Sebuah bas ekspres bersama empat penumpang yang dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Singapura, dibakar selepas terbabit dalam kemalangan hingga mengakibatkan kematian seorang pejalan kaki di Kilometer 27, Jalan Besar Valdor, Sungai Bakap NIBONG TEBAL, malam kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang tiba di tempat kejadian yang dikerumuni orang ramai, berjaya memadam kebakaran di kanan dinding bas menggunakan pemadam api yang diambil dari dalam bas itu.
Pemandu bas, Ahmad Salleh, 64, yang bimbang dengan keselamatannya, melarikan diri selepas mendapati orang ramai mengerumuni bas sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seberang Prai Selatan (SPS).
Empat penumpang bas turut lari menyelamatkan diri apabila orang ramai bertindak membakar kenderaan itu.
Ahmad berkata, bas ekspres itu bertolak dari Bukit Mertajam kira-kira jam 7.30 malam bersama tiga penumpang sebelum singgah di Simpang Ampang untuk mengambil seorang lagi penumpang.
Katanya, ketika meneruskan perjalanan, seorang lelaki dipercayai mabuk melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan dia gagal mengelak, lalu merempuh mangsa.
“Saya turun mendapatkan mangsa tetapi dia tidak lagi bergerak. Ketika itu, orang ramai mula mengerumuni saya. Saya bimbang dengan keselamatan diri, terus lari sebelum menahan sebuah bas kilang dan membuat laporan polis.
“Saya bersyukur kerana sempat melarikan diri dan melaporkan kejadian itu kepada polis, jika tidak, mesti berlaku kejadian buruk ke atas diri saya.” katanya yang mendakwa kemalangan itu kali pertama menimpa dirinya sejak memandu bas ekspres lebih 20 tahun.
Dia hanya mengetahui bas ekspres itu dibakar selepas dimaklumkan oleh polis selain tidak mengetahui status empat penumpang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, polis menyiasat kes kemalangan berkenaan serta perbuatan membakar bas mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
.
2 Penyokong CHELSEA:
kiranya pemandu tu secara xsengaja kan??xslh lah....xpyh lah smpai nak bakar2 bas...emmm....
tapi kita xjangkan bnde2 cm ne kan??
sarang pun dah fobia nak naik bas... huhu
Post a Comment