Seorang anak kapal terbunuh setelah terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah kapal tangki di perairan Pengerang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Amir Mahmud, 29, dari Lombok, Indonesia terperangkap dalam asap tebal dan melecur dari bahagian dada hingga ke pinggang.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang bekerja di bahagian bawah kapal tersebut sebelum berlaku litar pintas yang mengakibatkan kebakaran sehingga api menyambar mangsa.
Berikutan kejadian itu, 11 rakannya yang menyedari kebakaran tersebut beberapa minit kemudian cuba memberi pertolongan namun gagal kerana asap terlalu tebal.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, mangsa kemudian berjaya ditemui tetapi sudah meninggal dunia.
“Kebakaran itu berjaya dikawal oleh anak kapal tetapi mangsa gagal diselamatkan. Kapal tangki itu berlabuh secara haram kira-kira 3.6 batu nautika (6.6 kilometer) dari perairan Tanjung Ayam, Pengerang.
“Kita sedang menyiasat kehadiran kapal itu di perairan negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih, Pengerang di sini.
Beliau menambah, agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan hari ini menghentikan operasi mencari dan menyelamat tujuh mangsa bot pancung yang karam di Tanjung Ayam, Pengerang di sini kelmarin, setelah peluang untuk menemui mangsa yang kini masuk hari ketiga semakin tipis.
Zulkifli berkata, mangsa berkemungkinan dihanyutkan ke perairan negara jiran atau ke kawasan perairan yang lebih dalam.
“Berdasarkan pengalaman kita, peluang mangsa yang hilang dalam masa tiga hari untuk ditemui hidup adalah tidak mungkin. Operasi yang dilakukan tidak menemui apa-apa pun setakat ini termasuk serpihan, beg atau barangan dalam bot itu.’’ katanya.
.
0 Penyokong CHELSEA:
Post a Comment