Tuesday, May 31, 2011

Derita penyakit saraf selepas disuntik jururawat


Seorang pembantu gerai menjual ayam mendakwa menderita penyakit saraf sehingga menyebabkannya tidak boleh berdiri dan duduk selepas menerima satu suntikan di sebuah klinik kesihatan di Changlun pada Februari lalu.

Sejak menerima suntikan itu, Mohammad Azzumar Mohamed Shukor, 26, kini hanya mampu terbaring kerana tidak dapat menahan kesakitan pada kaki kiri setiap kali duduk dan berdiri.
Dakwanya, kaki sebelah kirinya mula berasa sengal dan pedih selepas dia menerima suntikan ketika mendapatkan rawatan air kencing kotor di sebuah klinik kesihatan di sini pada 7 Februari lalu.
"Saya disuntik oleh seorang jururawat pada bahagian punggung sebelah kiri dan kaki menjadi kebas selama tiga hari.

"Keadaan menjadi lebih teruk apabila rasa kebas bertukar menjadi sakit seperti sengal dan pedih sehingga menyebabkan saya tidak lagi boleh duduk dan berdiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Changlun di sini hari ini.

Dakwanya, dia mengesyaki klinik kesihatan tersebut memberi ubat suntikan yang salah kerana ketika kejadian, jururawat seakan-akan keliru dengan jenis ubat yang hendak diberikan.
Akibat tidak dapat menanggung kesakitan, Mohammad Azzumar pergi semula ke klinik kesihatan sama untuk mendapatkan rawatan dan dia hanya diberikan ubat tahan sakit.

"Ubat tahan sakit pun tidak berkesan menyebabkan saya pergi ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis untuk rawatan lanjut dan saya dimasukkan ke wad pada 21 Mei hingga 23 Mei lalu.
"Pakar di HTF kata kaki sebelah kiri saya sakit berpunca daripada suntikan tersebut yang terkena pada saraf dan kali ini juga saya diberikan ubat sama iaitu ubat tahan sakit," jelasnya.

Menurut Mohammad Azzumar, dia tidak lagi berupaya untuk keluar bekerja dan kini hilang sumber pendapatan bagi menanggung isteri dan dua anaknya berusia lapan dan tiga tahun.
"Kesakitan yang saya alami semakin teruk dan saya minta pihak hospital dapat berbuat sesuatu untuk mengubati penyakit saya ini dan jika tidak saya mungkin mengambil tindakan undang-undang," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Marzuki Md. Isa ketika diminta mengulas perkara itu, meminta Mohammad Azzumar membuat aduan terus kepada Jabatan Kesihatan Kedah dengan kadar segera.
"Kita minta Mohammad Azzumar buat aduan supaya kita boleh siasat perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.




.

2 Penyokong CHELSEA:

Jujurara on May 31, 2011 at 12:25 PM said...

kesian org tuh.
tindakan perlu diambil segera tok elak lebih ramai lagi yg begitu sebab kelalaian org len.

Anonymous said...

diorg ni suke2 hati je main suntik2 ..

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!