Monday, January 24, 2011

Saudagar Sampah


Dengan hanya mengutip dan menjual sampah, siapa sangka mampu memperoleh pendapatan setanding pengurus kanan sebuah syarikat swasta!

Itu yang dibuktikan oleh Zabidi Mohamed, 47, seorang anak desa berasal dari Perak yang merantau ke kota raya kira-kira 30 tahun lalu.

Menurut ayah kepada enam anak ini, sebelum berjaya, dia juga seperti perantau-perantau lain yang sentiasa cuba memperbaiki kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

"Pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 1979, saya cuba memenuhi tuntutan duniawi dengan bekerja apa sahaja demi mencari peluang hidup yang lebih baik di bandar besar.

"Ketika itu, baru saya sedar, bukan mudah untuk berjaya di kota besar, tambahan pula saya tidak mempunyai kelayakan yang boleh dibanggakan,'' katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Daripada menjadi buruh binaan kepada pemandu lori 'hantu', berniaga apam balik hingga ke Yong Tau Foo di pasar malam dan menjual nasi lemak di tepi jalan - semua telah dilakukannya.

Namun, tiada siapa menyangka kerja sampingan yang dibuat selepas berniaga di pasar malam memberi pulangan yang lebih lumayan daripada pelbagai usaha yang dilakukannya sebelum ini.

Segala-galanya bermula enam tahun lalu apabila dia melihat seorang lelaki tua menyorong sebuah troli pasar raya sambil mengutip barangan terbuang atau lebih tepat dipanggil sampah oleh masyarakat untuk dijual.

Lantas, motosikal roda tiga yang digunakan untuk berniaga, digunakan pula sebagai kenderaan mencari sampah-sampah tersebut.

Alangkah terkejutnya Zabidi apabila usahanya mengutip sampah seperti botol, tin dan kotak terpakai yang dijual keesokannya berjaya memperoleh pendapatan bersih RM80.

"Saya berniaga di pasar malam belum tentu dapat sebanyak ini.

"Itu baru sedikit yang saya kumpul, jika banyak, mungkin lebih lagi pendapatan diterima," katanya yang kemudian mengambil keputusan berhenti berniaga di pasar malam dan menumpukan perhatian bagi mencari barangan terbuang.

Dalam sehari, dia dapat melakukan empat hingga lima perjalanan menggunakan motosikal roda tiga yang sarat dengan muatan dan dilonggokkan di halaman rumahnya sahaja.

Isterinya, Murniati Munir, 45, akan membantu mengasingkan barangan tersebut sebelum menjualnya di kedai barangan lusuh.

"Pendapatan mula bertambah kepada purata sehari RM150. Kadang-kadang lebih, kadang-kadang kurang, namun ia lebih lumayan daripada sebelum ini," katanya.

Setelah tiga bulan menjalankan aktiviti itu, dia didatangi seorang pemuda yang bertanya adakah dia membeli barangan terbuang melihatkan pada kawasan halaman rumahnya yang menjadi tempat longgokan barang-barang tersebut.

"Saya terfikir sejenak, akhirnya saya terima dan membeli barangan orang itu dan hinggalah hari ini, saya membeli daripada mereka yang mencari barangan terbuang atau lusuh," katanya lagi.

Bermula dengan motosikal roda tiga, dia kini boleh berbangga memiliki lima orang pekerja dan tiga buah lori untuk memudahkannya mengangkut barangan ke kilang kitar semula.

Menurutnya, barangan terbuang tidak boleh dibiarkan berlonggok kerana dalam masa sehari sahaja, ia akan menjadi banyak dan bertimbun-timbun.

"Setiap hari lebih 30 pengutip barangan ini akan datang menjual barangan kepada saya, jika tidak dihantar ke kilang, ia akan menjadi masalah.

"Maklumlah, pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terletak di hadapan rumah saya," katanya menuding jari ke arah bangunan tersebut yang terletak kurang 300 meter dari rumahnya.

Ditanya mengenai pendapatan yang diterimanya kini, dia agak keberatan untuk memberitahu, namun mengakui, jumlahnya boleh mencecah pendapatan seorang pengurus kanan di sebuah syarikat swasta.

"Saya bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT, bukan mudah untuk saya capai tahap ini.

"Akhirnya rezeki saya terletak pada 'sampah' yang tidak lagi digunakan dan dianggap tidak bernilai itu," katanya merendah diri.




P/S - Rezeki halal ada dimana-mana..



.

1 Penyokong CHELSEA:

Unknown on January 24, 2011 at 11:59 AM said...

ermm.. rezki yg tak disangka datang dari mende yg orang lain buang..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!