Wednesday, May 25, 2011

Kecam penganjur


Roger Federer mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis kelmarin dan kemudian mengecam keputusan penganjur Roland Garros memperkenalkan bola baru pada kejohanan itu.
Sepanjang musim gelanggang tanah liat Eropah, bola Dunlop digunakan namun acara Grand Slam kedua tahun ini sebaliknya memilih Babolat, yang secara umum lebih laju, sebagai sebahagian daripada perjanjian baru dengan syarikat pengeluar.

“Saya dengar banyak yang diperkatakan mengenai bola ini. Ia tidak sama dengan apa yang kami gunakan bulan lalu,” kata Federer.

“Bagi kami ia amat mengecewakan apabila semua kejohanan itu menukar kepada bola Roland Garros selepas tahun lalu, (tetapi) Roland Garros menukar bola mereka sekali lagi.

“Kini kami berdepan perjanjian berbeza bagi setiap acara Jelajah ATP. Ini mengecewakan kerana kami perlu sesuaikan diri sebelum Terbuka Perancis.” Pemain Britain, Andy Mur- ray tidak kisah mengenai jenis bola yang digunakan asalkan ia pilihan yang konsisten di semua empat kejohanan Grand Slam.

“Di Terbuka AS mereka menggunakan Wilson dan kemudian dalam acara gelanggang permukaan keras sebelumnya mereka menggunakan Penn. Saya fikir lebih baik mereka menggunakan jenis bola yang sama,” kata Murray.

“Bola ini mungkin membantu saya kerana ia agak pantas. Tapi saya lebih suka kami bermain dengan bola yang sama sepanjang setiap bahagian musim. Ketika musim gelanggang rumput, saya lebih suka semua kejohanan menggunakan Slazenger.” Bola baru itu juga mencetus kebimbangan di kalangan pemain wanita pada Terbuka Perancis.

“Ramai pemain wanita hadir dengan masalah bahu. Mereka berkata bola itu terlalu sukar,” kata Bethanie Mattek-Sands, pemain utama AS di Paris.

Novak Djokovic, pemain nombor dua dunia dan seorang daripada pemain pilihan untuk merampas mahkota kejuaraan Terbuka Perancis daripada Rafael Nadal, percaya pemain dengan servis yang kuat boleh mendapat manfaat daripada pe- rubahan itu.

“Bola ini amat pantas dan amat sukar untuk dikawal. Mungkin ia menyebelahi pemain dengan servis dan pukulan yang kuat,” kata pemain Serbia itu.

Federer bagaimanapun tidak berdepan masalah sama ada dengan bola Babolat atau lawannya pada pusingan pertama, Feliciano Lopez kelmarin apabila dia mencatat kemenangan 6-3, 6-4, 7-6 (7/3), kemenangan kesembilannya daripada sembilan perlawanan ke atas pemain tangan kidal dari Sepanyol itu.

Pemain nombor tiga dunia itu tampil dengan kedudukan pilihan paling rendah dalam tempoh lapan tahun pada acara Grand Slam, beraksi buat kali ke-46 berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam.

Federer akan berdepan pemain wild card dari Perancis, Maxime Teixeira untuk merebut tempat ke pusingan ketiga.




.

0 Penyokong CHELSEA:

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!