Tuesday, December 28, 2010

Irma Hasmie Tak Mahu ...


Pelakon Irma Hasmie,28, tidak mahu terserempak dengan bekas kekasihnya, Nabil Ahmad buat masa ini.
Irma yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu berkata, selama ini dia tidak pernah terfikir akan kemungkinan berhadapan dengan peristiwa itu.

“Kalau boleh tak naklah terserempak tapi kalau jadi juga, saya pun tak tahu nak buat apa,” katanya.
Hubungan Irma dan Nabil terputus di tengah jalan apabila pelakon wanita itu dikatakan memperoleh beberapa bukti kononnya Nabil turut menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Malah isu hubungan itu menjadi semakin panas apabila tersebar gambar yang dikatakan milik Nabil dengan seorang wanita sedang bercium.

Jelas Irma, selepas hubungan mereka putus beberapa bulan lalu, dia tidak pernah lagi bertemu atau terserempak dengan Nabil dalam mana-mana majlis rasmi.
Irma berkata, sekiranya ditakdirkan juga dia terserempak dengan bekas kekasihnya itu, Irma berjanji akan bertindak profesional dan melayan Nabil seperti rakan artis yang lain.

“Saya belum pernah jumpa dia selepas kami putus. Harap-harap buat masa ini tak terserempaklah. Tapi kalau terserempak juga, kita kenalah profesional. Insya-Allah, Irma boleh menghadapinya,” katanya.

Menurut Irma, jiwanya pada waktu ini semakin tenang dan dia amat bersyukur dalam tempoh perkenalan singkat mereka Allah telah memberi petunjuk Nabil bukan calon suami yang sesuai untuknya.
Tambah Irma lagi, walaupun Nabil pernah menyuarakan harapan untuk berbaik semula tetapi hatinya sudah tertutup untuk lelaki itu.

Ditanya apakah perbezaan selepas dia putus cinta dengan Nabil dan pelakon Farid Kamil, kantanya kedua-dua mempunyai pengalaman berbeza.

“Putus cinta dengan Farid tak seteruk putus cinta dengan Nabil. Tapi Irma dapat hadapi kedua-duanya dengan baik,” jelasnya.

Tidak mahu memikirkan soal lelaki buat sementara waktu, ujar Irma dia sekarang mahu memberi sepenuh tumpuan dalam bidang seni.




.

Ganjaran RM100 000 Untuk Juara Raja Lawak 5


Seramai 12 finalis terpilih untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak Astro bagi merangkul gelaran Juara Raja Lawak musim Kelima yang bermula pada 7 Januari, pukul 9 malam di saluran Astro Prima.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, sesi uji bakat Raja Lawak 5 menerima penyertaan lebih banyak, malah kebanyakan daripada peserta sudah membuat persediaan awal.
“Setelah empat musim bersiaran, pastinya mereka sudah memahami peraturan dan kehendak program realiti ini.
“Mereka datang dengan kelengkapan tersendiri dan boleh dikatakan persiapan sudah dibuat sebelum melalui sesi uji bakat ini,” ujarnya pada sidang media Raja Lawak 5 di Pasar Seni, di sini , Isnin.
Jelasnya 12 finalis yang terpilih merupakan yang terbaik yang mempunyai karakter tersendiri dan mampu bersaing di pentas Raja Lawak 5.
“Kita buat pemilihan daripada 2000 peserta yang datang kepada 28 peserta. Setelah melihat dari beberapa sudut, kami memilih 12 yang terbaik.
“Mereka tidak dilihat daripada rupa paras dan penampilan tetapi bakat lawak semata-mata. Mereka juga mempunyai kekuatan lawak yang tersendiri,” jelasnya.
Peserta kali ini terdiri daripada lapan peserta berkumpulan iaitu Kumpulan Pukaw (Indran Putra Setia Negara(22), Abd Hadzir Abdullah(23), Nizam Solah (34) ), R2(Rahim Mat Ali(40), Ridhuan Mat Ali(21)), BOBO(Mohd Hamizi Hashim(24), Mohd Azwan Sabri(24)), Kopi O(Syariwan Joir(28), Fakhruddin Mohd Azmi(19)), Balas(Fandi Muhammad(25), Mohd Shukri Mohd Safar (24)), Kami(Zarina Mohd Nor(34), Elly Sarimah (29)), Lucky(Mohd Zhafir Hilman Hassin (23), Mohd Hazwan Azani(23), Kahirul Nazmi Rodzy(23)), TBO(Ahmad Firdaus Misnan(24), Mohd Sufian Masri(25), Mohd Isa Razai(25))
Sementara peserta solo terdiri daripada Mohd Hanafi Rusmadi (18), Sulaiman Ibrahim (29), Abdul Rahman Kasim (33) dan Mohd Nazmi Md Isa (23).
Masih mengekalkan konsep dan format yang sama seperti sebelum ini, pemarkahan penuh masih terletak di tangan pengundi sistem pesanan ringkas (SMS).
Manakala tiga orang pengkritik tetap akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria ditetapkan.
“Pengkritik akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan.
“Bagaimanapun, kami hanya akan mengumumkan senarai baru barisan pengkritik tetap sewaktu minggu pertama Gelanggang Raja Lawak nanti,” katanya.
Hadiah utama bagi Juara Raja Lawak musim ini ialah wang tunai sebanyak RM100 000, sementara naib juara, RM50 000 manakala tempat ketiga RM 30 000.
Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sesi uji bakat melalui program Al Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 30 dan 31 Disember, 9 malam.
Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para peserta akan dipaparkan selama lima minit setiap siaran menerusi program Kapsul Raja Lawak Astro pada Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam bermula 3 Januari.
Program Raja Lawak kali ini masih lagi mengekalkan gandingkan mantap pengacara Zizan dan Johan.
Selain itu, Nizam turut memberitahu sebuah program Maharaja Lawak akan menyusul selepas tamanya Raja Lawak Musim 5 ini.
"Selepas Raja Lawak ini sebuah program kemuncak iaitu Maharaja Lawak akan menemui penonton.
"Ia bakal menyaksikan persaingan Raja Lawak musim pertama hingga kelima merebut gelaran Maharaja Lawak, setakat ini Nabil, Johan, Zizan dan beberapa peserta lagi sudah mengesahkan penyertaan mereka," ujarnya.





.

Wanita 292.1 kg makan 30,000 kalori


Seorang ibu yang mempunyai dua anak di negeri New Jersey, Amerika Syarikat (AS), Donna Simpson memakan makanan mengandungi 30,000 kalori yang boleh mengenyangkan lebih 12 orang, lapor sebuah akhbar semalam.


Dia mengambil masa dua jam dan membelanjakan AS$231(RM717) untuk menghabiskan dua ayam belanda seberat 11.3 kilogram (kg), sejumlah daging, 6 kg kentang, lima buku roti, 2.2 kg herba, 1.8 liter kuah, 1.8 liter sos kranberi dan 9 kg sayur ketika makan malam Hari Krismas pada Sabtu lepas.


Simpson yang seberat 292.1 kilogram dan tinggi 1.57 meter itu merupakan ibu paling gemuk di dunia tetapi dia mahu menambahkan berat badannya sehingga 453.6 kilogram untuk bergelar wanita paling gemuk di dunia.





.

Abramovich beli bangunan pangsapuri RM717 juta


Bilionair Rusia dan pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich membeli sebuah bangunan pangsapuri mewah di Britain yang dianggarkan bernilai sekitar £150 juta (RM717 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Terletak di Lowndes Square di sini, kediaman itu mempunyai keluasan 2,787 meter persegi dengan lapan bilik tidur, tiga tingkat bawah tanah, sebuah kolam renang, sebuah panggung wayang mini, sauna serta beberapa flat untuk stafnya.

Ia memberi banyak keselesaan kepada Abramovich, 44, teman wanitanya, Dasha Zhukova, 29, dan seorang anak lelaki mereka Aaron yang berumur setahun.

Rumah tersebut bakal menjadi lambang kekayaan dan cita rasa mewah Abramovich yang memiliki beberapa belas kediaman dan merupakan orang ke-15 terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan mencecah £14 bilion (RM66.9 bilion).

"Nampaknya, kediaman itu akan dihiasi seperti sebuah istana. Beliau mahu hiasan dalaman yang berprestij dengan dekorasi tudor era Victoria," kata satu sumber.

Menurutnya, kertas cadangan bagi pengubahsuaian kediaman tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bangunan tersebut pada asalnya merupakan rumah bandar berkembar yang dipisahkan menjadi sembilan apartmen mewah pada 1998.




.

Guru yoga paling muda di dunia


Seorang budak perempuan berumur enam tahun, Shruti Pandey menjadi guru yoga termuda di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia kini mengajar sekumpulan orang dewasa di Allahabad, India.


Budak perempuan itu sudah mengajar golongan dewasa sejak dua tahun lalu.
Pelatih budak itu, Hari Chetan yang berusia 67 tahun mengesan bakat budak tersebut semasa dia menjadi muridnya semasa berusia empat tahun.


"Dalam tempoh enam bulan latihan, dia mengejutkan orang ramai kerana dia berjaya melakukan posisi yang sukar dengan mudah dan sempurna," kata Chetan.

Shruti berkata: "Saya berasa seronok apabila orang ramai mengikuti arahan saya. Saya seperti seorang guru yang sebenar.


"Saya meminati yoga selepas melihat abang saya melakukan senaman itu. Saya cuba untuk mengikuti pergerakannya tetapi ia amat sukar. Justeru, saya meminta ibu bapa saya menghantar saya ke kelas yoga."
Salah seorang pelajarnya berusia 90 tahun memuji kesabaran Shruti semasa mengajar.

Seorang pelajarnya yang berusia 48 tahun menyatakan dia berjaya mengawal kemarahan selepas mengikuti kelas yoga itu.




.

Bunuh isteri kerana kasihan


Seorang lelaki tua dituduh membunuh isterinya yang sakit dengan menikam kepalanya dengan pemutar skru.
Menurut laporan media, kejadian berlaku beberapa minggu selepas lelaki itu menulis dalam blognya bahawa dia mungkin akan membunuh isterinya kerana kasihan.

Bekas jurutera, Wang Ching-hsi, 83, disyaki memberi pil tidur kepada isterinya awal kelmarin dan kemudian membunuhnya, lapor akhbar United Daily News dan bebeberapa akhbar lain.
“Mengapa saya melakukannya? Ia ada dalam blog saya,” kata Wang kepada wartawan ketika ditahan oleh polis.

Tulisan bertarikh 5 Disember dalam blog yang dipercayai milik Wang mendedahkan secara terperinci bagaimana isterinnya, Sun, Yuan-ping, 80, sudah putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Menurut tulisan itu, dia mengalami penyakit Parkinson dan baru-baru ini patah kaki kiri.

“Dia menderita,” kata Wang dalam blognya.

Pasangan itu dikatakan mencapai persetujuan 10 tahun lalu untuk ‘mati dalam keadaan tenteram.’ Media memetik Wang sebagai berkata dalam blog itu: “Apabila tiba masanya, saya akan membunuh kamu.” Selepas membunuh isterinya, Wang menelefon polis dan menyerah diri di apartmennya.

Membunuh kerana simpati dan hak untuk mati hangat dibincangkan di Taiwan sejak beberapa tahun lalu.




.

Giveaway eqbalzack "SERBA SATU"


Korang nak hadiah barangan IKEA berjumlah RM 111.11 tak?
Hah...Hadiahnya memang menarik...
Sila klik pada banner kat atas untuk lebih lanjut...
Meriah owner/penganjur buat GiveAway..
Ramai join...


Lulu nak tag


Tarikh Tutup: 
1.1.11 jam 1.11 pagi

Keputusan: 
1.1.11 jam 11.11 pagi

Polis siasat wanita mati hidup semula


Polis di Brazil menyiasat satu kes membabitkan wanita tua yang diisytiharkan mati tetapi didapati masih bernafas beberapa jam selepas diletak dalam keranda.

Wanita berusia 88 tahun itu meninggal dunia dua hari selepas kejadian berkenaan dan polis di negeri Minas Gerais ingin tahu sama ada penjagaan perubatan yang tidak teratur dan kegagalan mengenal pasti masalah yang dihidapinya menyebabkan kematian berkenaan.


Akhbar O Globo, yang memetik kenyataan akhbar pejabat Datuk Bandar Ipatinga, berkata doktor menyangka Maria das Dores da Conceicao mati petang Rabu lalu. Dia bangun semula selepas empat jam dalam keranda dan dikejarkan ke hospital.


Datuk Bandar berkata wanita itu meninggal dunia Jumaat lalu. Ia tidak memberi sebab, tetapi berkata wanita terbabit mempunyai masalah darah tinggi.




.

Album Aqasha tertangguh


SELEPAS memilih tarikh bersejarah 10 Oktober 2010 (10.10.10) untuk mengabadikan hari bahagianya bergelar suami, pada 25 Disember lalu pula, pelakon dan penyanyi, Firdee Akasha Rosli atau Aqasha, 28, selamat diraikan dalam majlis persandingan yang meriah.

Di samping isteri tercinta, Nur Baizura Mohd Sabri, 27, resepsi bagi pihak pengantin lelaki itu berlangsung di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam.
Bahkan, seperti diharapkan Aqasha, ia dihadiri keluarga, sanak-saudara dan kenalan rapat.

Memilih gabungan warna putih dan kuning, Aqasha nyata cukup gembira kerana majlis resepsi yang ditunggu dan dirancangnya selama ini akhirnya terlaksana.
Malah, dua hari selepas majlis persandingan mereka iaitu semalam Isnin, Aqasha dan isteri ke Australia.

Menurut Aqasha, dia dan Baizura memilih negara yang sinonim dengan kangaru itu sebagai destinasi bulan madu mereka.

Katanya, sepanjang berada di sana, mereka akan menjelajah seluruh bahagian timur Australia bermula di Perth.

“Ia pengalaman kami impikan berdua. Sebelum pergi berbulan madu, penting untuk saya mengadakan majlis resepsi di sebelah pihak pengantin lelaki.


“Malah, saya memang memilih cuti umum sempena sambutan Hari Natal ini supaya seluruh anggota keluarga dapat berkumpul.

“Saya tahu persandingan ini agak lewat diadakan, tetapi tak mengapa asalkan semua keluarga dan sanak-saudara sama ada jauh atau dekat dapat bersama. Tidak terkecuali, kenalan rapat yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Jujurnya, saya seorang lelaki yang sangat mementingkan kehadiran keluarga. Bahkan, saya ada seorang bapa saudara yang belayar di laut. Jadi, persandingan saya memang harus dibuat pada hujung tahun ini untuk membolehkan dia hadir.

“Keutamaan saya pada kehadiran keluarga nampaknya membuahkan hasil kerana memang ramai yang hadir. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan semua pihak terbabit dalam menjayakan majlis ini. Selepas selesai, bulan madu pula,” katanya.


Baizura yang bertugas di Astro@15 (saluran 109) berjaya bertakhta di hati aktor filem Embun dan drama popular, Mentua vs Menantu itu.

Kata Aqasha, dia terpikat dengan Baizura kerana sikap isterinya yang mudah berurusan dan tidak suka besarkan perkara remeh.

“Hidup saya lengkap dengan kehadiran Baizura di sisi. Dia seorang yang sangat memahami dan menghormati saya. Dua bulan kami bersama, mudah saya berurusan hidup dengannya. Baizura, seorang isteri yang baik dan mampu menguruskan rumah tangga.

“Apapun, buat masa kami masih belum dikurniakan cahaya mata. Barangkali, selepas balik daripada berbulan madu dan terserah kepada Yang Maha Esa. Apa yang pasti, kami tidak merancang untuk mendapatkan anak dan sekiranya cepat syukur Alhamdulillah,” katanya.

Menyentuh soal majlis pernikahannya yang diadakan secara sederhana, Aqasha berkata dia lebih mengutamakan kehadiran keluarga dan menghormati bapa mentuanya.

Pasangan sejoli ini diijabkabulkan di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan tema perkahwinan dalam taman pada Oktober lalu.

Pada majlis itu juga, Baizura menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 dan hantaran pula 13 dulang berbalas 11.


Menyorot perkenalan dan jalinan bibit cinta yang terjalin antara Aqasha dan Baizura, ia bermula pada pertemuan tak terduga sekitar 2008 ketika hadir di majlis pertemuan semula rakan mereka.

Dua tahun berkenal mesra, mereka bertunang pada 23 Mei lalu.


Pasaran album Aqasha ditangguh

PERNAH memaklumkan dia akan kembali ke pentas nyanyian semula dengan album terbaru berbentuk EP berjudul Qashanova yang dijangka berada di pasaran November lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan Aqasha kerana dia sibuk dengan perkahwinannya.

Ujarnya, album itu kemungkinan berada di pasaran pada sekitar Februari 2011 pula.

Ini kerana semua urusan penting sudah selesai.

Menurut Aqasha, dia terlalu sibuk dengan urusan majlis perkahwinannya hingga tiada masa untuk album itu.

“Album baru saya ini sudah siap sepenuhnya dan hanya belum dipasarkan saja lagi.

“Saya harus membuat perancangan teliti dan tidak boleh terburu-buru. Bagi saya, adalah lebih baik memberi ruang menguruskan majlis perkahwinan ini lebih dulu.
“Tidak dinafikan, saya sangat teruja dengan penghasilan album ini. Akhirnya, harapan untuk muncul dengan album baru menjadi kenyataan.


“Ditambah lagi, perancangan untuk album ini sudah saya lakukan agak lama dan kini masa yang sesuai,” katanya.

Sebelum aktif berlakon, nama Aqasha pernah tercatat di pentas seni sebagai penyanyi dan popular dengan lagu Cahaya Hati di bawah naungan syarikat rakaman
Suria Records. Bagaimanapun, akhirnya bakat lakonan Aqasha yang lebih menyerlah.

“Saya gembira harapan untuk muncul dengan album lagi nampaknya betul-betul terjadi. Selepas tujuh tahun menyepi, rezeki saya dalam nyanyian masih ada. Enam lagu ciptaan saya dimuatkan dalam album ini dan ia diterbitkan di bawah label, StarMount Records.

“Album ini berkonsepkan pop kontemporari. Malah, single pertama akan dipertaruhkan nanti ialah lagi Disco Cinta Travolta.


“Lagu lain pula ialah Obsesiku, Cantik, Cinta Romeo Kita, 1,2,3,4 dan Rhapsody Kekasih. Syarikat StarMount Records milik rakan saya.

“Kami memang sepakat menghasilkan projek album ini dalam bentuk EP. Harapan saya sangat tinggi dan semoga peminat sedia menunggu dan menerima konsep yang pertama kali saya perkenalkan ini. Harapnya ia dapat dinilai dengan pemikiran terbuka,” katanya.

Dalam perkembangan lakonannya, Aqasha berkata, dia sibuk berlakon kerana menerima banyak tawaran. Apapun, katanya, dia terikat dengan lakonan di bawah arahan Erma Fatima selepas ini.

Bahkan, Aqasha juga selesa berlakon drama berbanding filem.





.

Moscow alami hujan batu


Bandar raya Moscow dilanda hujan batu mengakibatkan beribu-ribu penumpang penerbangan terkandas dan setengah juta penduduknya terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik.

Lapangan terbang terbesar Moscow, Domodedovo di selatan bandar raya ini beransur pulih setelah ditutup selama 12 jam semalam, setelah mengalami gangguan bekalan elektrik, sementara sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa utamanya, Sheremetyevo mengalami kelewatan jadual penerbangan yang teruk.

Perdana Menteri, Vladimir Putin mengarahkan Menteri Situasi Kecemasan, Sergei Shoigu membuat ‘segalanya yang anda boleh dan mengarahkan setiap unit agar bersiap-sedia untuk meredakan keadaan di lapangan terbang dan pengangkutan’.

Akhbar-akhbar melaporkan keadaan huru-hara yang berlaku di negara-negara Eropah pada awal bulan ini akibat salji tebal, tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa Rusia menangani krisis itu.
“Ibu negara dan kawasan persekitarannya ternyata tidak bersedia menghadapi cuaca ini,” kata akhbar Moskovsky Komsomolets.


Seramai 27 orang mengalami kecederaan di sini setelah dihempap pokok yang tumbang akibat dahannya sarat dengan ais.

Putin berkata, seramai 412,000 penduduk terpaksa bergelap kerana gangguan bekalan elektrik di Moscow dan beberapa kawasan lain di tengah Rusia meskipun jumlah itu berkurangan kepada 121,000 orang lewat malam semalam.



.

Final AFF SUZUKI 2010

Peluang bagai tiada langsung


JURULATIH pasukan kebangsaan Indonesia, Alfred Riedl mengatakan, peluang pasukannya untuk menjuarai Piala AFF 2010 kini hanya tinggal 5-10 peratus saja.

Menurutnya, itu adalah kenyataan pahit yang harus diterima rakyat Indonesia selepas pasukan negara mereka tumpas 0-3 kepada tuan rumah pusingan pertama final, Malaysia di Stadium Bukit Jalil. Gol pertama Malaysia dijaringkan Mohd Safee Sali pada minit ke-59 dan ketiga, 71. Mohd Ashari Samsudin menjaringkan gol kedua pada minit ke-67, Berikutan kekalahan itu, Indonesia memerlukan kemenangan 4-0 pada final kedua, di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

“Kita pernah menang 5-1. Jadi kenapa kita tidak bisa juara? Namun, peluang realitinya, saya kira 5-10 peratus saja. Tidak lebih,” kata Riedl. “Sukar untuk memenangi pusingan kedua dengan 4-0. Jika menang 3-0 saja sudah boleh dianggap bagus.”


 Pekung laser Indonesia terdedah


Jika peminat bola sepak Malaysia dipersalahkan kerana didakwa menggunakan pena pancaran laser, ada pengendali blog semalam mendedahkan perbuatan yang sama juga telah dilakukan oleh peminat skuad Garuda ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2010 antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Menurut entri blog Adamroslan.com yang bertajuk 'Piala Suzuki AFF 2010: Laser Hijau Siapa Yang Mula Dulu?' pengendali blog itu memuat turun klip video yang dihantar oleh seorang peminat bola sepak tempatan perlawanan berkenaan sewaktu Malaysia kalah 1-5 di tangan Indonesia pada 4 Disember lalu.

"Pendedahan klip video itu yang disunting daripada video rasmi AFF telah membuka pekung pasukan Indonesia yang bermain taktik ini semasa mengalahkan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya.

Menurut blog itu, ia juga bukti peminat bola sepak di republik itu juga turut bermain kotor.
"Jika benar faktor kekalahan Indonesia adalah kerana laser hijau, mereka perlu tanya kepada diri sendiri apa penyokong mereka buat di Stadium Gelora Bung Karno yang perlawanan peringkat kumpulan dahulu?," ujarnya.


P/S - Kat sini kalau nak tgk video tersebut [KLIK SINI] (Kredit buat Gen2Merah)



Tutup stadium angkara peminat


Bimbang aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 dipindahkan ke venue lain, pihak pengurusan Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini semalam bertindak mengkuarantin stadium itu dengan menutupnya selama dua hari bermula semalam.

Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Kompleks Sukan GBK, M. Nigara berkata, larangan itu turut melibatkan sesi latihan skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia yang sepatutnya dijadualkan hari ini.
"Sesi latihan bagi menguji padang yang lazimnya diadakan sehari sebelum perlawanan terpaksa dibatalkan.
"Ia bagi membolehkan proses baik pulih rumput yang rosak teruk akibat dipijak dan dirosakkan para penyokong yang merusuh ketika pembelian tiket semalam (kelmarin).

"Kami akan melakukan kerja-kerja membaik pulih secepat mungkin bagi memastikan ia dapat memenuhi tahap piawaian untuk melangsungkan final kedua Rabu ini (esok)," kata Nigara semalam.

 

Akhbar Indonesia canang Malaysia guna dukun 


SEOLAH-olah tidak dapat menerima kekalahan sulung pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Indonesia berselindung di sebalik pelbagai alasan, termasuk sinaran laser dan bomoh.

Sinaran laser dikatakan punca pemain Indonesia hilang tumpuan, tetapi selepas jurulatih Alfred Riedl mengumumkan faktor itu bukan penyebab kekalahan pasukan kendaliannya, media Indonesia mula mencari alasan lain.

Akhbar NonStop, membuka pekung di dada Garuda apabila merujuk kepada bomoh terkenal Indonesia ketika membuat dakwaan Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.

“"Kekalahan pasukan kebangsaan Indonesia sudah diramalkan ahli paranormal, Andi S Chalin,” lapor NonStop dalam berita utamanya. Penulis buku Bahasa Setan Dalam Perilaku Manusia itu meramalkan Indonesia akan tewas 3-0 kepada Malaysia.

“Daripada pemerhatian mata batin saya, saya nampak kita akan tewas 0-3. Kita tewas bukan kerana pemain lemah, tetapi kerana ada unsur-unsur jampi paranormal Malaysia,” kata Andi kepada NonStop menerusi sms tiga hari sebelum final di Bukit Jalil.

Malah selepas perlawanan akhir pertama kelmarin, Andi sekali lagi menghubungi akhbar berkenaan dan mendakwa ada ahli perniagaan Malaysia mendapatkan khidmat bomoh dari Thailand, China dan India.



Raja resah gangguan luar 




Harimau Malaya hadir mahu bawa pulang trofi

"KAMI datang ke Jakarta untuk menang," laung pengendali skuad negara, K Rajagobal sejurus tiba bersama anak didiknya ke sini, semalam bagi melangsaikan baki perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

“Tahap keyakinan pemain kita cukup tinggi. Tapi saya sudah arahkan mereka untuk melupakan kemenangan besar ini sebaliknya menghadapi baki 90 minit Rabu ini (esok) dengan penuh tumpuan.

“Untuk tempoh dua hari ini, saya tidak sesekali mahu pemain hilang fokus dengan temu ramah atau acara tiada berkaitan. Segala pertanyaan harus melalui saya atau pengurus pasukan (Datuk Subahan Kamal).”

Tidak dinafikan apa yang membuat Rajagobal kian gelisah adalah gangguan luar yang harus dielak pemain pada saat genting ini walaupun berbekal modal selesa hasil kemenangan 3-0 ke atas Indonesia, kelmarin.

Pengendali itu turut berpendapat, kegagalan lawannya, Indonesia mempamerkan aksi sebenar di Bukit Jalil hasil daripada kelemahan dan kesilapan pemainnya sendiri, terutama penjaga gol, Markus Horison.

“Siapa dia (Markus) untuk menghentikan perlawanan?” tanya Rajagobal.


Sinetron Indonesia

ENTAH apa agaknya yang akan diulas oleh Indonesia andainya mereka menang pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Adakah mereka akan menyalahkan sinaran laser atau sebaliknya?
Mungkin pemain, pegawai serta pemimpin tertinggi skuad Indonesia lupa dengan reputasi skuad Malaysia.
Mereka lupa bahawa skuad bola sepak negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini.

Sukan SEA 2009 di Laos sudah cukup untuk membuktikan tentang kehebatan skuad bimbingan K. Rajagobal itu.
Pada temasya di Laos itu, Malaysia menang pingat emas meskipun 1,001 macam dugaan serta tipu muslihat yang mereka hadapi daripada pasukan lawan.

Namun, mereka tetap meneruskan perjuangan dan akhirnya muncul juara selepas menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir.
Kali ini, pada Kejohanan Piala Suzuki AFF, skripnya hampir sama.

Pada aksi pembukaan menentang Indonesia di peringkat kumpulan, mereka dibelasah 5-1 tetapi kekalahan tersebut diterima dengan hati terbuka tanpa membuat kecoh meskipun penjaga gol Malaysia pada perlawanan pertama itu, Sharbine Alawee telah beberapa kali diganggu pancaran laser oleh penyokong Indonesia.
Alasan Rajagobal atas kekalahan tersebut ialah barisan pertahanan mereka goyang dan bukannya disebabkan laser.

Kelmarin, Indonesia tewas 3-0 dan ‘laser’ dijadikan alasan.
Andai pertahanan Indonesia kental, tidak mungkin gawang mereka dibolosi.

Tetapi sayang, kerenah penjaga gol mereka, Markus Harison yang mendakwa diganggu pancaran laser daripada penonton telah mematikan rentak permainan Indonesia yang dilihat seimbang pada separuh masa pertama.

Lakonan penjaga gol Indonesia hanya berlaku setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.

Tetapi jaringan yang dihasilkan oleh pasukan Malaysia bukannya berpunca daripada sepakan percuma, semuanya bermula daripada gerakan padang.

Adakah keempat-empat pertahanan Indonesia itu ‘diganggu’ oleh pancaran laser sehingga gagal menyekat kelincahan penyerang Malaysia?

Nak menuduh biarlah berasas dan kekalahan itu perlu diterima secara terbuka.
Sebahagian besar akhbar Indonesia pula tidak menyalahkan laser sebagai punca kekalahan itu.
Sedarkah Indonesia bahawa pemain Malaysia pada kejohanan ini dibarisi ‘budak mentah’ yang sebahagian besarnya berusia bawah 23 tahun.

Mereka juga tidak memiliki pemain import seperti mana yang dipraktikkan oleh skuad Indonesia.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik pada kejohanan ini kerana diberi peluang beraksi di tempat sendiri pada dua perlawanan separuh akhir menentang Filipina. Jika tidak, semua peminat akan tahu sejauh mana skuad bimbingan Alfred Riedl boleh pergi.

Pada aksi kedua di Gelora Bung Karno malam esok, Indonesia perlu mencari empat gol untuk muncul juara tetapi persoalannya, mampukah mereka?


Malaysia bersemangat tinggi


Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan penuh keyakinan bagi menghadapi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.
Berbekal kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad Malaysia, K. Rajagobal berkata, pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi Indonesia.

“Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

“Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja hari Rabu ini,” katanya sebaik tiba bersama pasu- kan negara di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten semalam.
Ditanya sama ada beliau yakin pasukannya akan muncul juara Piala AFF kali ini, Rajagobal berkata: “Tunggu dan lihat sajalah.”

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

“Ada dua orang yang mengalami cedera ringan.”
“Yang cedera adalah jurulatih dan pembantu jurulatih,” katanya sambil ketawa dan meluru menaiki bas.

Terdahulu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Soekarno- Hatta itu disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.
Pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia sete- lah pasukan mereka muncul unggul dalam perlawanan peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir.

Kekalahan Indonesia 0-3 kepada Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin mengecewakan para penyokong pasukan itu, namun mereka tetap berharap pasukan negara itu akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang sendiri malam esok.

Indonesia sekurang-kurangnya perlu menang 4-0 pada final kedua malam sekiranya mahu menjuarai kejohanan kali ini.



P/S - Apa pun, semoga yang terbaik (MALAYSIA) menang...yeah..




.

Trauma cuba diragut lelaki bermotosikal



Seorang peniaga trauma apabila tercedera selepas menjadi mangsa cubaan ragut oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Jalan Rahang berhampiran Stesen Komuter Seremban dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Ho Ken Jee, 54, cedera di kaki dan kepala selain patah tulang rusuk akibat terjatuh dari motosikal yang ditungganginya.

Menurut mangsa, ketika kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Rahang menuju ke gerainya di Pasar Besar Seremban di sini.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ken Jee memberitahu, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikalnya dihampiri sekumpulan lelaki yang menunggang kira-kira 10 buah motosikal.
"Tiba-tiba, salah sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal saya sebelum pembonceng motosikal itu cuba meragut beg yang disangkut di pinggang saya.

"Saya bertindak menepis tangan lelaki itu beberapa kali menyebabkan suspek hanya dapat menarik jaket saya. Mungkin berang dengan tindakan saya, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya sehingga saya terjatuh," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Seremban di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, selepas terjatuh dan terbaring di atas jalan, kumpulan lelaki bermotosikal itu kemudian cemas sebelum bertindak melarikan diri.
"Mereka melarikan diri dan tidak sempat mengambil apa-apa barang milik saya. Mujurlah ada penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut membantu membawa saya ke hospital.

"Pemeriksaan x-ray mendapati tujuh tulang rusuk saya patah selain beberapa kecederaan pada kepala dan kaki," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak dapat mengecam rupa serta wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar dan keadaan ketika itu masih gelap.

Kata Ken Jee, kejadian itu merupakan kali pertama buat dirinya sejak berniaga di pasar berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih berada dalam keadaan trauma dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.




.

Budak cedera kaki tersepit eskalator

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mangsa selepas mengeluarkan kakinya yang tersepit di pusat beli belah Peringat di Melaka

MELAKA: Seorang kanak-kanak cedera pada pergelangan kaki kirinya selepas tersepit kira-kira sejam pada eskalator ketika membeli belah sempena Krismas di sebuah pusat beli belah di Peringat dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Geron Lee, 10, bersama keluarganya sedang menuruni eskalator, tiba-tiba hujung kasutnya tersangkut di celah eskalator berkenaan menyebabkan kaki kirinya tersepit.

Kakak mangsa, Shi Ting, 18, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila kasut yang dipakai adiknya tersangkut di eskalator berkenaan.

Beliau berkata, mereka baru saja selesai menikmati hidangan makan malam sambil membeli belah sempena cuti perayaan Krismas.

“Ketika itu adik berada di hadapan kami untuk turun ke aras bawah dan sebaik nak sampai, tiba-tiba dia menjerit sambil memegang kaki kirinya.

“Apabila diperiksa, saya dapati kaki adik tersepit di bahagian tepi eskalator dan ibu bapa saya hanya mampu memeluknya sambil memberi semangat ketika adik mengerang kesakitan.

“Selepas itu, kakitangan pusat beli belah bertindak memberhentikan eskalator berkenaan. Saya juga lihat banyak darah keluar dari kaki adik yang tersepit,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Shi berkata, adiknya berjaya diselamatkan oleh sepasukan bomba dan penyelamat selepas sejam berusaha mengeluarkan kakinya yang tersepit itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba Jalan Kubu, Mohd Shahril Zauni, berkata anggota bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.30 malam.

“Kami memulakan operasi menyelamat pada jam 9.05 malam dan berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa sejam kemudian. Kulit kaki kiri mangsa terkoyak sehingga ke paras buku lali,” katanya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka dengan sebuah ambulans untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!