Tuesday, May 31, 2011

Kena culik, dibelasah tiga perompak

Seorang wanita menempuh saat mencemaskan hampir lima jam selepas dibelasah dan disamun oleh sekumpulan penjenayah yang melarikan kenderaannya sebelum mangsa dicampak di tepi jalan, tengah malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 12 tengah malam di depan sebuah 7-Eleven di USJ di sini, suri rumah berusia 30-an itu sedang berada dalam Mitsubishi Triton menunggu suaminya membeli barangan di kedai serbaneka terbabit.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, tiga lelaki menyerbu masuk ke dalam kenderaan itu menyebabkan mangsa meronta-ronta dan menjerit meminta tolong, namun penjenayah terbabit bergegas melarikan kenderaan berkenaan.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan lebam oleh seorang pengawal keselamatan di tepi jalan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Jalil, kira-kira jam 5 pagi. Telefon bimbit dan wang tunai mangsa turut disamun.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meminta pertolongan pengawal keselamatan terbabit untuk menghubungi suaminya sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, mangsa yang trauma dengan kejadian itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan pihaknya juga sedang menunggu keputusan penuh laporan perubatan.

Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan sudah menjalankan gerakan memburu ketiga-tiga penjenayah terbabit.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!