Kanak-kanak perempuan yang menderita penyakit tulang belakang bengkok (Scoliosis Thoracic Spine), Nik Aimi Athirah, 12, merayu simpati orang ramai bagi membiayai kos pembedahan implan dan pemantauan saraf berjumlah RM20,500.
Penyakit itu mengakibatkan tulang pinggul sebelah kanan Athirah naik melepasi pinggang dan menghimpit paru-parunya menyebabkan dia tidak boleh duduk terlalu lama serta terpaksa tidur secara mengiring.
Bapanya, Nik Roslin Muhamed, 34, berkata penyakit anaknya dikesan Oktober tahun lalu dan doktor mengesyorkan Athirah menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), bulan depan.
“Pada awalnya Athirah mengadu sesak nafas dan sakit pinggang, selepas menjalani ujian X-ray baru doktor mengesahkan keadaan tulang belakangnya bengkok,” katanya di Balai Berita, semalam.
Roslin yang berasal dari Kuantan, Pahang, mempunyai dua anak masih bersekolah, seorang bayi berumur 6 bulan dan isterinya tidak bekerja serta berharap ada pihak tampil membantu membiayai kos perubatan Athirah.
“Kosnya terlalu tinggi dan pendapatan saya RM1,200 sebulan sebagai penghantar surat syarikat swasta tidak mencukupi untuk menampung pembedahannya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd serta menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar kepada Juruwang, Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment