BATU PAHAT: Pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun apabila selamat bernikah dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, Jumaat.
Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menemui teman hidup pada usia sekarang. Inilah yang dikatakan jodoh,” ujar Zaibo yang mengenali isterinya selama 10 tahun lalu.
Siapa sangka, hubungan yang pada mulanya sekadar abang dan adik akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.
“Pada mulanya, saya menganggap dia sebagai adik saya dan begitu juga dia tetapi Tuhan mempunyai perancangan lain untuk kami. Kami mula rapat beberapa tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Ramadan lalu,” kata pelakon teater Caught In The Middle, Tun Mahathir, Penyu Menangis, TokPerak, Anak Tanjung, I remember ....The Rest House dan Demi Zaitun itu.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.
Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.
Bagaimanapun, pelakon popular itu enggan menghebahkan jumlah wang hantaran mahu pun dulang hantaran yang diberikan kepada isterinya.
“Saya boleh katakan, penyanyi Aishah menguruskan semua hantaran manakala selebriti Habsah Hassan dan Rubiah Suparman turut memberikan sumbangan lain. Biarlah hantaran yang diberikan kepada isteri saya menjadi rahsia,” ujar aktor kelahiran Perlis yang pernah berlakon lebih 15 buah filem termasuk Soalnya Siapa?, Putera, Soal Hati, Senario Asam Garam, Cuti-cuti Cinta, Magika, Lu Pikirlah Sendiri dan Pontianak Harum Sundal Malam 2.
Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”
Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.
Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.
“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment