Wednesday, January 12, 2011

Sambut hari jadi awal sehari


TARIKH 11.1.11 cukup bertuah buat penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin apabila menyambut ulang tahun ke-32. Baginya, tiada hadiah hari jadi paling bermakna selain diraikan suami, anggota keluarga, rakan perniagaan dan pelanggan produk dalam satu majlis istimewa, kelmarin.
Majlis sambutan hari jadi itu diuruskan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan kakitangan SimplySiti sendiri kerana Siti tidak memikirkan langsung hari istimewa itu kerana jadualnya yang cukup padat.

"Selepas dua minggu sibuk dengan program bual bicara Siti, saya menjayakan persembahan di Anugerah Juara Lagu yang ke 25 (AJLl25) pula baru-baru ini. Saya juga masih tidak sihat lagi kerana kurang rehat sebab itu suara saya serak pada malam ini. "Jika nak diikutkan, sambutan hari jadi saya pada 11 Januari tapi terpaksa disambut sehari lebih awal kerana saya ada acara lain pada tarikh itu. "Kalau orang tanya hadiah hari jadi yang suami beri, sebenarnya, saya dan suami belum sempat hendak beli hadiah hari jadi lagi. Kalau boleh, saya hendak minta hadiah komputer Mac Pro saja dari suami nanti," katanya.
Sempena sambutan hari jadinya tahun ini, Siti juga mengharapkan yang terbaik buat karier seni, perniagaan dan rumah tangga yang bahagia dengan suaminya itu. "Saya bersyukur kerana usia yang dilanjutkan lagi ke 32 tahun. Saya juga ingin menjadi isteri, wanita dan ibu yang baik. Saya masih disayangi dan bertahan dalam bidang seni kerana sokongan peminat, suami yang menjadi tulang belakang utama, anggota keluarga dan kakitangan syarikat selama ini. "Perjalanan karier seni dan bisnes saya masih lagi jauh dan malam ini kita berkumpul sebagai penghargaan saya buat semua," katanya. Berkongsi impian hidupnya yang belum tercapai, kata Siti, dia mengimpikan untuk memiliki 'one stop centre' dan bangunan sendiri untuk bisnes SimplySiti pada masa depan. "Saya merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan kecantikan lebih menyeluruh seperti krim mandian, makanan kesihatan dan sebagainya.

"Saya mensasarkan dalam tempoh 10 tahun lagi untuk memiliki pusat kecantikan yang mempunyai bangunan sendiri. Dalam tempoh lima tahun, saya menjangkakan bisnes ini akan berkembang terlebih dulu," katanya.

Lebih memberangsangkan, Siti akan menjadi salah seorang panel sempena forum berkaitan usahawan di Bandung, Indonesia selama tiga hari pada penghujung bulan ini.

Sambutan hari lahir Siti ke-32 dan pelancaran wajah baru SimplySiti di semarakkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Mawi, Ekin, Shahir, Faizal Tahir, Ummi Nazeera, Diana Rafar, Linda Rafar, Aznil Nawawi, Lisa Surihani, Sofea Jane, Fizo Omar, Sharifah Shahirah, Ady Putra, Ezlynn, Fahrin Ahmad, Nina Juren dan ramai lagi. Tidak ketinggalan, produser Ziela Jalil, Erma Fatima, penulis lirik terkenal, Habsah Hassan dan Rubiah Suparman. Pengacara pada malam itu ialah gandingan mantap Fara Fauzana dan Zizan Raja Lawak. Tidak ketinggalan, persembahan hiburan dari Mawi, Hafiz AF, Ezlynn, Fazli Zainal dan ramai lagi. Terlebih dulu, tetamu berpeluang menonton tayangan video imbasan perjalanan karier seni Siti termasuk ketika membuat konsert di Royal Albert Hall London.

Diminta komen mengenai persembahannya yang menyerlah berbanding artis lain pada Anugerah Juara Lagu yang ke-25, Siti mengakui persembahan malam itu untuk 'beri semula' pada acara hiburan berprestij itu dan kepada peminat setia yang menyokongnya kariernya selama ini.
"Saya percaya, ramai peminat yang datang untuk menonton persembahan pada malam itu. Saya buat persembahan irama Malaysia kerana tiada artis yang buat irama itu. Irama tradisional dan balada juga lebih menonjolkan saya di AJL," katanya. Mengenai Ana Rafali yang menjuarai AJL25 pula, kata Siti, barisan juri ada cara penilaiannya masing-masing.

"Mungkin kita terlepas pandang dalam hal ini. Namun, Ana juga mempunyai keistimewaannya sendiri. Saya pula lebih suka berfikiran positif kerana kita perlu ada semangat untuk bersaing di persada seni tempatan," katanya. Mengulas lanjut, kempen wajah baru SimplySiti pada 2011, kata Siti, pihaknya berhasrat mengumpul seramai mungkin pengguna produk itu.

"Kempen ini bukan untuk mencari model kerana ia terbuka kepada sesiapa saja. Pihak kami tiada sebaran sasaran, kalau 10,000 yang layak untuk wajah baru ini pun kami tetap terima. "Syarat untuk menjadi wajah baru ini ialah mereka mesti membeli produk kecantikan ini. Pihak kami akan meraikan mereka dalam majlis kemuncak malam Gala sempena ulang tahun pertama produk itu yang akan berlangsung pada April nanti.

"Setiap wajah akan dipamerkan di showcase Himpunan wajah baru produk dan mungkin dipaparkan ketika promosi produk itu di media cetak dan TV," katanya. Tambah Siti lagi, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Januari hingga Mac sempena kempen ini. Antaranya bengkel kecantikan, sesi bertemu peminat, road show di pusat-pusat beli-belah dan peluang mendapatkan tiket percuma ke malam gala.


P/S - Kredit gambar untuk RotiKaya.com



.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!