Thursday, November 25, 2010

Lagi koleksi gambar

Eheh...
Entry disebelah malam mmg lebih best jika disertakan dengan koleksi gambar yang menarik..
Hasil undian Lulu-Pages, [KLIK SINI] ramai yang suka entry lebih banyak gambar..
So, Jom tengok gambar...



Boy's, sila tutup mata..jgn tengok...


Bersabar Dalam Berdoa



Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”
(Muslim)

Huraian:
Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya.
Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya.
Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui.
Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik. Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya.
Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah.
Antara isi doa baginda ialah: “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya.
Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia




.

“Stop Child Abuse”.

unicef



Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini sejak lima tahun lepas bermula 2005, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mengikut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 3,234 kes penderaan kanak-kanak.

"Secara keseluruhannya, 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan kanak-kanak dan bayi dicatatkan sejak lima tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu jumlah kes pembuangan bagi dan penderaan bayi bagi tempoh 2005-2010 mengikut negeri dan sebab kejadian tersebut berlaku serta tindakan kerajaan dalam menangani gejala tersebut.

Selain Selangor, Johor mencatatkan 83 kes pembuangan bayi, Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), Pahang dan Kedah (17), Kelantan (10), Terengganu (5), Melaka (3), Kuala Lumpur (2) dan Perlis (1).


-Keratan salah sebuah akhbar awal tahun ini-

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.


Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.


Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.


Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.


Untuk sokong kempen ini sila berkunjung ke  [KLIK SINI]


P/S - Kredit buat semua surat khabar di Malaysia untuk semua image didalam entry ini.. 




.

'Rokok Memantapkan Vokal Saya'


Pengakuan penyanyi Fiq tentang tabiat merokoknya mungkin kedengaran pelik tetapi anak jati Sabah itu percaya tabiat tersebut banyak membantu dalam memantapkan lagi vokalnya.
Ujar juara program realiti Mentor musim pertama itu dalam satu pertemuan baru-baru ini, sejak mula merokok setahun yang lalu dia dapat melihat kesan positif tabiat itu pada perubahan vokalnya.

"Saya baru saja merokok. Sebelum bergelar penyanyi saya tidak merokok dan tabiat ini bermula apabila saya selalu berasa bosan ketika menunggu waktu untuk rakaman lagu dan pertunjukkan.
"Bagaimanapun tabiat ini berlaku bukan kerana saya mengalami kejutan budaya atau terikut-ikut orang lain. Ia kehendak diri sendiri.

"Sejak mula merokok setahun yang lalu, saya mula mendapati tabiat ini sebenarnya banyak memberikan kesan positif pada suara saya," katanya.
Sambil tidak menyangkal tabiat itu tidak baik untuk kesihatan, Fiq bagaimanapun menganggap tabiat tersebut banyak membantunya dalam memantapkan vokal sebagai penyanyi rock.

"Saya tahu tabiat merokok membahayakan kesihatan tetapi sejak mula merokok saya dapati ia banyak membantu dalam memantapkan vokal. Vokal saya bertambah kasar, besar dan serak berbanding sebelum merokok dulu.

"Bagi saya, perubahan ini adalah sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan genre muzik yang diperjuangkan iaitu rock. Jika sebelum ini, saya mudah hilang suara dan sakit tekak selepas menyanyi tetapi yang peliknya sejak mula merokok keadaan itu jarang berlaku pula," katanya yang popular menerusi lagu Tiga Malam Tanpa Bintang.




.

Bayi ditinggalkan ibu kerana berambut perang

NANNING, China - Seorang ibu meninggalkan anak yang baru dilahirkannya di sebatang jalan di Nanning, wilayah Guangxi China kerana anak perempuannya itu berambut perang, lapor sebuah akhbar semalam.

Bayi malang itu ditemui oleh seorang wanita yang terdengar tangisannya, baru-baru ini.

Dia ditinggalkan bersama sekeping nota, beberapa helai pakaian bayi dan satu sampul surat berisi wang berjumlah 3,900 yuan (RM1,926).

"Saya sedang berjalan ke tempat kerja dan terdengar suara tangisan daripada dalam selimut di tepi jalan. Apabila dibuka, saya lihat seorang bayi sedang menangis," kata wanita tersebut.

Nota yang ditinggalkan itu berbunyi: "Saya berharap orang yang baik hati boleh membantu menghantar bayi ini ke rumah anak-anak yatim. Anakku, aku ibu yang tidak bertanggungjawab. Maafkan aku."

Polis mengesyaki bahawa ibunya membuang anaknya kerana dia berambut perang dan kemungkinan disebabkan oleh jantina bayi itu perempuan atau ibunya tidak mampu untuk membesarkannya.

Keluarga di China hanya dibenarkan mempunyai seorang anak bagi mengurangkan populasinya yang mencecah 1.3 bilion orang.




.

Saintis kaji ular terbang


WASHINGTON - Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) membiayai projek untuk mengkaji bagaimana beberapa spesies ular pokok di Asia Tenggara boleh terbang di udara, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian itu dipercayai mempunyai implikasi besar bagi mencipta teknologi untuk membina pesawat kawalan jauh tentera yang dapat meluncur dengan lebih lancar.

Ahli biologi Universiti Virginia Tech, Jake Socha melakukan kajian dengan meneliti rakaman tiga dimensi (3D) bagaimana spesies ular Chrysopelea paradisi terbang ke udara dari kawasan setinggi 15 meter.

"Ular itu sendiri seperti satu sayap yang panjang. Sayap itu sentiasa meliuk dan berubah bentuk," kata Socha.

Menurutnya, pergerakan aneh itu menghasilkan kesan aerodinamik yang membolehkan ular itu meluncur dari pucuk pokok tinggi pada jarak hampir 245 meter.

Ular Chrysopelea paradisi itu didapati menipiskan badannya semasa di udara dan ia meliukkan badannya dari sisi ke sisi pada kelajuan tinggi.




.

Al-Quran import kandungi kesilapan dilarang edar


JEDDAH: Kementerian Hal-Ehwal Islam memberi amaran mengenai kehadiran naskhah al-Quran dari luar negara yang mengandungi kesalahan yang tidak disengajakan mahupun disengajakan di Arab Saudi, lapor akhbar bahasa Arab Al-Hayat, semalam.
Kementerian dilaporkan mengeluarkan surat pekeliling kepada pihak kastam mengatakan Kompleks Raja Fahd yang mencetak al-Quran sudah meneliti bahawa naskhah al-Quran yang dicetak di luar negara dan diedarkan syarikat penerbitan Saudi mengandungi kesilapan kerana sesetengah surah dicetak berulang kali dan ada juga yang tiada.

Pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pusat imigresen di sempadan diarahkan untuk menghalang naskhah kitab suci itu dibawa masuk ke Arab Saudi.
Pegawai cawangan kementerian terbabit di Al-Baha, Nasser Al-Badran memberitahu Al-Hayat pengharaman itu dibuat ekoran penemuan kesilapan yang disengajakan mahupun tidak disengajakan dalam naskhah al-Quran dari luar negara. “Sesetengah individu sengaja meletakkannya di dalam masjid walaupun tahu ia mempunyai kesilapan,” kata Nasser.

“Terdapat kesilapan dalam percetakan yang membawa maksud berbeza dan kesalahan ejaan hingga makna satu-satu surah itu salah,” tambah Nasser.




.

Siti Nurhaliza sah tarik diri dari ABP 2010

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengesahkan menarik diri daripada menjadi calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABP 2010) yang berlangsung pada 3 April depan. Pengesahan itu dibuat oleh penyanyi berkenaan selepas berakhir sidang akhbar pertama ABP 2010 di sini hari ini.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau sudah menyatakan hasrat itu kepada Ahli Jawatankuasa ABP 2010 dalam perjumpaan yang diadakan baru-baru ini dan mereka bersetuju menerima penarikan diri beliau.
"Beberapa minggu lalu saya berjumpa dengan penganjur untuk memaklumkannya.

"Alhamdulillah setelah berbincang, mereka setuju untuk tidak mencalonkan nama saya dalam sebarang kategori dalam anugerah itu," katanya yang turut hadir selaku tetamu khas bagi merasmikan laman web ABP 2010 pada majlis itu.

Bagaimanapun, beliau menafikan tujuannya berundur adalah untuk melihat kredibiliti artis lain yang boleh menggantikan tempatnya selaku penyanyi popular di Malaysia.
Sebaliknya kata Siti, sepanjang 15 tahun bergelar anak seni, pelbagai pengiktirafan sudah diterimanya.
"Cukuplah dengan kejayaan itu dan saya bersyukur atas penghargaan yang diberikan selama ini.

"Kini tiba masanya saya hadir pada majlis itu sebagai penonton yang sentiasa memberi sokongan dalam memartabatkan industri hiburan tempatan," ujarnya yang pernah mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular selama 14 tahun berturut-turut.

Sementara itu, pada majlis sama turut diumumkan lokasi, tema dan senarai awal calon yang bakal bersaing merebut trofi bagi 16 kategori dipertandingkan.
Acara yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands itu bertemakan moden dan klasik.




.

Restoran vegetarian diserbu

PENOLONG Pengawal Perihal Dagangan KPDNKK Selangor, Saiful Aznan Mohd. Isa menunjukkan salah satu bahan yang mengandungi alkohol

Tindakan sebuah restoran vegetarian memaparkan logo halal di luar pintu masuk premis itu tanpa sijil yang sah mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.

Lebih malang restoran yang diusahakan oleh pemilik bukan Islam itu dan terletak di Jalan 8/1E di sini, difahamkan sering dikunjungi orang Islam terutamanya untuk makan tengah hari.

Serbuan pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri.
Penolong Pengawal Perihal Perdagangan PPDNKK negeri, Mohd Sukri Mohamad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah memeriksa dapur dan bahan masakan yang digunakan restoran itu.

Katanya, hasilnya mendapati bahan makanan digunakan mengandungi alkohol yang haram dari segi hukum syarak.
Tambah beliau, pihaknya juga merampas dua produk makanan kerana mengandungi bahan makanan yang tidak halal.


“Pemilik premis mengakui mengetahui ia satu kesalahan namun tidak berbuat apa-apa malah terang-terangan menawarkan juadah kepada umat Islam.

“Premis itu juga sepatutnya tidak boleh menggunakan logo halal memandangkan mereka tidak mempunyai sijil berkenaan yang diperakui oleh Jakim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan operasi itu di sini hari ini.

Menurutnya, serbuan itu merupakan yang pertama terhadap premis menyediakan makanan berasaskan vegetarian di daerah tersebut.
Katanya, ia dilakukan ekoran banyak aduan diterima daripada orang ramai yang meragui kandungan bahan masakan digunakan.

“Selain itu, proses penyediaan makanan turut diragui kerana kebanyakan pekerjanya terdiri daripada orang bukan Islam dari Myanmar,” katanya

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah meminta orang Islam berhati-hati memilih makanan di premis bukan Islam.

“Jika merasa ragu-ragu dengan makanan yang disediakan oleh premis tertentu, mereka boleh menghubungi terus Jakim atau melayari laman web di www.halal.gov.my.

“Selain itu semakan premis perniagaan juga boleh dilakukan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip halal-semak dan masukkan nama premis kemudian hantar ke 1588,” ujar beliau.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama dan RM500,000, kesalahan kedua.



.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!