Saturday, December 11, 2010

Tiga Parah Bas Terbabas Di Gua Tempurung


IPOH: Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Sabtu.
Ketiga-tiga pelajar berusia antara 19 dan 23 tahun itu kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Kejadian pada pukul 6 petang itu membabitkan bas yang dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri majlis makan tengah hari Jawatankuasa Perwakilan Pejalar (JPP) di Cameron Highlands.
Bas terbabit membawa 41 penumpang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan anggota keluarga mereka serta lima pemandu.

Kesemua mereka hanya mengalami luka ringan, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Aminuddin Abdul Rahim ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata bas itu dipercayai terbabas ketika mengelak sebuah bas lain ketika menuruni kawasan Gua Tempurung dalam keadaan hujan lebat.

"Kemungkinan brek yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu menyebabkannya terbabas ke dalam longkang dan terbalik," katanya.




.

Lin Dan ingin kahwin segera


BEIJING: Bintang badminton China, Lin Dan mendakwa latihan persiapannya untuk Sukan Olimpik 2012 di London, tidak menghalang perancangannya untuk mengahwini bekas juara dunia, Xie Xingfang.


Lin Dan, yang dianggap kebanyakan pihak sebagai pemain terbaik zaman ini, meraih pingat emas yang diingini sekian lama untuk menyempurnakan koleksi gelaran dunia dan Olimpik.


Dengan jaminan legasi aksinya, Lin, 27, berkata dia bersedia untuk memberi tumpuan terhadap perkara lain, menjelmakan kemungkinan untuk berkahwin sebelum temasya sukan berprestij di London.


“Saya banyak mengorbankan keluarga, teman wanita dan rakan-rakan untuk bermain badminton. Kini, saya rasa keluarga saya dan rakan-rakan sama penting dengan sukan,” katanya kepada media tempatan semalam.


“Saya tidak akan menangguhkan perkahwinan hanya kerana Olimpik London. Saya punya banyak pengalaman dan saya tahu bagaimana untuk melakukan semulanya,” katanya.


“Saya mempertimbangkan untuk berkahwin sebelum temasya London dan saya sedang berusaha ke arah itu.”




P/S - So sweet wei...ngee..


.

Akrab hingga ke liang lahad

BEGINILAH keadaan motosikal yang dinaiki dua beradik yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Bukit Rambai, Melaka semalam.

MELAKA – Keakraban dua beradik dibawa hingga ke mati apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai semalam.

Kejadian pukul 4.15 pagi itu mengakibatkan Muhammad Faiz Rosli, 17, dan Muhammad Faizal Rosli, 16, mati di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Difahamkan, Muhammad Faiz yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang di sini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poonam A. E. Kling berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Bukit Rambai telah merempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan.




.

Kutip cebisan mayat

TUTUP...mayat Shahabudin di tempat kejadian, semalam.

KLANG: Mengerikan apabila beberapa anggota polis terpaksa mengutip cebisan mayat penunggang motosikal yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 20.3 Lebuhraya Kesas di susur keluar Bandar Puteri, di sini, pagi semalam.
Lebih memilukan apabila pemandu treler terbabit memecut kenderaannya meninggalkan mangsa dan adiknya yang menggelupur kesakitan.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Shahabudin Jaafar, 30, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Shafarudin, 23, cedera ringan apabila melompat dari motosikal.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dari Pelabuhan Klang menghala Shah Alam dipercayai untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai dihimpit treler sebelum bergesel menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan digilis kenderaan berat terbabit.

“Mangsa parah hampir 70 peratus dan maut di tempat kejadian manakala adiknya cedera ringan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Adiknya turut dibawa ke HTAR,” katanya di sini, semalam.

Motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang adik-beradik itu tidak menggunakan laluan motosikal.

Berdasarkan kad pengenalan, mangsa beralamat di No 3, Lorong Kampung Panching, Perumahan Awam Kos Rendah, Kuantan.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang lelaki warga India maut ketika cuba melintas jalan di Persiaran Sultan Ibrahim dari Klang menghala Shah Alam, di sini, semalam.




.

Badan Ayu Semakin Langsing


Selepas menjalani rawatan badan dan muka di pusat kecantikan AsterSpring, ramai yang menegur perubahan wajah dan bentuk badan aktres Ayu Raudhah.
Selain rakan dan ahli keluarga terdekat, tunangnya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak turut memuji bentuk badan Ayu yang lebih langsing berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, pemain bola sepak kebangsaan dari Negeri Sembilan itu juga memuji wajah Ayu yang lebih berseri pada hari pertama dia membuat rawatan di pusat kecantikan yang mempunyai cawangan di Bangsar itu.
Pelakon drama dan filem Nur Kasih ini dipelawa untuk menjadi rakan AsterSpring pada November lalu dan mengikuti program rawatan muka dan badan Beautiful Bride dalam tempoh setahun.

Adik kepada aktres Rozita Che Wan ini membuat rawatan sebagai persediaan sebelum menempuhi majlis pernikahannya yang akan berlangsung pada 20 Januari depan.

Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setar Kedah manakala majlis resepsi pula akan berlangsung sehari selepas itu di lokasi yang sama.
Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.

Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.

“Saya diberitahu oleh perunding AsterSpring bahawa saya mempunyai kulit kering dan mencadangkan supaya saya mendapatkan rawatan Balancing Facial sebelum melakukan rawatan melembap dan menyegarkan muka serta menggunakan beberapa produk Dermalogica.

“Sementara rawatan badan kegemaran saya adalah Burn, Break Fat dan Drain, Detoxify dalam program Healthy Body Therapies,” kata aktres jelita ini yang sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari.

Selain Ayu, aktres Raja Farah yang telah selamat diijabkabulkan pada 12 November lalu dengan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria turut terpilih untuk mengikuti program ini selama setahun.
AsterSpring melancarkan pakej tersebut di AsterSpring Suria KLCC, Khamis.




.

Shuib (Sepah) Mengaku Bertunang Dengan Siti Sarah


Ahli kumpulan Sepah iaitu Shahmira Muhammad, 26 atau Shuib akhirnya mengakui sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Siti Sarah Raisudin pada 16 November lalu.
Bekas juara program Raja Lawak musim ketiga itu membuat pengakuan tersebut bagi menjawab desas-desus berita perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Januari depan.

Menurut Shuib yang ditemui pada acara Amazing Race ala Bujang Sepah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Jumaat, perkara tersebut terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media demi menghormati permintaan kekasihnya itu.

"Saya akui kami sudah bertunang pada 16 November lalu di Kuala Selangor dan perkara itu terpaksa dirahsiakan demi menghormati permintaan Sarah.

"Kegagalan pertunangannya yang lalu membuatkan Sarah lebih selesa jika perkara itu tidak dihebohkan selagi belum tiba masanya," katanya yang sudah mengenali Sarah sejak setahun dua bulan yang lalu.
Tambah Shuib, perancangan awal mereka untuk melangsungkan perkahwinan pada 16 Januari depan juga terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat kini.


"Kalau ikut perancangan awal, kami akan berkahwin pada 16 Januari depan tapi jadual kerja saya yang terikat dengan penggambaran hingga 15 Januari depan menjadikan perancangan itu terpaksa ditangguhkan.

"Kami masih belum dapat tentukan tarikh perkahwinan buat masa ini tapi mungkin selepas saya tamat penggambaran," katanya yang mengakui persiapan sedang rancak disiapkan oleh keluarga masing-masing.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!