Seorang peniaga trauma apabila tercedera selepas menjadi mangsa cubaan ragut oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Jalan Rahang berhampiran Stesen Komuter Seremban dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Ho Ken Jee, 54, cedera di kaki dan kepala selain patah tulang rusuk akibat terjatuh dari motosikal yang ditungganginya.
Menurut mangsa, ketika kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Rahang menuju ke gerainya di Pasar Besar Seremban di sini.
Menceritakan semula detik cemas itu, Ken Jee memberitahu, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikalnya dihampiri sekumpulan lelaki yang menunggang kira-kira 10 buah motosikal.
"Tiba-tiba, salah sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal saya sebelum pembonceng motosikal itu cuba meragut beg yang disangkut di pinggang saya.
"Saya bertindak menepis tangan lelaki itu beberapa kali menyebabkan suspek hanya dapat menarik jaket saya. Mungkin berang dengan tindakan saya, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya sehingga saya terjatuh," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Seremban di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, selepas terjatuh dan terbaring di atas jalan, kumpulan lelaki bermotosikal itu kemudian cemas sebelum bertindak melarikan diri.
"Mereka melarikan diri dan tidak sempat mengambil apa-apa barang milik saya. Mujurlah ada penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut membantu membawa saya ke hospital.
"Pemeriksaan x-ray mendapati tujuh tulang rusuk saya patah selain beberapa kecederaan pada kepala dan kaki," ujarnya.
Tambahnya, dia tidak dapat mengecam rupa serta wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar dan keadaan ketika itu masih gelap.
Kata Ken Jee, kejadian itu merupakan kali pertama buat dirinya sejak berniaga di pasar berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.
Menurutnya, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih berada dalam keadaan trauma dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment