Saturday, December 4, 2010

Proses pengundian Piala Dunia didakwa diatur

PARA delegasi Rusia dan Qatar bersorak kegembiraan selepas kedua-dua negara itu diumumkan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 di Switzerland kelmarin.
LONDON - Proses pengundian mengenai hak penganjuran Piala Dunia dipercayai sudah diaturkan.
Ini kerana, Rusia yang dipilih untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dilaporkan telah mengetahui keputusan mengenai undian itu 24 jam sebelum ia diumumkan secara rasmi kelmarin.

Ketua Eksekutif Pembida Rusia, Alexey Sorokin dikatakan sangat yakin dengan peluang mereka sehingga memberitahu pasukan pembida England di Zurich pada Rabu lalu bahawa negaranya telah menerima undian yang mencukupi.

Menariknya, kenyataan yang dikeluarkan bekas diplomat Rusia di Washington itu terbukti sangat tepat.
England terkeluar pada pusingan pertama setelah mendapat dua undian, satu daripada wakil mereka sendiri manakala satu lagi kemungkinan dari Jepun.

Manakala Rusia pula diberi hak penganjuran setelah selesa dengan 13 undian pada pusingan kedua.
Situasi tersebut turut dilihat sebagai satu ejekan terhadap pembentangan rayuan oleh pasukan pembida England yang diketuai Putera William, Perdana Menteri David Cameron dan bintang mereka, David Beckham.

Sorokin pula menjelaskan, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin tidak akan hadir pada majlis itu kerana ia melibatkan unsur 'pertandingan yang tidak beretika.'

Kenyataan tersebut jelas sekali merujuk kepada penyiasatan media di England terhadap jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Wakil dari Sepanyol, Angel Maria Villar Llona pula cuba menjejaskan bidaan England dengan memberitahu wakil-wakil lain mengenai rasa marahnya terhadap serangan melibatkan integriti FIFA itu.

Beliau mengulangi lagi kemarahan itu ketika pembentangan rasmi pembidaan Sepanyol/Portugal dengan berkata: "Kamu jangan percaya lagi kata-kata pihak media.

Proses undian ini adalah bersih."

Begitupun, Rusia sebelum ini mendedahkan Sepanyol telah membuat satu pakatan dengan Qatar yang mana mereka dapat memenangi hak penganjuran Piala Dunia pada 2018 dan Qatar pula pada 2022.
Bagaimanapun, Qatar telah memenangi undian bagi 2022 manakala Sepanyol pula gagal bagi hak penganjuran 2018.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!