Janin mendebarkan, meruntun jiwa


SEBELUM tahun 2010 melabuhkan tirainya, Primeworks Studios akan melajukan degupan jantung para peminat filem Melayu menerusi filem terbaru terbitan mereka yang berjudul Janin.

Janin yang diarahkan oleh Yeop Hitler Zami akan menemui para penonton mulai 23 Disember ini dengan jalan cerita yang padat dengan adegan ngeri di mana pada masa sama ia turut meruntun sesiapa yang menontonnya.
Mendengarkan tajuknya saja sudah sedikit mencemaskan, apatah lagi apabila menyaksikan filem ini digarap dengan cetusan emosi tersendiri oleh Yeop yang pernah mengarahkan filem berjudul Dunia Baru The Movie tidak lama dulu.

Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Ahmad Puah Onah berkata, Janin bukan sekadar sebuah filem seram tetapi banyak mesej di sebalik jalan ceritanya yang boleh dijadikan iktibar oleh para penonton.

“Filem ini adalah sebuah filem seram yang bukan hanya menumpukan kepada emosi ketakutan seperti kebanyakan filem seram yang lain. Sebaliknya, Janin juga memberi ruang kepada penonton untuk menghayati emosi kesedihan yang membawa kepada satu mesej.

“Kita tidak mahu penonton terlalu berdebar-debar setiap masa ketika menyaksikan filem seram kerana ada ketikanya penonton hilang fokus dan ketinggalan babak-babak yang menarik.

“Kita mahukan penonton kali ini menyaksikan filem seram yang sememangnya bakal mendebarkan mereka tetapi pada masa yang sama mereka akan melalui pengisian emosi yang mampu menggamit jiwa mereka,” katanya.
Kenyataan Ahmad Puad itu menjelaskan bahawa filem Janin tidak akan meninggalkan kesan ketakutan yang berpanjangan tetapi penonton akan lebih tersentuh dengan cetusan emosi yang diilhamkan oleh pengarahnya.

Tambahnya, ini bukanlah untuk menunjukkan filem Janin tidak menyeramkan langsung. Setiap penonton akan merasa seram dengan cara yang berbeza.
Janin antaranya dilakonkan oleh para pelakon senior yang hebat seperti Siti Shahrizah (Eja) dan Hairie Othman di mana mereka dijangka mampu menarik masyarakat untuk ke panggung.

Tidak seperti kebanyakan filem seram sebelum ini yang lebih memfokuskan kemunculan hantu dengan efek bunyi dan kesan khas bagi menakutkan penonton.
Janin lebih mengetengahkan tindak balas emosi antara penonton dengan suasana yang ditimbulkan dalam filem tersebut.

“Ini bermakna penonton bukan saja berasa berdebar-debar tatkala menyaksikan babak-babak seram yang mengejutkan tetapi mungkin juga boleh meruntun jiwa,” jelas Ahmad Puad lagi.
“Tanpa disedari ketika khusyuk melayari emosi yang dibina secara berperingkat-peringkat sehingga mampu membuatkan penonton menitiskan air mata,” katanya.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!