Tuesday, December 28, 2010

Final AFF SUZUKI 2010

Peluang bagai tiada langsung


JURULATIH pasukan kebangsaan Indonesia, Alfred Riedl mengatakan, peluang pasukannya untuk menjuarai Piala AFF 2010 kini hanya tinggal 5-10 peratus saja.

Menurutnya, itu adalah kenyataan pahit yang harus diterima rakyat Indonesia selepas pasukan negara mereka tumpas 0-3 kepada tuan rumah pusingan pertama final, Malaysia di Stadium Bukit Jalil. Gol pertama Malaysia dijaringkan Mohd Safee Sali pada minit ke-59 dan ketiga, 71. Mohd Ashari Samsudin menjaringkan gol kedua pada minit ke-67, Berikutan kekalahan itu, Indonesia memerlukan kemenangan 4-0 pada final kedua, di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

“Kita pernah menang 5-1. Jadi kenapa kita tidak bisa juara? Namun, peluang realitinya, saya kira 5-10 peratus saja. Tidak lebih,” kata Riedl. “Sukar untuk memenangi pusingan kedua dengan 4-0. Jika menang 3-0 saja sudah boleh dianggap bagus.”


 Pekung laser Indonesia terdedah


Jika peminat bola sepak Malaysia dipersalahkan kerana didakwa menggunakan pena pancaran laser, ada pengendali blog semalam mendedahkan perbuatan yang sama juga telah dilakukan oleh peminat skuad Garuda ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2010 antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Menurut entri blog Adamroslan.com yang bertajuk 'Piala Suzuki AFF 2010: Laser Hijau Siapa Yang Mula Dulu?' pengendali blog itu memuat turun klip video yang dihantar oleh seorang peminat bola sepak tempatan perlawanan berkenaan sewaktu Malaysia kalah 1-5 di tangan Indonesia pada 4 Disember lalu.

"Pendedahan klip video itu yang disunting daripada video rasmi AFF telah membuka pekung pasukan Indonesia yang bermain taktik ini semasa mengalahkan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya.

Menurut blog itu, ia juga bukti peminat bola sepak di republik itu juga turut bermain kotor.
"Jika benar faktor kekalahan Indonesia adalah kerana laser hijau, mereka perlu tanya kepada diri sendiri apa penyokong mereka buat di Stadium Gelora Bung Karno yang perlawanan peringkat kumpulan dahulu?," ujarnya.


P/S - Kat sini kalau nak tgk video tersebut [KLIK SINI] (Kredit buat Gen2Merah)



Tutup stadium angkara peminat


Bimbang aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 dipindahkan ke venue lain, pihak pengurusan Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini semalam bertindak mengkuarantin stadium itu dengan menutupnya selama dua hari bermula semalam.

Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Kompleks Sukan GBK, M. Nigara berkata, larangan itu turut melibatkan sesi latihan skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia yang sepatutnya dijadualkan hari ini.
"Sesi latihan bagi menguji padang yang lazimnya diadakan sehari sebelum perlawanan terpaksa dibatalkan.
"Ia bagi membolehkan proses baik pulih rumput yang rosak teruk akibat dipijak dan dirosakkan para penyokong yang merusuh ketika pembelian tiket semalam (kelmarin).

"Kami akan melakukan kerja-kerja membaik pulih secepat mungkin bagi memastikan ia dapat memenuhi tahap piawaian untuk melangsungkan final kedua Rabu ini (esok)," kata Nigara semalam.

 

Akhbar Indonesia canang Malaysia guna dukun 


SEOLAH-olah tidak dapat menerima kekalahan sulung pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Indonesia berselindung di sebalik pelbagai alasan, termasuk sinaran laser dan bomoh.

Sinaran laser dikatakan punca pemain Indonesia hilang tumpuan, tetapi selepas jurulatih Alfred Riedl mengumumkan faktor itu bukan penyebab kekalahan pasukan kendaliannya, media Indonesia mula mencari alasan lain.

Akhbar NonStop, membuka pekung di dada Garuda apabila merujuk kepada bomoh terkenal Indonesia ketika membuat dakwaan Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.

“"Kekalahan pasukan kebangsaan Indonesia sudah diramalkan ahli paranormal, Andi S Chalin,” lapor NonStop dalam berita utamanya. Penulis buku Bahasa Setan Dalam Perilaku Manusia itu meramalkan Indonesia akan tewas 3-0 kepada Malaysia.

“Daripada pemerhatian mata batin saya, saya nampak kita akan tewas 0-3. Kita tewas bukan kerana pemain lemah, tetapi kerana ada unsur-unsur jampi paranormal Malaysia,” kata Andi kepada NonStop menerusi sms tiga hari sebelum final di Bukit Jalil.

Malah selepas perlawanan akhir pertama kelmarin, Andi sekali lagi menghubungi akhbar berkenaan dan mendakwa ada ahli perniagaan Malaysia mendapatkan khidmat bomoh dari Thailand, China dan India.



Raja resah gangguan luar 




Harimau Malaya hadir mahu bawa pulang trofi

"KAMI datang ke Jakarta untuk menang," laung pengendali skuad negara, K Rajagobal sejurus tiba bersama anak didiknya ke sini, semalam bagi melangsaikan baki perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

“Tahap keyakinan pemain kita cukup tinggi. Tapi saya sudah arahkan mereka untuk melupakan kemenangan besar ini sebaliknya menghadapi baki 90 minit Rabu ini (esok) dengan penuh tumpuan.

“Untuk tempoh dua hari ini, saya tidak sesekali mahu pemain hilang fokus dengan temu ramah atau acara tiada berkaitan. Segala pertanyaan harus melalui saya atau pengurus pasukan (Datuk Subahan Kamal).”

Tidak dinafikan apa yang membuat Rajagobal kian gelisah adalah gangguan luar yang harus dielak pemain pada saat genting ini walaupun berbekal modal selesa hasil kemenangan 3-0 ke atas Indonesia, kelmarin.

Pengendali itu turut berpendapat, kegagalan lawannya, Indonesia mempamerkan aksi sebenar di Bukit Jalil hasil daripada kelemahan dan kesilapan pemainnya sendiri, terutama penjaga gol, Markus Horison.

“Siapa dia (Markus) untuk menghentikan perlawanan?” tanya Rajagobal.


Sinetron Indonesia

ENTAH apa agaknya yang akan diulas oleh Indonesia andainya mereka menang pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Adakah mereka akan menyalahkan sinaran laser atau sebaliknya?
Mungkin pemain, pegawai serta pemimpin tertinggi skuad Indonesia lupa dengan reputasi skuad Malaysia.
Mereka lupa bahawa skuad bola sepak negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini.

Sukan SEA 2009 di Laos sudah cukup untuk membuktikan tentang kehebatan skuad bimbingan K. Rajagobal itu.
Pada temasya di Laos itu, Malaysia menang pingat emas meskipun 1,001 macam dugaan serta tipu muslihat yang mereka hadapi daripada pasukan lawan.

Namun, mereka tetap meneruskan perjuangan dan akhirnya muncul juara selepas menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir.
Kali ini, pada Kejohanan Piala Suzuki AFF, skripnya hampir sama.

Pada aksi pembukaan menentang Indonesia di peringkat kumpulan, mereka dibelasah 5-1 tetapi kekalahan tersebut diterima dengan hati terbuka tanpa membuat kecoh meskipun penjaga gol Malaysia pada perlawanan pertama itu, Sharbine Alawee telah beberapa kali diganggu pancaran laser oleh penyokong Indonesia.
Alasan Rajagobal atas kekalahan tersebut ialah barisan pertahanan mereka goyang dan bukannya disebabkan laser.

Kelmarin, Indonesia tewas 3-0 dan ‘laser’ dijadikan alasan.
Andai pertahanan Indonesia kental, tidak mungkin gawang mereka dibolosi.

Tetapi sayang, kerenah penjaga gol mereka, Markus Harison yang mendakwa diganggu pancaran laser daripada penonton telah mematikan rentak permainan Indonesia yang dilihat seimbang pada separuh masa pertama.

Lakonan penjaga gol Indonesia hanya berlaku setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.

Tetapi jaringan yang dihasilkan oleh pasukan Malaysia bukannya berpunca daripada sepakan percuma, semuanya bermula daripada gerakan padang.

Adakah keempat-empat pertahanan Indonesia itu ‘diganggu’ oleh pancaran laser sehingga gagal menyekat kelincahan penyerang Malaysia?

Nak menuduh biarlah berasas dan kekalahan itu perlu diterima secara terbuka.
Sebahagian besar akhbar Indonesia pula tidak menyalahkan laser sebagai punca kekalahan itu.
Sedarkah Indonesia bahawa pemain Malaysia pada kejohanan ini dibarisi ‘budak mentah’ yang sebahagian besarnya berusia bawah 23 tahun.

Mereka juga tidak memiliki pemain import seperti mana yang dipraktikkan oleh skuad Indonesia.
Indonesia boleh dianggap bernasib baik pada kejohanan ini kerana diberi peluang beraksi di tempat sendiri pada dua perlawanan separuh akhir menentang Filipina. Jika tidak, semua peminat akan tahu sejauh mana skuad bimbingan Alfred Riedl boleh pergi.

Pada aksi kedua di Gelora Bung Karno malam esok, Indonesia perlu mencari empat gol untuk muncul juara tetapi persoalannya, mampukah mereka?


Malaysia bersemangat tinggi


Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan penuh keyakinan bagi menghadapi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.
Berbekal kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad Malaysia, K. Rajagobal berkata, pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi Indonesia.

“Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

“Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja hari Rabu ini,” katanya sebaik tiba bersama pasu- kan negara di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten semalam.
Ditanya sama ada beliau yakin pasukannya akan muncul juara Piala AFF kali ini, Rajagobal berkata: “Tunggu dan lihat sajalah.”

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

“Ada dua orang yang mengalami cedera ringan.”
“Yang cedera adalah jurulatih dan pembantu jurulatih,” katanya sambil ketawa dan meluru menaiki bas.

Terdahulu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Soekarno- Hatta itu disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.
Pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia sete- lah pasukan mereka muncul unggul dalam perlawanan peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir.

Kekalahan Indonesia 0-3 kepada Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin mengecewakan para penyokong pasukan itu, namun mereka tetap berharap pasukan negara itu akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang sendiri malam esok.

Indonesia sekurang-kurangnya perlu menang 4-0 pada final kedua malam sekiranya mahu menjuarai kejohanan kali ini.



P/S - Apa pun, semoga yang terbaik (MALAYSIA) menang...yeah..




.

4 Penyokong CHELSEA:

matahariku said...

InsyaAllah..dgn izinNya Malaysia bakal juara kali ni...tp Chelsea lum tau lagi ye Lulu..hehehe


p/s simple blog header tp menariklah Lulu..

Ce'gu JAERA on December 28, 2010 at 2:02 PM said...

wahhh.. Link saya pun ada sini. Tengkiu tengkiu... Semoga Malaysia akan lebih bersemangat menentang Indon esok..

Lulu Caldina on December 28, 2010 at 2:03 PM said...

matahari...Psl malaysia juara tu, ok..
tapi psl chelsea...
tidaakkkkkkkkkk....
ekeke...kalah dan terus kalah..
come on chelsea pecah rekod kalah tak henti...ngee...

header simple sbb tak pandai buat...huhuhu....

armouris, malaysia boleh....

Lulu Caldina on December 28, 2010 at 3:11 PM said...

Gen2, terkejut eh?

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!