Saturday, June 25, 2011

Bayi dua bulan rentung


Menyayat hati apabila seorang nenek ditemui rentung dalam keadaan mencangkung sambil memeluk cucunya dalam bilik tidur utama selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Heng Guan, Jalan Matang, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika Chin Yok Hui, 42, tidur dalam bilik bersama Wong Kok Liong, cucu lelaki berusia dua bulan, terjaga selepas terasa bahang panas disusuli bau asap, jam 4.45 pagi.

Selain mereka, turut rentung dalam kejadian itu adalah seorang lagi anak perempuan Chin, Liau Jee Khim, 18, selepas ketiga-tiga mangsa malang itu gagal membuka jeriji besi bagi menyelamatkan diri berikutan api marak dengan cepat.

Liau ditemui rentung dalam tandas bilik utama banglo terbabit, dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api dinyalakan di tempat sembahyang yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.

Jiran mangsa, Radiah Aznie berusia 40-an, berkata dia terdengar bunyi bising dari luar rumah dan menyangka berlaku pergaduhan namun terkejut apabila diberitahu anak perempuannya ternampak kepulan asap dan api keluar dari kediaman mangsa.

“Saya terus bergegas keluar kerana mengetahui ada penghuni dalam rumah berkenaan dan ketika itu, saya ternampak api sudah marak di bahagian hadapan rumah terbabit, diikuti letupan kuat beberapa kali.

“Pada masa sama, saya mendengar jeritan seorang wanita meminta tolong. Saya bersama jiran lain menyuruh mereka keluar melalui pintu belakang namun hanya beberapa minit suara jeritan itu terus tenggelam,” katanya.

Api marak dan merebak dengan cepat ke bahagian rumah lain, selain pagar kediaman terbabit berkunci menyukarkan Radiah serta jiran membantu mangsa.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdoa semoga penghuni berkenaan berjaya menyelamatkan diri. Pada masa sama, saya sebelum itu menghubungi bomba bagi meminta bantuan,” katanya.

Kata Radiah, disebabkan mangsa kurang bergaul dengan jiran lain, orang ramai berada dalam kebingungan kerana tidak mengetahui bilangan penghuni dalam rumah terbabit.

“Apa yang saya tahu, isteri tuan rumah terbabit baru melahirkan seorang bayi dua bulan lalu, selain sering melihat kehadiran beberapa kanak-kanak lain,” katanya.

Difahamkan, banglo terbabit disewa seorang kontraktor berasal dari Bintangor sejak dua tahun lalu dan ketika kejadian, dia bersama isteri serta anak perempuan berusia enam tahun berada di Miri atas urusan perniagaan.

Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Savy, Lexus, Toyota Alphard serta beberapa buah motosikal turut musnah.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Abdul Fathul Muen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang ramai kira-kira jam 5 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Petra Jaya tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

“Jentera kedua dari Balai Bomba Padungan tiba 10 minit kemudian dan anggota mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, pihaknya menemui seorang wanita dan bayi lelaki dalam keadaan berpelukan dalam sebuah bilik tidur bahagian belakang banglo terbabit manakala seorang lagi dalam tandas.

“Kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri namun gagal berbuat demikian kerana semua tingkap dan pintu dipasang jeriji dengan anggota bomba sendiri terpaksa menggunakan gergaji bagi memasuki rumah berkenaan.

“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat,” katanya.





.

2 Penyokong CHELSEA:

Acik on June 25, 2011 at 11:17 PM said...

seram ... malang bagi mereka!

roslaini saad on June 26, 2011 at 12:00 AM said...

Matang kat mana ni..kat Taiping ke kat Sabah...??

 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!