Sunday, January 9, 2011

Kena saman

Firma kad kredit tuntut RM232 juta atas dakwaan batal perjanjian, langgar kontrak syarikat


Keluarga adik beradik Kardashian, selebriti terkenal Amerika Syarikat, sekali lagi menghadapi masalah undang-undang apabila disaman sebuah syarikat kad kredit yang menuduh mereka melanggar kontrak.

Kali ini, plaintif adalah syarikat yang memberi lesen untuk penerbitan gambar bagi kad kredit berkenaan, menurut laporan, semalam.

Syarikat itu, Revenue Resource Group menyaman ibu Kim, Kourtney dan Khloe iaitu Kris Jenner selain firma Dash Dolls milik adik beradik itu sebanyak AS$75 juta (RM232 juta) di Fresno, California, lapor E! News.
Plaintif memberi alasan, adik beradik Kardashian itu melanggar kontrak apabila membatalkan perjanjian dua tahun sebagai wajah di kad kredit syarikat berkenaan.

Adik beradik Kardashian itu menarik diri daripada perjanjian itu November lalu selepas kad berkenaan dikecam kerana mengenakan bayaran tinggi tanpa disedari pengguna yang disebut dalam dokumen permohonan, lapor agensi berita.

“Keluarga Kardashian berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan imej positif di kalangan orang ramai khususnya golongan muda.

“Malangnya, publisiti negatif itu memberi kesan sebaliknya kepada mereka,” kata surat peguam keluarga itu, Dennis Roach pada 29 November 2010.
Kandungan surat itu didedahkan selepas Peguam Negeri Connecticut, Richard Blumenthal, memberi amaran pada 26 November lalu bahawa beliau akan menyiasat butir-butir kad kredit itu bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang negeri.

Beliau juga mengecam caj kad kredit berkenaan dengan menggelarnya umpama ‘mencekik’ pengguna, menurut laporan.

Agensi berita melaporkan, pengguna kad perlu membayar AS$59.95 (RM185) selama enam bulan atau AS$99.95 (RM309) bagi 12 bulan.

Selain itu, pemegang kad perlu membayar AS$7.95 (RM25) sebulan untuk terus menggunakan kad itu selepas tempoh enam bulan atau 12 bulan berakhir.

Malah, pengguna akan dikenakan caj AS$1.50 (RM4.65) setiap kali menggunakan kad untuk mengeluarkan wang tunai dan AS$1 (RM3.10) hanya untuk memberi baki.

“Kami hanya mahu menggunakan gambar mereka pada kad itu dan status selebriti mereka bagi menjualnya.

Tetapi, lain yang berlaku,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Resource Group, Claude Butler.

Adik beradik Kardashian belum lagi mengulas saman berkenaan.



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!