Wednesday, April 20, 2011

Saya sudah nikah


Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lalu.

Nur Diayana Norslan, 30, bekas pembantu peribadi kepada Salim, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya, yang menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Salim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi, 16 April lalu pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,000 daripada RM3,000, seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Jumlah RM3,000 dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai kerana jumlah itu sama dengan denda maksimum dalam pertuduhan itu," katanya.

Wan Faridulhadi memberitahu mahkamah bahawa isteri Salim yang turut hadir pada prosiding hari ini bersedia untuk menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

''Hal ini (perkahwinan kedua) memang telah diketahui isteri pertama Salim serta keluarga, sebab itulah isterinya itu sanggup menjadi penjamin tetapi gagal berbuat demikian kerana bukan pemastautin tetap negeri ini,'' katanya.

Nik Bukhari Hashimy kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh.

Salim tiba di mahkamah bersama isterinya pada kira-kira pukul 8 pagi manakala Nur Diayana yang berbaju kurung putih berbunga merah jambu serta bertudung warna sama tiba berasingan sejam kemudian.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata, Salim dan Nur Diayana telah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

Salim, isteri dan Nur Diayana dilihat pulang pada pukul 11.10 pagi setelah seorang ahli perniagaan membayar jaminan.




.

2 Penyokong CHELSEA:

ftdanisha on April 20, 2011 at 11:09 AM said...

mcm2 le dorang ni

risa on April 20, 2011 at 11:19 AM said...

alahaiii...kenapalah nak susah2 kawin jauh2
kalau betul2 ikhlas kawain le kat mesia..ape daaa

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!