Sudah hampir lima tahun, Ramlah Abdul Rahman, 55, memohon untuk mendapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sejak itu, dia tidak pernah berhenti mengharap.
Namun, apabila ibu tunggal itu menerima notis supaya mengosongkan kediaman yang juga tapak gerainya selewat-lewatnya pada 1 Mei ini, dia mula resah, bingung dan tertekan memikirkan masa depan keluarganya.
"Makcik tidak tahu ke mana hendak menumpang berteduh selepas ini kerana selepas tarikh itu, bekalan api dan air juga akan dipotong. Makcik kini cuma berharap rumah PPR sahaja," katanya ketika ditemui di satu kawasan di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ramlah merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mempercepatkan proses permohonan penyewaan rumah PPR yang dikemukakannya pada Jun 2006 dan April lalu.
Dia dan adiknya, Mohamad serta dua anak Mohamad yang menumpang di tanah simpanan milik Uda Holdings, yang sebelum ini dijadikan tempat parkir sejak 1999 itu, mengakui menerima notis pertama pada tahun 2009.
Bagaimanapun, katanya, atas pertimbangan Uda Holdings, Ramlah dan Mohamad dibenarkan tinggal di situ dan meneruskan perniagaan menjual makanan dan minuman untuk pekerja-pekerja kontrak di tapak pembinaan di situ.
"Bagaimanapun, sejak projek pembangunan di sini terhenti hampir dua bulan lalu, perniagaan makcik juga terpaksa dihentikan dan bagi meneruskan kehidupan makcik membuat nasi lemak bungkus dan diletakkan di gerai-gerai berhampiran," ujarnya.
Utusan Malaysia yang berkunjung ke kediamannya sebak sedikit melihat keadaan kediaman keluarga itu berikutan persekitarannya cukup daif dan langsung tidak sesuai dijadikan tempat tinggal, lebih-lebih lagi untuk pembesaran anak Mohamad iaitu Akash dan Aiman yang masing-masing berusia 10 dan 7 tahun.
Gerai dan pondok yang didirikan berhampiran sebatang pokok besar di situ menjadi tempat berteduh dan bermain oleh kedua-dua kanak-kanak itu sejak dilahirkan.
Kata Ramlah, permohonan penyewaan PPR pada 2006 dibuat atas namanya manakala permohonan kedua pada April 2011 pula menggunakan nama Mohamad, namun sehingga ke hari ini, maklum balas yang diterima menghampakan.
Ramlah yang mempunyai empat anak dengan tiga daripadanya sudah berumahtangga berkata, dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya kerana kehidupan mereka juga yang agak sederhana.
Katanya, apa yang lebih menjadi keutamaan mereka sekarang ialah tempat berteduh supaya Akash dan Aiman, yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, boleh terus bersekolah.
"Bagaimana hendak mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan, itu boleh diusahakan jika sudah ada tempat tinggal," katanya penuh mengharap.
.
1 Penyokong CHELSEA:
kesian nye...
Post a Comment