Norshahrul ketika ditemui di Wisma FAM semalam sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan menerima tawaran dari pasukan Sriwijaya FC yang beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) dan sebuah lagi pasukan yang belum dapat dipastikan.
Penyerang berusia 24 tahun itu berkata, ejen kedua-dua pasukan itu ada menemuinya dan menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.
“Benar saya mendapat tawaran pasukan Sriwijaya dan sebuah lagi pasukan dari Jawa Tengah. Saya bersedia untuk keluar dari Malaysia dan beraksi untuk pasukan ini jika mereka memang serius mahu menggunakan khidmat saya,” katanya.
Aksi Norshahrul sepanjang kempen Piala Suzuki AFF sememangnya tidak mengecewakan apabila berjaya mencipta gerakan cantik untuk rakan sepasukan, terutama kepada seorang lagi penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali yang muncul penjaring terbanyak kejohanan itu dengan lima gol.
Malah ada yang mengatakan dia bakal menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), namun ia akhirnya menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarkan semasa aksi final kelmarin, Firman gagal menyempurnakan sepakan penalti. Malah, Firman sendiri mengaku yang dia terkejut kerana dipilih untuk menerima anugerah itu.
Norshahrul mengakui yang dia agak terkilan kerana tidak dipilih untuk meraih anugerah berkenaan, namun kekecewaan itu terubat apabila dapat membantu memastikan pasukan negara menjulang Piala Suzuki AFF buat kali, pertama sekali gus menambah koleksi peribadinya selepas meraih pingat emas Sukan Sea 2009 Laos serta menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan.
“Tahun ini serta musim lalu memang amat bermakna bagi saya kerana banyak kejuaraan yang saya kecapi bersama Kelantan serta skuad kebangsaan. Harap-harap saya dapat mengekalkan prestasi terbaik selepas ini.
“Menjuarai Piala Suzuki AFF ini juga amat bermakna buat saya kerana ia hadiah paling berharga selepas baru melangsungkan perkahwinan,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment