Fernando Torres menegaskan, dia bukan pengkhianat selepas dituduh sebagai membelot Liverpool ekoran perpindahan bernilai 50 juta pound (RM245.17 juta) ke Chelsea.
Torres bersedia membuat penampilan penuh emosi apabila menyarung jersi Chelsea buat kali pertama dalam pertemuan menentang bekas pasukannya di Stamford Bridge hari ini, iaitu kurang seminggu selepas dia meninggalkan Anfield dalam cara kurang menyenangkan.
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish mengakui kecewa kerana Torres pergi pada masa yang tidak kena. Bintang Sepanyol itu mengesahkan pemergiannya beberapa jam sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup.
Torres, yang beraksi di bawah keupayaan sebenar dalam sebahagian besar musim ini memohon untuk meninggalkan Liverpool sebaik mengetahui dia menjadi perhatian Chelsea, dan tindakannya menimbulkan kemarahan peminat Reds serta bekas pemain-pemain kelab itu yang mendakwa dia sengaja tidak bermain baik sejak beberapa bulan ini dengan harapan dapat dibebaskan.
Penyerang berusia 26 tahun itu bagaimanapun menafikan segala tuduhan yang didakwa tidak berasas, sebaliknya menegaskan, dia sentiasa menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang bersama Liverpool dan menyelar semua pihak yang mengkritik tindakannya meninggalkan Anfield.
"Saya rasa ia tidak adil dan tidak masuk akal. Saya bermain dalam tiga musim yang bagus dan menjaringkan banyak gol. Saya faham ini situasi yang sukar, terutama dalam pasaran perpindahan tetapi saya kena fikirkan tentang karier saya.
"Semua orang akan melihatnya sebagai satu langkah ke hadapan. Saya tahu perancangan masa depan Chelsea, cita-cita besar mereka dan ada apa yang mahu mereka capai.
"Mereka mahu membina sebuah pasukan hebat dan bersaing dengan pasukan terbaik seperti Manchester United dan Manchester City untuk menjadi antara kelab terbaik England, selain memburu Liga Juara-Juara.
"Apabila saya berumur 45 tahun nanti, saya akan lihat kembali masa lampau saya dan berkata, saya gembira kerana telah mengecapi kejuaraan.
"Saya menyuarakan perasaan saya dan jujur kepada semua orang. Saya tidak berdolak dalik, saya berterus terang dan perkara paling penting adalah jujur dan adil.
"Hakikatnya mereka (Liverpool) tidak mahu saya pergi, mereka cuba memujuk saya agar kekal, tetapi saya beritahu mereka bahawa saya telah membuat keputusan,'' kata Torres.
Sepanjang tiga setengah tahun di Liverpool, Torres telah membentuk kesetiaan di kalangan penyokong Reds dengan menegaskan bahawa dia tidak akan beraksi buat mana-mana kelab Liga Perdana England yang lain.
Ikrar tersebut bagaimanapun mula pudar apabila Liverpool bergelut dengan prestasi dan pada masa yang sama Chelsea pula memancingnya, namun Torres tetap menegaskan bahawa dia tidak meninggalkan kelab ketika ia dalam kesusahan.
Sebaliknya, dia berasakan Liverpool tidak begitu bercita-cita tinggi, dan apa yang menguatkan tanggapannya
adalah apabila kelab tersebut melepaskan Xabi Alonso dan Javier Mascherano, menyebabkan mereka terumbang ambing sejak 18 bulan lalu.
"Saya tidak akan mencium lencana Liverpool. Ketika saya dilahirkan di Madrid, saya bukanlah peminat Liverpool atau Chelsea. Saya adalah peminat Atletico, mungkin ia (Atletico) satu-satunya lencana yang akan saya cium.
"Apabila anda mempunyai peluang untuk beraksi buat kelab yang mampu memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana , selain bersaing dengan pasukan terbaik lain, maka anda tidak boleh melepaskan peluang itu,'' tegas Torres lagi.
Bagi penyokong Liverpool, kehilangan Torres sebenarnya lebih kepada melukakan hati mereka dan bukan membimbangkan seandainya penyerang Uruguay, Luis Suarez mampu meneruskan prestasi baiknya dengan menjaringkan gol pertama dalam penampilan sulung bersama skuad Reds ketika kelab itu mengalahkan Stoke City 2-0, Rabu lalu.
Ketika ini, Suarez memikul beban yang besar sebagai pengganti Torres, namun bebanannya akan berkurangan dalam beberapa minggu apabila seorang lagi penyerang baru Reds, Andy Carroll yang dibeli dengan harga 35 juta pound (RM171.57 juta) dari Newcastle sedia beraksi selepas pulih daripada kecederaan.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment