Tuesday, May 3, 2011

Lans Koperal maut terlanggar kabel basah di rumah setinggan

Seorang anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengejar seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah di kawasan setinggan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, di sini, tengahari semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengahari itu, Lans Koperal Mohd Fadzly Haneda Aden, 30, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, maut di tempat kejadian akibat terlanggar kabel elektrik basah yang berselirat di celahan rumah kawasan setinggan berkenaan.

Sebelum kejadian, Allahyarham yang menerima maklumat mengenai kehadiran lelaki terbabit di kampung itu, menjalankan rondaan bersama rakan setugas di kawasan berkenaan.

Apabila terserempak dengan suspek, mangsa dan rakannya terus mengejar lelaki itu yang dipercayai pengedar dadah paling dikehendaki di daerah ini.

Mangsa dipercayai terlanggar kabel elektrik yang berselirat di celahan rumah berkenaan sebelum terkena renjatan elektrik daripada kabel yang basah akibat hujan.

Melihat mangsa rebah, rakannya meminta bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Hospital Tawau, tetapi disahkan meninggal dunia.

Allahyarham Mohd Fadzly yang berasal dari Sri Aman, Sarawak sudah setahun bertugas di IPD Tawau.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak, masing-masing berusia satu dan tiga tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata suspek berjaya ditahan di sebuah kawasan tidak jauh dari kampung berkenaan beberapa jam selepas kejadian.

“Kami mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga arwah. Kami sedang menguruskan penghantaran pulang jenazah. Setakat ini belum pasti sama ada jenazah akan dibawa pulang ke kampung keluarga isterinya di Kota Kinabalu atau Sri Aman,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tawau, semalam.

Beliau juga meminta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil tindakan terhadap penduduk kampung berkenaan yang dipercayai membuat sambungan kabel secara haram yang bukan setakat mengancam nyawa mereka sendiri, malah nyawa orang lain.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!