Tuesday, December 28, 2010

Budak cedera kaki tersepit eskalator

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mangsa selepas mengeluarkan kakinya yang tersepit di pusat beli belah Peringat di Melaka

MELAKA: Seorang kanak-kanak cedera pada pergelangan kaki kirinya selepas tersepit kira-kira sejam pada eskalator ketika membeli belah sempena Krismas di sebuah pusat beli belah di Peringat dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Geron Lee, 10, bersama keluarganya sedang menuruni eskalator, tiba-tiba hujung kasutnya tersangkut di celah eskalator berkenaan menyebabkan kaki kirinya tersepit.

Kakak mangsa, Shi Ting, 18, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila kasut yang dipakai adiknya tersangkut di eskalator berkenaan.

Beliau berkata, mereka baru saja selesai menikmati hidangan makan malam sambil membeli belah sempena cuti perayaan Krismas.

“Ketika itu adik berada di hadapan kami untuk turun ke aras bawah dan sebaik nak sampai, tiba-tiba dia menjerit sambil memegang kaki kirinya.

“Apabila diperiksa, saya dapati kaki adik tersepit di bahagian tepi eskalator dan ibu bapa saya hanya mampu memeluknya sambil memberi semangat ketika adik mengerang kesakitan.

“Selepas itu, kakitangan pusat beli belah bertindak memberhentikan eskalator berkenaan. Saya juga lihat banyak darah keluar dari kaki adik yang tersepit,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Shi berkata, adiknya berjaya diselamatkan oleh sepasukan bomba dan penyelamat selepas sejam berusaha mengeluarkan kakinya yang tersepit itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba Jalan Kubu, Mohd Shahril Zauni, berkata anggota bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.30 malam.

“Kami memulakan operasi menyelamat pada jam 9.05 malam dan berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa sejam kemudian. Kulit kaki kiri mangsa terkoyak sehingga ke paras buku lali,” katanya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka dengan sebuah ambulans untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!