Anak kecil dijadikan umpan bagi menarik simpati awam supaya menghulurkan derma.
Itulah taktik terbaru digunakan sekumpulan wanita dipercayai daripada golongan kurang kemampuan di bandar raya ini bagi meraih ‘pendapatan’ daripada orang awam dengan menjadikan aktiviti mengemis sebagai kerjaya mereka.
Jika dilihat dari aspek fizikal, wanita terbabit tidak mempunyai sebarang kekurangan atau boleh dikategorikan sebagai golongan kurang upaya, malah mereka masih mampu berdikari seandainya ada kemahuan.
Namun, golongan ini memilih jalan mudah sekali gus menjadi ‘pengemis’ dan membawa bersama anak kecil berusia dalam lingkungan setahun hingga empat tahun bagi meraih simpati orang ramai termasuk pelancong asing.
Tinjauan mendapati golongan ini juga memilih lokasi di pusat bandar yang sesak dengan orang ramai untuk menjalankan operasi mereka, khususnya di kaki lima berdekatan premis menjual nombor ramalan.
Dengan berpakaian tidak terurus, wanita itu bersama anak mereka duduk sambil membentangkan kertas kotak untuk membolehkan orang ramai menghulurkan derma.
Difahamkan golongan terbabit dikesan memulakan kegiatan mereka sejak beberapa minggu lalu menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Lebih membimbangkan mereka tidak bersendirian tetapi ‘diawasi’ individu lain yang dipercayai mendalangi aktiviti itu.
Keadaan ini disedari ketika gambar mereka cuba dirakamkan seorang lelaki bertindak menghalang perbuatan itu dan berkata: “Jangan! Jangan ambil gambar!”
Beberapa kali dia menegaskan perkara itu sambil memandang tajam dan menunjukkan isyarat awas.
Situasi itu, seolah-olah menggambarkan tindakan ‘mengemis’ terbabit tidak ubah seperti satu kegiatan dirancang bertujuan untuk meraih simpati masyarakat dengan helah jijik.
Seorang pekerja syarikat swasta, Dominic Ateng, 32, dari Tudan, berkata pengemis wanita terbabit terdiri daripada tiga wanita berusia sekitar 30-an.
“Biasanya mereka berada di situ pada Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad. Saya selalu nampak mereka mengemis di kawasan sama pada hari berkenaan.
“Mulanya, saya hulurkan derma kerana simpati melihat anak kecil yang mereka bawa. Tetapi pada minggu seterusnya saya perhatikan wanita berkenaan tidak cacat. Yang hairan mengapa mereka sanggup bawa anak kecil mengemis” katanya.
Dominic berkata, selepas menyedari perkara itu beliau tidak lagi menghulurkan derma kepada wanita berkenaan kerana tidak mahu wanita itu meneruskan aktiviti terbabit.
Beliau mahu Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan tegas untuk membanteras kegiatan tidak sihat berkenaan, terutama membabitkan kanak-kanak.
P/S - Hal ni kat mana-mana pun ada...Lulu pernah nampak anak yang dibawa tu kecil sangat...tertidur diatas lantai kotor kaki lima shopping complex tu..huhu kesiannya...berkali-kali lulu berpaling melihat biarpun sudah melangkah jauh, sikecil tu tak tahu apa-apa..tapi dibiarkan membesar dengan keadaan seperti itu..
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment