Kehilangan seorang lelaki dalam tempoh 40 jam selepas keluar memancing bersama seorang rakan terjawab apabila mayatnya ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat di sini awal pagi ini.
Mayat Ibrahim Sulaiman, 43, ditemui pukul 1.30 pagi oleh pasukan tersebut yang menjalankan operasi bersama penduduk tempatan di Sungai Sedili Besar di sini, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat pagi kelmarin setelah mangsa tidak pulang selepas keluar memancing bersama seorang rakan dikenali sebagai Sudirman dengan menyewa sebuah bot gentian kaca.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mengemudikan bot itu dalam keadaan cuaca buruk untuk mudik ke hulu sungai selepas botnya tersangkut pada kayu.
"Ketika dia dan rakannya hendak mengangkat enjin di tengah-tengah sungai, bot itu terbalik dan menggelongsor tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini.
Muhammad berkata, dua warga Indonesia yang secara kebetulan memancing tidak jauh dari situ terjun ke dalam sungai dan sempat menyelamatkan Sudirman namun mangsa dihanyutkan arus deras.
Berikutan kejadian itu, pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari sebelum menemui mayat mangsa kira-kira pukul 1.30 pagi.
Isteri mangsa, Rosnah Davi berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah ketika mangsa keluar memancing seawal pukul 6.30 pagi pada hari kejadian.
"Saya pelik kerana dia sempat cakap 'pergi dulu' sebelum keluar rumah dan tidak sangka pula perkataan itu membawa maksud dia akan pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi di sini.
Ibrahim meninggalkan empat orang anak berusia antara 8 hingga 14 tahun.
.
1 Penyokong CHELSEA:
nak memancing kena pastikan keselamatan, tapi kalau dah 'kaki'..tu , cakaplah apa pun hajat pasti ditunai...PCL tau la...'kaki' jugak ni.
Post a Comment