WANITA ini pernah menongkah detik-detik hitam pada zaman kecilnya. Bukan setakat dihambat kemiskinan, malah pernah diperkosa semasa berumur sembilan tahun, hamil dalam usia 14 tahun dan mengalami keguguran.
Tekanan hidup dalam usia yang mentah itu, membuatkan dirinya pernah cuba mengakhiri riwayat getirnya dengan meminum air sabun kerana ketika itu tiada siapa yang mahu menolong dan mendengar rintihannya.
''Pada masa itu, tiada sesiapa bersama saya. Saya benar-benar memerlukan pertolongan tetapi tidak memperolehnya. Saya buntu dan tidak tahu menyelesaikan masalah itu. Saya sangat takut dan hanya mampu menangis," kata anak kelahiran Kosciusko, Mississippi ini.
Namun bagaikan berlaku satu keajaiban, suara Oprah Winfrey atau nama sebenarnya Oprah Gail Winfrey ini, akhirnya didengar oleh seluruh pelosok dunia. Suara wanita ini berjaya menyentuh hati setiap insan yang menonton rancangan bual bicaranya, The Oprah Winfrey Show.
Kerjayanya di stesen televisyen bermula selepas menamatkan sekolah menengah apabila berpeluang menjadi pembaca berita di salah sebuah saluran televisyen, WLAC-TV di Nashville, Tennesse.
Ia menjadikan Oprah sebagai pembaca berita paling muda dan wanita berkulit hitam pertama di saluran berkenaan.
Selepas itu, dia berhijrah ke Baltimore dan bekerja di saluran WJZ-TV pada 1976 dan menjadi pembaca berita untuk saluran berita pukul 6 petang.
Bintang Winfrey menyinar selepas berpindah ke Chicago pada 1983 untuk mengendalikan AM Chicago terbitan WLS-TV.
Tanpa diduga rancangan pagi selama setengah jam yang memiliki rating paling rendah dalam stesen itu akhirnya melonjak ke tangga pertama dalam tempoh beberapa bulan pada 1984.
Rancangan kendalian Winfrey itu berjaya mengetepikan rancangan hos popular, Phil Donahue dengan meletakkannya sebagai rancangan bual bicara yang mencatatkan rating paling tinggi ketika itu.
"Winfrey mengetahui kuasa TV dan menggunakan ia untuk menggabungkan hal peribadi serta isu umum. Walaupun ia melibatkan sekumpulan orang asing, TV adalah medium peribadi dan intim bagi kebanyakan orang di rumah.
"Dia pandai membuatkan penonton mengambil berat terhadap apa yang dia risaukan. Itu kepandaian Winfrey dan akan menjadi legasinya," kata Donahue.
Bermula dengan kejayaan itu, rancangan AM Chicago itu bertukar nama The Oprah Winfrey Show seperti mana yang dapat ditonton selama 25 tahun ia bersiaran sejak 1986.
Dalam rancangan itu, apa jua perkataan yang keluar dari mulut jutawan yang kini berusia 57 tahun ini, cukup untuk mempengaruhi minda penontonnya.
Programnya ditayangkan di 140 negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, dianggarkan seramai 30 juta penonton menyaksikan programnya. Pada 1998, seramai 14 juta penonton menyaksikan programnya setiap hari. Namun, ia jatuh kepada sembilan juta (2005) dan 7.3 juta pada 2008.
"Dia adalah wanita terhebat dunia kerana boleh mempengaruhi manusia berbanding dengan mana-mana presiden negara, ahli politik atau pengamal agama. Wanita berjaya lain seperti Hillary Clinton dan Martha Stewart tidak mampu bertahan lama sepertinya," lapor majalah Vanity Fair.
Sementara itu, menurut majalah Time: "Tidak ramai yang menjangka kejayaan seorang wanita berkulit hitam dalam mengacarakan program bual bicara. Namun, dia berjaya membuatkan tetamu membuka cerita sedih mereka dan berkongsi dengan audiens. Ia bagaikan satu sesi terapi."
Minggu depan, The Oprah Winfrey Show akan melabuhkan tirainya, setelah mencungkil pelbagai isu suka-duka serta kontroversi. Banyak impak besar yang terhasil daripada program ini, bukan sahaja kepada dunia tetapi diri Winfrey sendiri.
Selama 25 tahun membina nama menerusi rancangan itu, Winfrey telah menjana keuntungan yang bukan sedikit sehingga meletakkan dirinya sebagai antara manusia paling berkuasa dan terkaya di dunia.
Bukan itu sahaja, kejayaan Winfrey meletakkan dirinya sebagai personaliti TV tersohor dunia sememangnya mengagumkan sehingga dia memiliki aset yang mencecah berbilion dolar.
Pada tahun lalu, Forbes menyenaraikannya sebagai wanita yang meraih pendapatan tertinggi di Hollywood mengalahkan artis, Beyonce Knowles, Lady Gaga dan Madonna dengan mengumpul AS$324 juta (RM 1.001 bilion) daripada empayar medianya, termasuk rancangan bual bicaranya sendiri dan majalah.
Winfrey mengumpul kekayaan lebih banyak berbanding bintang lain jika kelima-lima mereka digabungkan, dengan Beyonce meraih AS$89 juta (RM275.14 juta), Britney Spears AS$65 juta (RM200.95 juta), Lady Gaga AS$64 juta (RM197.86 juta) dan Madonna mengumpul AS$59.9 juta (RM185.18 juta).
Dengan kekayaan itu, Winfrey yang pernah berlakon dalam filem arahan Steven Spielberg, The Color Purple turut mampu membuka rangkaian kabel televisyennya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN). Dia juga memiliki saluran radionya sendiri yang diberi nama Oprah & Friends.
"Saya mahu mengambil keunggulan daripada rancangan televisyen hebat yang kami wujudkan seperti rancangan Oprah dan membawanya kepada anda menerusi kepelbagaian rancangan baru sepanjang bersiaran selama 24 jam seminggu," kata Winfrey pada pelancaran OWN.
Sebelum itu, pada 1988, Winfrey menubuhkan Harpo Studios, sebuah syarikat produksi di Chicago, menjadikan beliau wanita ketiga dalam industri hiburan AS (selepas Mary Pickford dan Lucille Ball) memiliki studio sendiri.
Dalam pada itu, sumbangan Winfrey juga diiktiraf apabila namanya diabadikan pada sebatang jalan di bandar raya Chicago.
Kata Winfrey: "Ini adalah cerita keajaiban bermula dengan anak kulit hitam yang dilahirkan Kosciusko, Mississippi, di atas jalan merah yang berdebu dan akhirnya nama saya diabadikan di sebuah bandar raya besar dunia di Chicago. Ia lebih baik daripada anugerah Oscar atau Emmy.''
Pada rakaman program terakhir di Chicago baru-baru ini, ramai bintang terkemuka hadir memberi penghormatan kepada beliau di depan kira-kira 13,000 peminat pengacara terkemuka itu.
Pelakon Tom Hanks menjadi hos rancangan yang turut dihadiri Madonna, Tom Cruise, Maya Angelou, Alicia Keys, Beyonce dan Jerry Seinfeld.
"Beliau ialah wanita yang berjaya atas usaha sendiri untuk berada di kemuncak kerjaya selama 25 tahun menceburi bidang ini, masih menyengat dan merangsangkan orang lain untuk mempunyai impian yang besar, bekerja keras, membaca buku, bertanyakan soalan, mendapatkan pendidikan tidak kira siapa atau dari mana anda," kata Madonna.
Dalam program akhir itu, banyak yang disentuh mengenai kerja amal Winfrey, tetapi paling banyak diperkatakan adalah mengenai usahanya memberi ilham dan semangat kepada peminatnya untuk hidup lebih baik.
Selama 25 tahun mengendalikan rancangan yang amat berpengaruh itu, Winfrey telah menemu bual ramai pemimpin dan selebriti terkenal. Tidak ketinggalan orang biasa yang melakukan perkara luar biasa. Isu yang dibincangkan termasuk isu wanita, kemanusiaan, penderaan, kesihatan, aktiviti semasa dan perspektif global.
Pada 1993, Winfrey menemu bual Michael Jackson di kediaman Raja Pop Dunia itu di Neverland.
Temu bual itu melonjakkan rating The Oprah Winfrey Show menjadi program keempat paling banyak ditonton dalam sejarah TV AS dengan jumlah penonton melebihi 100 juta orang.
Sepanjang 25 tahun program itu, beliau telah menemu bual seramai 28,000 tetamu melibatkan pemimpin, penyanyi, pelakon, pengarah filem dan lain-lain.
Penyanyi Celine Dion ialah tamu wanita yang paling sering diundang manakala bintang lelaki, Chris Rock.
Antara pemimpin yang pernah ditemu bual beliau ialah George W. Bush, Barack Obama dan bekas isteri Putera Andrew, Sarah Ferguson.
Antara ribuan selebriti yang muncul dalam rancangannya ialah Elizabeth Taylor, Naomi Campbell, John Travolta, Mike Tyson, Julia Roberts, Michael Douglas, Jennifer Aniston, Ali Mac Graw, Shirley Mac Laine, Nicole Kidman, pengasas laman sosial Facebook, Mark Zukerberg dan penulis, James Frey.
p/s - tak payah nak counting, birthday lulu 28.05.88... ngee
.
3 Penyokong CHELSEA:
i;m adore her...really loves her..dun know why..stiap show die i follow..~~hee
wow!amazing (^_^)
hepi busday in advance lulu!
Post a Comment