“KHURAFAT-Perjanjian Syaitan” mengisahkan perjanjian terlarang, persekongkolan antara manusia & syaitan.Satu bentuk penyelewengan yang nyata dalam Aqidah Islam dan amat ditegah dalam Agama.Manusia, disogok dengan nafsu serakah dan dendam membara, tanpa mengira akibat dan bahana, rela membelakangkan Allah untuk memperoleh apa yang dicita walau dengan apa cara, akhirnya hanyut dengan bisikan dan tipu daya syaitan durjana.
Kisah bermula dengan Johan, seorang pemuda yang berkerja sebagai Pembantu Perubatan di sebuah hospital kerajaan. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Ayshah. Seawalnya pasangan ini hidup aman dan bahagia, namun tanpa disangka ujian melanda di pertengahan jalan, kesan daripada ‘gangguan misteri’ yang berterusan.
Dalam pada masa gangguan-gangguan itu, hadir pula seorang perempuan tua yang tidak Johan kenali namun sering menyapa dan cuba mendekati Johan sewaktu di tempat kerja. Tanda tanya dan trauma yang melanda Johan dan Ayshah tidak habis di sana, malah ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan yang bernama Anna.Walaupun setelah mengetahui Johan sudah berumah tangga dan bergelar suami yang sah pada Ayshah, Anna masih terus mengganggu dan merayu untuk menerimanya semula. Ini menyebabkan Johan bertambah runsing dan bertekad untuk mempertahankan rumah tangganya dengan segala daya.
Tidak lama setelah berkali-kali ditolak cintanya, Anna ditemui mati;bunuh diri. Kematian Anna adalah kemuncak bagi segala siri kejadian misteri yang berlaku dalam hidup Johan dan Ayshah.
Apa yang menghantui dan menggangu Johan dan Ayshah sebenarnya? Adakah ini semua hanya halusinasi dan gangguan minda mereka atau adakah ini semua merupakan petanda-petanda bagi merungkai jawapan bagi semua persoalan mereka?
Segalanya akan terjawab bila anda menyaksikan “KHURAFAT-Perjanjian Syaitan” yang akan ditayangkan serentak di pawagam seluruh Malaysia pada 13 Januari 2011.
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendapatkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)” (Surah Yunus:106)
** **
Syamsul masuk liang lahad
CABARAN tugas seorang pengarah bukan setakat mengemudi lakonan, sebaliknya menterjemahkan skrip menjadi plot yang hebat.
Lantaran itu, pengarah muda berbakat besar, Syamsul Yusof akui pengalaman menyiapkan filem keempatnya, Khurafat sangat menguji diri daripada aspek idea, kreativiti, lakonan dan pengarahan.
Berbeza dengan pengalaman menerbitkan tiga filem yang membawa genre aksi iaitu Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan sekuel, Evolusi KL Drift 2, Syamsul mencari pembaharuan apabila mencuba filem yang membawa elemen seram dan saspen dalam cara berbeza berbanding filem sedia ada.
Khurafat yang akan menemui penonton di pawagam mulai 13 Januari depan menampilkan Syamsul bersama Liyana Jasmay sebagai pelakon utama dibantu Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani, A Galak, Latiff Borgiba dan Ruzaidi Abdul Rahman.
Kata Syamsul yang juga bertindak selaku penulis skrip, filem yang dihasilkan kali ini dianggap rumit kerana dia mahu menampilkan cerita yang lari daripada stereotaip.
“Selalu saya menulis cerita mengikut perjalanan awal hingga akhir namun, kali ini saya bermula dengan kesudahannya terlebih dulu dan mencari ‘twist’.
“Ketika menulis skrip, apa yang saya mahukan penghujung cerita ini adalah suatu yang penonton tidak sangka.
“Ia kisah imaginasi saya bersama pengalaman yang pernah kita dengar seperti gangguan dalam bilik mayat dan kisah seram di hospital.
“Saya juga percaya kesan bunyi sangat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perasaan penonton untuk berasa seram. Bagi saya, setiap adegan hantu yang muncul ada sebab tertentu dan ia dirungkai pada penghujung cerita.
“Sebelum filem ini siap, saya banyak membuat rujukan filem seram Hollywood dan Asia. Sebolehnya saya mahu pelbagai cara hantu itu ditunjukkan.
“Mungkin ada yang berkata, hantu dalam filem ini mempunyai persamaan dengan Ju-On. Itu pandangan masing-masing,” katanya.
Dalam filem ini, Syamsul yang membawa watak sebagai Johan juga memberanikan diri berlakon dalam liang lahad. Namun, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang insiden pelik.
Mengenai pemilihan Liyana yang melakonkan watak isteri, Syamsul berkata dia sejak awal lagi berhasrat memilih Liyana untuk berlakon.
Katanya, watak Aishah nampak ringkas, tetapi cukup penting pada perjalanan cerita.
Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) ini berkata, dia berminat lagi untuk mencuba kisah seram pada masa akan datang dan mungkin menampilkan elemen komedi seram pula.
“Kelainan suatu yang subjektif untuk dijelaskan. Terpulanglah kepada penonton untuk menilai. Daripada pengalaman, saya sebagai penonton, saya melihat ada filem seram kita bagus, tetapi tidak dijelaskan dengan sepenuhnya.
“Saya harap, filem ini dapat membuka mata bahawa Khurafat mampu setanding dengan filem seram antarabangsa lain,” katanya.
Ayahnya, Datuk Yusof Haslam turut berbangga dengan percubaan anaknya kali ini.
Beliau percaya filem seram masih punya permintaan tersendiri.
“Saya berharap filem ini membawa pembaharuan pada filem tempatan. Apa yang penting, kita seharusnya menyokong dan mengangkat filem tempatan ke tahap yang membanggakan,” katanya.
Pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor, hadir sama Pengurus Besar Filem & Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah.
Bagi Sabrina, dia turut membawa cabaran besar dalam lakonan apabila melakonkan babak menakutkan dalam bilik mayat.
Akuinya, dia sudi terima tawaran kerana Syamsul sendiri yang menawarkan watak menarik kepadanya.
“Untuk watak itu, saya sanggup melakonkan adegan dalam peti di bilik mayat dan mandi jenazah kira-kira jam 2 pagi,” katanya.
Liyana berkongsi perasaan gembira kerana dapat menimba pengalaman bersama Syamsul dengan watak suami isteri.
“Memang pengalaman bercampur gembira dan takut ketika berlakon filem ini. Syamsul seorang pengarah berbakat besar yang berupaya memberikan hasil yang sangat membanggakan. Saya percaya filem ini akan mendapat sambutan,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment