Seorang lelaki yang lumpuh separuh badan ditemui rentung dalam keadaan terlentang selepas rumah papan didiaminya terbakar di Batu 4, Jalan Sungai Lembing, di sini, semalam. Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika Nazri Ismail, 40, yang lumpuh sejak tiga bulan lalu akibat penyakit kronik berada di rumah terbabit seorang diri. Adik mangsa, Azhar Ismail, 37, berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian menimpa abangnya yang juga anak kedua daripada enam beradik melalui rakannya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya bekerja di kilang papan di Kampung Bayas yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah abang dan sebaik sampai saya lihat api sudah marak dan tong gas memasak di dalam rumah itu dikatakan turut meletup.
“Dalam keadaan api yang marak saya cuba masuk ke rumah bagi menyelamatkan abang, namun rakan yang ada bersama menahan saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Azhar berkata, sebelum kejadian itu, beliau bertemu abangnya yang masih bujang buat kali terakhir pada waktu pagi semalam sebelum pergi bekerja.
“Sejak abang tinggal bersendirian, saya yang menghantar makanan kepadanya pada waktu pagi, tengah hari dan malam, selain adik beradik lain turut datang melawatnya sekiranya ada masa terluang.
Beliau berkata, jenazah abangnya akan dikebumikan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini selepas bedah siasat selesai dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Nazili Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 10.32 pagi sebelum satu jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba Indera Mahkota bergegas ke lokasi.
“Jentera tiba kira-kira jam 10.57 pagi, namun api sudah padam berikutan api yang marak dengan cepat dan hasil pemeriksaan menemui satu mayat lelaki.
“Punca sebenar dan jumlah kerugian berkaitan kejadian itu masih disiasat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Md Shah, berkata kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment