Seorang pemandu lori dan tunangnya terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan yang membabitkan dua buah lori di Kilometer 256.9, Lebuh Raya Utara Selatan, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa Nazri Idris, 45, dari Bidong, Kedah dan tunangnya, Nur Suzilawani Othman, 25, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa dan tunangnya dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kelantan apabila lori yang dipandunya merempuh belakang lori muatan besi terpakai dari arah sama.
Katanya, mangsa yang memandu lori membawa muatan konkrit gagal mengawal kenderaannya ketika menurun bukit selepas Terowong Menora.
“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan mati di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami kecederaan” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Gaffar berkata, mayat Nur Suzilawani berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas kejadian, manakala mangsa kedua dikeluarkan enam jam selepas itu menggunakan kren oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang diketuai Penolong Penguasa Bomba 2, Mat Isa Abdul Rani.
Akibat kemalangan itu Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara mengalami kesesakan trafik lebih enam kilometer.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan -APJ- 1987 yang dikategorikan sebagai kemalangan maut,” katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment