Tuesday, December 7, 2010

Remaja koma perlu bantuan


Ibu tak mampu beli susu, lampin sejak mangsa terlantar 3 bulan lalu

KUALA KEDAH: Mohd Nor Hafizi Abdul Aziz, 19, yang terbabit dalam kemalangan tiga bulan lalu, masih tidak sedarkan diri dan terlantar di katil di rumahnya di Kampung Telok Talipon, di sini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu sudah tiga bulan koma selepas otaknya gagal berfungsi akibat gegaran kuat pada kepalanya berikutan terbabit dalam kemalangan.
Dalam kejadian pada jam 11.50 malam, 31 Ogos lalu, motosikal ditunggangi Mohd Nor Hafizi dirempuh kereta di Taman Baru Kubang Rotan, menyebabkannya parah di muka selain patah hidung, tulang paha dan kaki.

Ibunya, Sabariah Saari, 49, berkata, selain itu, doktor mengesahkan anaknya kemungkinan besar buta, manakala hidungnya digantikan dengan hidung plastik selepas mukanya remuk akibat kemalangan terbabit.

Sabariah berkata, ketika ini anaknya makan dengan menggunakan tiub khas yang ditebuk pada perutnya.

“Jika Mohd Nor Hafizi lapar, beliau akan menggerakkan kaki dan tangannya. Saya akan memasukkan susu menerusi tiub khas berkenaan. Malah, sesekali Mohd Nor Hafizi juga meronta-ronta kesakitan menyebabkan saya terpaksa mengikat kaki dan tangannya pada tiang untuk tujuan keselamatan.
“Saya mengikat tangannya di tiang rumah apabila tangan Mohd Nor Hafizi akan merayap dengan sendiri seolah-olah beliau mahu menggaru matanya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sabariah yang juga ibu tunggal berkata, beliau memerlukan wang yang banyak untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya setiap bulan. Keadaan itu membuatkannya tertekan kerana beliau tidak bekerja.

Sehubungan itu, pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh ke rumah Sabariah di Nombor 6, Kampung Telok Talipon, Mukim Kubang Rotan atau menghubunginya di nombor 012-5986163.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!